Jika anda merancang percutian bajet untuk bulan April dan Mei, mungkin anda boleh menambah Kuala Terengganu di dalam senarai destinasi percutian anda.
Menurut Agoda, ibu negeri Terengganu ini telah dinobatkan sebagai destinasi paling murah di Malaysia untuk percutian musim bunga tahun ini, dengan kadar purata bilik hotel hanya RM213 untuk satu malam. Dengan kos percutian yang lebih rendah, Kuala Terengganu berjaya mengatasi Kuching, yang sebelum ini memegang gelaran tersebut.

Kuala Terengganu – Gabungan Keindahan Alam Dan Warisan Budaya
Terkenal dengan pantai yang cantik dan bersih, Kuala Terengganu menawarkan pelbagai tarikan yang tidak memerlukan bajet besar. Dari seni bina Islam yang mengagumkan di Masjid Kristal hingga ke warisan budaya di Kampung Cina dan Pasar Payang, bandar ini memberi pengalaman unik kepada pelancong.

Bagi peminat aktiviti pantai, anda boleh merancang perjalanan ke Pulau Redang atau Pulau Kapas. Di pulau ini, anda boleh melihat air laut yang jernih dan hidupan marin yang menakjubkan – juga merupakan destinasi yang sesuai untuk aktiviti snorkeling dan menyelam.
Bukan itu sahaja, anda juga boleh mencuba makanan tempatan seperti nasi dagang dan keropok lekor yang semestinya akan menjadikan percutian anda lebih bermakna.

Senarai Destinasi Murah Di Asia Untuk Percutian Musim Bunga
Selain Kuala Terengganu, Agoda turut menyenaraikan beberapa destinasi lain di Asia yang menawarkan penginapan mampu milik. Antara yang berada dalam senarai ialah:
- Phong Nha, Vietnam (RM124) – Syurga pencinta alam dengan gua terbesar di dunia.
- Tirupati, India (RM151) – Destinasi spiritual dengan seni bina kuil yang mengagumkan.
- Hat Yai, Thailand (RM177) – Tempat popular untuk makanan jalanan dan pengalaman membeli-belah.
- Padang, Indonesia (RM177) – Syurga makanan yang terkenal.
- Bacolod, Filipina (RM204) – Dikenali sebagai ‘City of Smiles‘ dengan festival budaya meriah.

Menurut Agoda, untuk menjadi destinasi percutian paling murah, ia bukan sekadar tentang harga bilik hotel yang rendah, tetapi juga pengalaman yang ditawarkan. Dengan keindahan pantai, warisan budaya yang kaya, serta makanan tempatan yang sedap dan berpatutan, Kuala Terengganu jelas merupakan pilihan yang berbaloi untuk percutian bajet.
Jadi, jika anda mencari destinasi yang memberikan nilai terbaik untuk wang anda, mungkin ini masanya untuk menjelajah ke Kuala Terengganu.