Hilton Kuala Lumpur Menggunakan Teknologi AI Untuk Menguruskan Sisa Makanan Dari Bufet Ramadan
Lina Rosli
Pernahkah anda terfikir, bagaimanakan kebanyakan hotel-hotel, restoran atau tempat yang menyajikan hidangan bufet menguruskan dan melupuskan sisa makanan yang telah dimasak?
Untuk pengetahuan anda, untuk setiap pinggan yang diambil oleh pengunjung atau tetamu bagi hidangan bufet sebenarnya menghasilkan sekitar 53g sisa makanan – dan cuba bayangkan jika untuk setiap acara bufet, jika terdapat 300 tetamu yang hadir, rata-rata tetamu mengambil sekitar 5 hingga 6 pinggan, bukankah ia akan menghasilkan lebih dari 100kg setiap hari? Ini tidak termasuk dengan jumlah makanan yang terlebih sedia atau overproduction dari dapur.

Oleh itu, dalam usaha memperkukuhkan komitmen terhadap kelestarian alam sekitar, sekitar empat hotel Hilton di Malaysia telah memperluaskan inisiatif “Green Ramadan” dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menangani isu pembaziran makanan semasa bufet berbuka puasa.
Hotel-hotel yang terlibat termasuklah:
- Hilton Kuala Lumpur
- Hilton Petaling Jaya
- DoubleTree by Hilton Damai Laut Resort
- DoubleTree by Hilton Putrajaya Lakeside.

Komitmen Hilton Kuala Lumpur Terhadap Kelestarian
Inisiatif Green Ramadan ini sejajar dengan matlamat “Travel With Purpose 2030” Hilton, yang menekankan kesan positif terhadap alam sekitar, rantaian bekalan dan komuniti setempat.
Menurut Pengurus Besar Hilton Kuala Lumpur, Linda Pecoraro, usaha Green Ramadan ini tidak hanya melibatkan kakitangan dan juga tetamu di Hilton Kuala Lumpur sahaja, tetapi turut memberi kesan positif kepada pengeluar dan juga pembekal bahan-bahan utama di Hilton. Untuk pengetahuan anda, kira-kira 90% daripada menu yang disajikan kepada tetamu menggunakan bahan dari pembekal tempatan.

Dengan ini, ia bukan sahaja menyokong ekonomi setempat tetapi juga mengurangkan jejak karbon serta memberi kesan positif terhadap alam sekitar. Hilton Malaysia terus memperkukuh komitmen mereka terhadap kelestarian dengan memperluaskan inisiatif Green Ramadan ke lebih banyak lokasi, membuktikan bahawa amalan mampan boleh berjalan seiring dengan pengalaman gastronomi yang bermakna.
Hilton Kuala Lumpur Memperkenalkan Dengan “Recipe of Change” – Menggunakan Kulit Buah Tembikai
Hilton Kuala Lumpur turut hadir dengan kempen “Recipe of Change”, satu usaha untuk mengurangkan pembaziran makanan dengan menggunakan buah-buahan overproduction dalam hidangan bufet mereka.
Di dalam kempen ini, Chef Ridzwan Rasit, yang merupakan Chef Sous Eksekutif di Hilton Kuala Lumpur hadir dengan resipi inovatif untuk kulit buah tembikai.
Langkah ini bukan sahaja membantu mengurangkan lebihan makanan, tetapi juga menyokong kelestarian alam sekitar dengan memanfaatkan sumber yang masih berkualiti tinggi.
Melalui program ini, kulit buah tembikai yang masih segar dan selamat untuk dimakan – akan digunakan dalam sajian istimewa yang kreatif iaitu sos untuk salad – dipanggil Savoury Watermelon Skin Chutney dan Tangy Watermelon Skin Chutney.


Menurut Chef Paul Mcloughlin sebagai Chef Eksekutif di Hilton Kuala Lumpur, pendekatan ini selari dengan komitmen Hilton terhadap amalan makanan lestari, sekaligus memberi pengalaman kulinari yang lebih bertanggungjawab kepada para tetamu.
Selain daripada aspek kelestarian, “Recipe of Change” juga memberi peluang kepada chef di Hilton Kuala Lumpur untuk bereksperimen dengan resipi baru, mencipta menu yang unik dan lebih mesra alam.

Dengan inovasi ini, hotel ini berharap dapat menggalakkan kesedaran tentang pembaziran makanan serta memberi inspirasi kepada industri perhotelan untuk mengambil langkah serupa.
Berdasarkan kejayaan inisiatif ini pada tahun lalu di Hilton Kuala Lumpur dan DoubleTree by Hilton Shah Alam i-City, yang menyaksikan pengurangan sisa makanan sebanyak 64%, program tahun ini diperluaskan ke lebih banyak lokasi bagi meningkatkan impak positifnya.
Selain itu juga, Hilton Kuala Lumpur turut memperkenalkan kaunter salad yang menggunakan salad segar – yang ditanam secara organik oleh mereka. Ia dikenali sebagai BoomGrow.

Strategi Pengurangan Sisa Makanan Menggunakan Teknologi AI Winnow
Menerusi perkongsian Hilton Kuala Lumpur, antara cabaran utama dalam menguruskan sisa makanan adalah melibatkan sisa makanan dari pinggan tetamu.
Ini kerana sepanjang bufet Ramadan, bilangan menu dan hidangan lebih banyak dari yang biasa – yang mana untuk bufet Ramadan Hilton Kuala Lumpur menampilkan lebih daripada 200 juadah. Oleh yang demikian, sisa makanan di dalam pinggan akan menjadi lebih tinggi.

