Paris Baguette Lancar Hab Pembuatan Halal Pertama Di Malaysia – Kukuhkan Rantaian Bekalan Global

March 6, 2025
Makanan & Minuman

Lina Rosli

Paris Baguette Malaysia baru-baru ini dilihat telah melancarkan hab pembuatan makanan halal pertamanya di Johor. Langkah strategik ini bukan sahaja memperkukuh kehadiran jenama ini di Malaysia tetapi juga mengukuhkan rantaian bekalan globalnya, selaras dengan permintaan yang semakin meningkat dalam segmen makanan dan minuman halal di peringkat antarabangsa.

Dengan pasaran halal yang merangkumi lebih 2 bilion pengguna di seluruh dunia, pembukaan hab ini membuktikan komitmen Paris Baguette dan kumpulan induknya, SPC Group, dalam memenuhi standard halal yang ketat serta keperluan pengguna Muslim di seluruh dunia.

Hab ini juga akan menjadi pusat pengeluaran utama bagi produk halal Paris Baguette yang bukan sahaja akan memenuhi permintaan tempatan tetapi juga pasaran eksport.

Untuk pengetahuan anda, pembangunan fasiliti canggih ini dilengkapi tujuh barisan pengeluaran berkapasiti 100 juta produk bakeri setahun.

Di Johor, hab pembuatan makanan Paris Baguette ini dibuka di kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). Dengan ini, hab Paris Baguette ini akan membekalkan roti, kek dan pelbagai produk yang telah menerima pengiktirafan halal dari JAKIM ke semua cawangannya di enam negara seawal Mei 2025.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd