Apa Itu Pneumonia? Influenza Dan COVID-19 Penyumbang Utama Kepada Kes Pneumonia

March 10, 2025
Kesihatan

Lina Rosli

Pneumonia merupakan sejenis penyakit yang mungkin sering anda dengar – tetapi mungkin tidak begitu mengetahui tentangnya.

Secara umumnya, pneumonia ialah jangkitan pada paru-paru yang menyebabkan radang pada alveolus iaitu kantung udara kecil dalam paru-paru. Ia boleh disebabkan oleh bakteria, virus, kulat atau parasit. Apabila seseorang menghidap pneumonia, alveolus boleh dipenuhi dengan cecair atau nanah, menyebabkan kesukaran bernafas, batuk berkahak, demam dan menggigil.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pneumonia atau radang paru-paru telah menjadi punca utama kematian di Malaysia dengan 18,181 kematian direkodkan pada tahun 2023. Sementara itu, influenza bermusim kekal menjadi kebimbangan kesihatan global dan menjejaskan kira-kira satu bilion manusia pada setiap tahun, dengan tiga hingga lima juta kes diklasifikasikan sebagai kes serius.

Pakar Perunding Perubatan Pernafasan dan Perubatan Dalaman daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa menjelaskan bahawa peningkatan kes virus pernafasan seperti influenza dan COVID-19 menjadikan seseorang itu lebih terdedah untuk mendapat pneumonia.

Bukan itu sahaja, pakar turut menyatakan yang mana populasi Malaysia yang semakin menua, lewat mendapatkan rawatan perubatan, dan kadar vaksinasi yang rendah sebagai faktor utama yang menyebabkan berlakunya peningkatan kes kematian yang berkaitan dengan pneumonia.

Siapa Berisiko Untuk Mendapat Pneumonia?

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, pneumonia merupakan keadaan kesihatan yang disebabkan oleh jangkitan yang serius pada paru-paru – sekaligus membawa kepada kesukaran bernafas, kekurangan oksigen dan kemungkinan untuk mendapat komplikasi seperti kemasukan ke hospital atau kematian.

Antara individu yang terdedah mendapat jangkitan pneumonia termasuklah warga emas dan individu yang mempunyai sakit kronik. Selain itu, golongan muda turut berisiko – terutama sekali bagi mereka yang mempunyai sistem imuniti yang lemah, serta turut mengamalkan tabiat gaya hidup yang boleh menjejaskan kesihatan paru-paru.

Dr Nurul menyatakan bahawa terdapat peningkatan kes pneumonia dalam kalangan individu lebih muda sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan sebahagian besarnya disebabkan oleh gaya hidup terdedah untuk mendapat masalah virus pernafasan seperti merokok dan penggunaan rokok elektronik (vaping).

Apakah Gejala Awal Pneumonia?

Pneumonia boleh bertukar kronik dengan cepat, menjadikannya penting untuk orang ramai mengenali tanda amarannya lebih awal.

Pakar Perubatan Kecemasan SMCV, Dr Lim Fang Jen menyenaraikan simptom utama pneumonia yang perlu diberi perhatian seperti:

  • sesak nafas
  • nafas pendek
  • sakit dada
  • kelesuan melampau
  • kekeliruan
  • rasa pening yang berterusan

Memandangkan simptom pneumonia boleh kelihatan seperti simptom jangkitan pernafasan biasa yang lain, ia sering diabaikan lalu menyebabkan pesakit bertangguh untuk mendapatkan rawatan perubatan seterusnya membawa komplikasi yang lain.

Kesan Virus Pernafasan Dan Pneumonia

Influenza dan COVID-19 merupakan penyumbang utama kepada kes pneumonia, kerana kedua virus ini melemahkan mekanisma pertahanan badan dan sistem pernafasan.

Virus selesema merosakkan membran pelindung yang melapisi saluran pernafasan dan silia yang merupakan struktur kecil seperti rambut yang membersihkan sebarang lendiran – menjadikan seseorang itu lebih terdedah kepada jangkitan bakteria yang boleh menyebabkan pneumonia.

Ia merebak melalui titisan pernafasan yang tersebar ke udara apabila seseorang yang dijangkiti virus batuk atau bersin, dan melalui permukaan tercemar yang telah disentuh selepas seseorang itu menyentuh hidung atau mulut mereka.

Oleh itu, jika anda baru-baru ini mengalami selesema, anda harus berhati-hati jika anda turut mengalami demam berpanjangan, batuk yang semakin teruk, atau mengalami kesukaran bernafas kerana ini boleh menunjukkan tanda-tanda pneumonia.

Kes Pneumonia Di Peringkat Global

Keterukan kesan jangkitan pernafasan ini terbukti dalam kes berprofil tinggi baru-baru ini, di mana pneumonia menjadi komplikasi serius yang menyebabkan kematian.

Pelakon Taiwan Barbie Hsu meninggal dunia pada usia 48 tahun akibat pneumonia berikutan jangkitan influenza dan tidak lama kemudian, pelakon China Liang Youcheng meninggal dunia pada usia 27 tahun akibat komplikasi pernafasan selepas beliau pada mulanya menyangka simptom selesemanya sebagai selesema biasa.

Kementerian Kesihatan Malaysia tidak melaporkan sebarang peningkatan besar dalam kes influenza, namun kedua-dua kejadian ini menunjukkan betapa cepatnya penyakit pernafasan boleh menjadi parah tanpa mengambil kira tentang usia. Ini menekankan kepentingan untuk mengambil langkah proaktif seperti mendapatkan vaksinasi secara berkala, memakai topeng muka jika berada di kawasan berisiko tinggi dan kerap mencuci tangan.

Apabila pneumonia bertambah kronik, perkembangannya boleh menjadi pantas dan menakutkan. Jika tidak dirawat, pneumonia boleh menyebabkan:

  • myocarditis (keradangan otot jantung)
  • ensefalitis (keradangan otak)
  • myositis atau rhabdomyolysis (keradangan atau kerosakan otot)
  • sepsis (tindak balas keradangan kepada jangkitan yang boleh membawa maut)
  • kegagalan pelbagai organ

Selain itu, Dr Lim memberi amaran bahawa pneumonia boleh memburukkan lagi keadaan sedia ada pesakit, terutamanya kepada individu yang menghidap diabetes, penyakit jantung, atau penyakit paru-paru kronik, serta mereka yang mempunyai sistem imuniti yang terjejas. Golongan ini berhadapan dengan risiko tinggi untuk kemasukan ke hospital dalam tempoh yang panjang, kerosakan organ kekal atau kematian.

Tingkatkan Imuniti untuk Mencegah Pneumonia

Vaksinasi adalah salah satu langkah pencegahan yang paling berkesan untuk mencegah pneumonia yang teruk.

Dr Nurul menasihatkan individu berisiko tinggi untuk mengambil kedua-dua vaksin pneumokokal dan influenza, serta menjelaskan bahawa vaksin influenza dapat mengurangkan kadar kemasukan ke hospital dalam kalangan orang dewasa yang sihat sebanyak 40-60%.

Manakala vaksin pneumokokal mengurangkan risiko untuk mendapat pneumonia tahap serius sehingga 75% di kalangan golongan berusia.

Vaksinasi influenza tahunan disyorkan untuk semua orang, manakala golongan emas berusia lebih 65 tahun harus mengambil vaksin pneumokokal dan dos penggalak berdasarkan faktor risiko masing-masing.

Selain vaksinasi, penting untuk mengekalkan sistem imuniti yang kuat melalui senaman yang kerap, mengamalkan diet seimbang, dan mendapatkan rehat yang mencukupi.

Ambil Langkah Proaktif Untuk Kesihatan Pernafasan Yang Lebih Baik

Walaupun pneumonia merupakan sejenis penyakit yang serius, ia boleh dicegah melalui pengesanan awal dan langkah pencegahan yang bersesuaian.

Pencegahan bermula dengan mengambil vaksin secara berkala, dan diperkukuh dengan amalan mudah tetapi berkesan seperti mengelakkan merokok, mengamalkan kebersihan yang baik dan mengekalkan gaya hidup sihat.

Dengan mengambil langkah pencegahan ini, rakyat Malaysia boleh mengurangkan risiko untuk mendapat pneumonia dan melindungi orang ramai daripada dijangkiti penyakit yang mengancam nyawa ini.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd