Carian
AEON Menganjurkan Bazar Ramadan Di Beberapa Cawangan AEON Mall Terpilih
March 21, 2025 Lina Rosli

Ramadan bukan sekadar bulan berpuasa, tetapi juga bulan penuh kemesraan dan kebersamaan. Dalam semangat ini, AEON memperkukuhkan hubungannya dengan komuniti melalui program AEON Mesra Ramadan Bersama Komuniti yang berlangsung di AEON Mall Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Program ini bukan sahaja menyemarakkan semangat Ramadan tetapi juga memberi peluang kepada masyarakat untuk bersama menyumbang dan merasai kemeriahan bulan mulia ini.

Salah satu aktiviti utama program ini ialah gotong-royong menyediakan hidangan tradisional, termasuk dodol dan bubur lambuk. Tradisi pengagihan bubur lambuk ini diadakan serentak di 28 lokasi AEON Mall di seluruh negara, dengan sebanyak 31,000 pek bubur lambuk diagihkan secara berperingkat dari 15 hingga 23 Mac.

Bukan itu sahaja, AEON turut bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk menganjurkan Bazar Ramadan di beberapa cawangan AEON Mall. Bazar ini menghimpunkan 22 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menawarkan pelbagai barangan keperluan Hari Raya, termasuk kuih raya, pakaian, aksesori dan dekorasi rumah.

Inisiatif ini bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan usahawan kecil, tetapi juga memberikan peluang kepada mereka untuk berkembang dalam ekosistem perniagaan AEON.

Menurut Datuk Iskandar Sarudin, Pengerusi AEON, langkah ini selari dengan komitmen AEON untuk menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan dan memperkukuhkan semangat keusahawanan dalam komuniti.

Komen