Ini Sebab Mengapa Berat Badan Anda Tidak Turun Ketika Puasa
Lina Rosli
Menjelang bulan Ramadan ini, ramai sering menganggap bahawa bulan puasa merupakan waktu terbaik untuk menurunkan berat badan.
Namun, realitinya ramai dalam kalangan individu yang mendapati berat badan mereka tidak berkurang, malah ada yang bertambah. Mengapa perkara ini berlaku dan apakah puncanya?
Untuk mengetahui mengapa seseorang individu tidak berjaya menurunkan berat badan ketika berpuasa adalah disebabkan beberapa faktor utama seperti:

#1 Pengambilan Makanan Secara Berlebihan Ketika Berbuka
Selepas seharian menahan lapar dan dahaga, sesetengah individu cenderung untuk makan dalam kuantiti yang banyak ketika berbuka.
Dari pelbagai jenis kuih-muih manis, hidangan berat hingga ke minuman bergula, jumlah kalori yang diambil mungkin melebihi keperluan harian, sekaligus menyukarkan proses penurunan berat badan.
#2 Pemilihan Makanan Yang Tidak Seimbang
Makanan yang terdapat di bazar Ramadan semestinya kelihatan lazat dan mengiurkan. Namun hakikatnya sebenarnya, kebanyakan makanan ini mengandungi kandungan gula, lemak dan juga minyak yang tinggi.
Contohnya, makanan seperti murtabak, roti john, ayam goreng dan air manis secara berlebihan boleh menyebabkan lebihan kalori dan menghalang penurunan berat badan.

#3 Kurangnya Aktiviti Fizikal Dan Kurang Tidur
Sepanjang bulan puasa, ramai yang mengurangkan aktiviti fizikal kerana bimbang keletihan. Namun, apabila pengambilan kalori kekal tinggi tetapi pergerakan berkurang, badan tidak dapat membakar lebihan tenaga dengan efektif, sekali gus menyebabkan berat badan sukar turun.
Selain itu, jadual tidur yang berubah akibat sahur dan solat tarawih juga boleh mengganggu metabolisme badan. Ini kerana, kurang tidur boleh meningkatkan hormon ghrelin (hormon yang merangsang rasa lapar) dan mengurangkan hormon leptin (hormon yang mengawal rasa kenyang), menyebabkan individu cenderung untuk makan lebih banyak.
#4 Pengambilan Makanan Tinggi Gula Dan Karbohidrat Ringkas
Minuman manis seperti teh ais, air sirap dan jus buah sering menjadi pilihan ketika berbuka. Akan tetapi, bagi yang tidak mengetahui, minuman dan makanan tinggi gula serta karbohidrat ringkas sebenarnya boleh menyebabkan lonjakan gula dalam darah yang mendadak dan cepat turun – menjadikan individu lebih cepat lapar dan cenderung untuk makan lebih banyak.

#5 Kurang Minum Air Mineral
Ramai yang lebih mengutamakan minuman manis berbanding air kosong. Kekurangan air dalam badan boleh melambatkan metabolisme dan mengganggu proses pembakaran lemak, sekaligus menyebabkan penambahan berat badan atau kesukaran untuk menurunkannya.
Jadinya, penurunan berat badan ketika berpuasa bukan hanya bergantung kepada menahan makan dan minum, tetapi juga berkaitan dengan keseimbangan kalori, pemilihan makanan, aktiviti fizikal serta kualiti tidur.
Dengan menjaga pemakanan yang seimbang, mengawal saiz hidangan dan mengekalkan gaya hidup aktif, anda boleh mencapai manfaat kesihatan yang optimum selain turut berjaya menurunkan berat badan di sepanjang Ramadan.