Koleksi Busana Untuk ZALORAYA 2025 Mengetengahkan Fesyen Moden Dan Lestari
Lina Rosli
Dalam dunia fesyen Asia Tenggara, ZALORA terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju edagang bagi kategori pakaian sopan. Walaupun berdepan cabaran ekonomi, permintaan terhadap pakaian ini semakin meningkat, membuktikan bahawa gaya sopan tetap relevan dan berkembang pesat.
Memasuki dekad kedua meraikan fesyen sopan, ZALORA melancarkan kempen tahunan ZALORAYA 2025. Tahun ini, koleksi yang diperkenalkan menampilkan warna-warna bumi yang lembut dengan sentuhan hijau sebagai simbol keseimbangan antara gaya dan kelestarian.

Tambahan menarik tahun ini adalah kategori baharu untuk haiwan peliharaan, menjadikan suasana Raya lebih meriah dengan #PurrfectRaya.
Dengan 19 jenama dan pereka terkenal seperti NH by Nurita Harith, Syomirizwa Gupta, TAS by Tom Abang Saufi, Alia B, dan Yadotsa, ZALORAYA 2025 hadir dengan variasi fesyen berkualiti tinggi dan mampu milik.
Antara koleksi istimewa termasuk ZALIA’s Etherea Raya yang menampilkan rekaan elegan serta Lubna’s Romantic Rebels yang buat pertama kalinya memperkenalkan busana khas untuk kucing.


Sebagai jenama dalaman ZALORA, koleksi Etherea Raya oleh ZALIA ini mengetengahkan rekaan ringan, anggun dan selesa. Fabrik seperti satin, organza, dan chiffon dipilih untuk memberikan sentuhan mewah. Koleksi ZALIA BASICS pula menampilkan keperluan harian seperti anak tudung, selendang dan pakaian solat – termasuk buat pertama kalinya rekaan khas untuk lelaki bersaiz plus.
Sementara itu, Lubna Romantic Rebels menggabungkan elemen klasik dan moden untuk mereka yang ingin menonjol dengan gaya yang unik. Lebih menarik, koleksi ini memperkenalkan pakaian khas untuk kucing, menjadikan perayaan lebih ceria dengan fesyen sedondon antara pemilik dan haiwan peliharaan mereka.

Pertumbuhan Fesyen Sopan Di Asia Tenggara
Dengan sambutan luar biasa setiap tahun, pakaian sopan dan Muslimah terus berkembang pesat. ZALORA mencatat peningkatan jualan sebanyak 33% pada suku pertama 2024, manakala di peringkat global, industri ini dijangka mencapai nilai USD428 bilion menjelang 2027. Strategi ZALORA dalam memberi tumpuan kepada Malaysia, Indonesia dan Singapura jelas membuahkan hasil – sejajar dengan permintaan yang semakin meningkat.

Bagi memastikan pengalaman membeli-belah yang lebih baik, ZALORA telah menyatukan inventori dari pusat pemenuhan di Malaysia, Indonesia dan Filipina – membolehkan pelanggan menikmati pilihan produk yang lebih luas.
Dari aspek kelestarian, ZALORA terus komited dengan penghantaran mesra alam, kadar kitar semula 90% di pusat pemenuhan, serta inisiatif pengambilan semula pakaian lama untuk dikitar semula.

Sebagai peneraju fesyen sopan di Asia Tenggara, ZALORA membuktikan bahawa industri ini bukan sekadar tentang gaya, tetapi juga inovasi dan tanggungjawab sosial. Dengan kempen ZALORAYA 2025, ZALORA terus memperkukuhkan posisinya dalam menyatukan komuniti, menyokong pereka tempatan, dan mempromosikan gaya hidup lestari.