Dengan menggunakan teknologi AI Winnow, pasukan dapur di hotel-hotel terlibat dapat mengesan dan menganalisis sisa makanan secara masa nyata.
Ini membolehkan mereka menyesuaikan persediaan makanan dengan lebih cekap, sekaligus mengurangkan lebihan makanan. Sistem ini menjejak sisa makanan dari peringkat awal iaitu sisa bahan mentah dan lebihan penyediaan sehingga ke sisa makanan dari pinggan pelanggan.


Antara strategi tambahan yang dilaksanakan termasuk:
- penyajian dalam saiz hidangan lebih kecil
- penyediaan makanan secara langsung (live cooking station)
- paparan makanan yang lebih minimalis bagi meningkatkan kesedaran tentang pembaziran makanan.
Label jejak karbon turut diperkenalkan di stesen bufet bagi membantu pelanggan membuat pilihan makanan yang lebih mesra alam.


Bukan itu sahaja, setiap hotel yang terlibat turut melaksanakan langkah kelestarian tersendiri:
- Hilton Kuala Lumpur bekerjasama dengan Vision Waste Disposal Sdn Bhd bagi menukar sisa biodegradasi kepada biogas yang digunakan untuk menjana tenaga boleh diperbaharui.
- Hilton Petaling Jaya menawarkan menu iftar dan sahur yang menampilkan pilihan vegetarian serta mengurangkan sisa makanan tanpa menjejaskan kualiti hidangan.
- DoubleTree by Hilton Damai Laut Resort menggunakan mesin kompos di lokasi untuk menukar sisa makanan kepada baja semula jadi, menyokong ekosistem hijau di kawasan resort.
- DoubleTree by Hilton Putrajaya Lakeside mengolah semula lebihan dapur seperti kulit buah dan sayuran untuk dijadikan acar, bancuhan gorengan, perasa kering dan pelbagai kegunaan lain.
Proses Pengurusan Sisa Makanan Dari Pinggan Tetamu
Untuk proses pengurusan ini, Hilton Kuala Lumpur sempat memperlihatkan kepada Tajria sesi di sebalik tabir akan cara mereka menguruskan sisa makanan dari pinggan tetamu.
Pertama sekali, para pelayan atau staf restoran akan mengasingkan terlebih dahulu sisa makanan yang bukan tulang, kertas, tisu dan lain-lain objek yang tidak boleh dimakan – dibuang di dalam tong sampah. Hanya makanan yang boleh dimakan seperti isi ayam, potongan kek, sayuran hijau, isi daging kambing yang akan diambil untuk dikompos.
Kemudian, setelah diasingkan, para staf akan memasukkannya ke dalam bakul yang tersedia sebelum dianalisis oleh AI Winnow. Menerusi teknologi ini, ia akan mengenal pasti berat sisa, jenis sisa dan juga waktu paling banyak sisa terhasil terus pada skrin dashboard.

Untuk Hilton Kuala Lumpur sendiri, sisa yang telah diasingkan akan dikomposkan pada hari yang sama – diproses menjadi cecair sisa yang tiada serat dan tidak mengeluarkan bau untuk dirawat oleh Indah Water.
Sebagai perbandingan, untuk proses kompos sebelum ini, Hilton Kuala Lumpur menjadikan sisa ini sebagai baja. Namun, dari hari ke hari, ruang sedia ada tidak dapat menampung akan lambakan sisa ini sekaligus menjadikannya tidak sesuai untuk pengurusan sisa yang seterusnya.
Untuk cecair ini, bukan sahaja ia tidak mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan, tetapi ia juga mudah untuk diuruskan tanpa mengambil ruang yang banyak.
Bukan itu sahaja, berdasarkan data yang diperoleh menggunakan AI Winnow juga, Hilton Kuala Lumpur hadir dengan pelan yang lebih komprehensif yang mana mereka mengenalpasti bagaimana cara penyediaan boleh ditambah baik dan menu apakah yang kurang digemari oleh para tetamu.
Apakah Yang Dilakukan Oleh Hilton Kuala Lumpur Untuk Lebihan Makanan Dari Bufet Ramadan?
Sementara untuk lebihan makanan di bufet pula – lebihan yang tidak disentuh oleh tetamu – akan dibungkus dan didermakan kepada persatuan dan pertubuhan yang berdaftar di bawah Kechara Soup .
Dengan ini, ia bukan sahaja memastikan tiada pembaziran berlaku, tetapi juga memberi peluang untuk individu atau komuniti menikmati juadah bertaraf hotel dengan kualiti yang sama.

Impak Global Dan Masa Depan Dengan Adanya Green Ramadan
Sejak pelancarannya pada tahun 2023 di Timur Tengah, inisiatif Green Ramadan telah mencapai pengurangan sisa makanan sebanyak 61% dalam masa 30 hari. Pada tahun 2024, program ini berkembang ke 32 hotel merentasi tujuh negara, mencatatkan pengurangan tambahan sebanyak 21% berbanding tahun sebelumnya.
Hilton juga menggunakan sistem LightStay bagi menjejak dan melaporkan kemajuan dalam usaha kelestarian mereka. Dengan kerjasama pelbagai rakan kongsi dan pembekal, Hilton berusaha untuk memastikan rangkaian hospitaliti mereka terus menuju ke arah pencapaian matlamat 2030 dalam aspek kelestarian alam sekitar dan sosial.
Dengan inisiatif seperti Green Ramadan, Hilton bukan sahaja menawarkan pengalaman gastronomi berkualiti kepada para tetamu, tetapi turut menyumbang kepada usaha global dalam mengurangkan pembaziran makanan dan mengekalkan kelestarian alam.