Cegah Dan Rawat Kecederaan Tangan Dan Pergelangan Tangan Akibat Sukan Seperti Badminton, Pickleball Dan Bola Tampar
Lina Rosli
Kebanyakan individu yang tidak melakukan regangan dan juga senaman awal dengan betul sebelum bermain sukan akan cenderung mengalami kecederaan yang boleh memberi kesan kepada diri. Ini kerana, apabila otot tidak dipanaskan atau diregangkan dengan secukupnya, ia berada dalam keadaan tegang dan kurang fleksibel.
Keadaan ini boleh menyebabkan otot mudah terkoyak, sendi menjadi tegang, serta meningkatkan risiko terseliuh atau kecederaan lain semasa pergerakan intensif.
Selain itu, tanpa regangan awal, aliran darah ke otot juga tidak berada pada tahap optimum, sekali gus mengurangkan prestasi dan daya tahan semasa bersukan. Maka, amat penting untuk meluangkan beberapa minit melakukan regangan dinamik dan senaman pemanasan badan bagi menyediakan tubuh untuk aktiviti fizikal yang lebih mencabar.

Secara umumnya, apabila bersukan, kecederaan yang paling kerap dialami oleh individu adalah kecederaan yang melibatkan tangan dan juga pergelangan tangan. Kecederaan ini merangkumi 25 peratus daripada keseluruhan kecederaan akibat sukan, dan boleh memberi kesan ketara kepada prestasi individu – terutamanya atlet untuk sukan ini.
Memandangkan lebih banyak rakyat Malaysia kini melibatkan diri dalam aktiviti fizikal, langkah untuk menangani dan mencegah kecederaan ini perlu dijadikan keutamaan bagi memastikan kejayaan dan ketahanan seseorang atlet.
Menurut Dr. Ravindran Thuraisingham, Pakar Perunding Tangan dan Pembedahan Mikro dari Pusat Perubatan Sunway di Bandar Sunway menekankan betapa pentingnya pengurusan dan pencegahan kecederaan dengan betul. Sukan seperti badminton, bola sepak, bola tampar dan skuasy yang melibatkan pergerakan dan sentuhan yang banyak, mampu meningkatkan risiko kecederaan tangan dan pergelangan tangan.
Kecederaan Tangan Dan Pergelangan Tangan Umum Yang Menjejaskan Mobiliti
Kecederaan tangan dan pergelangan tangan yang lazim berlaku dalam kalangan individu termasuklah:
- terseliuh
- patah tulang
- ligamen terkoyak
- kecederaan tendon
- Sindrom Carpal Tunnel (Carpal Tunnel Syndrome, CTS)
Kajian menunjukkan bahawa keadaan CTS yang disebabkan oleh tekanan pada saraf median di pergelangan tangan telah menjejaskan 20 hingga 60 peratus rakyat Malaysia. Ia menyebabkan rasa sengal, kebas dan lemah pada tangan.
Satu lagi kecederaan yang lazim berlaku ialah koyakan pada ligamen pergelangan tangan, seperti koyakan ligamen (TFCC) yang terjadi akibat pergerakan pergelangan tangan berulang kali, terutamanya dalam sukan seperti badminton dan bola keranjang. Kecederaan ini boleh menyebabkan kesakitan dan pengurangan mobiliti. Jika dibiarkan tanpa dirawat, ia boleh menyebabkan komplikasi jangka masa panjang.

Dr. Ravindran turut menegaskan bahawa kecederaan tangan dan pergelangan tangan yang tidak dirawat dengan segera boleh menjejaskan kerjaya seseorang atlet. Kecederaan ini boleh melemahkan kekuatan genggaman, mengurangkan pergerakan dan menyebabkan kesakitan kronik yang akan memberi impak besar kepada prestasi atlet.
Kepentingan Diagnosis Dan Rawatan Awal
Diagnosis dan rawatan awal adalah penting untuk mencegah kerosakan jangka panjang dan membantu memastikan pemulihan dengan cepat. Jika rawatan ditangguhkan, ia boleh membawa kepada isu-isu kronik dan melambatkan pemulihan.
Namun, tidak semua kecederaan tangan dan pergelangan tangan memerlukan pembedahan. Jika diagnosis dapat dikenalpasti dengan lebih awal, kebanyakan kecederaan boleh dirawat dengan berkesan mengggunakan ’splint’ selama beberapa minggu dan diikuti dengan beberapa sesi fisioterapi.
Dr. Ravindran turut mengingatkan yang mana jika kecederaan tidak sembuh dalam tempoh tiga minggu, ia mungkin menjadi petanda masalah yang lebih serius dan anda perlu berjumpa pakar ortopedik.
Antara sebab utama kelewatan diagnosis adalah kerana ramai yang mengabaikan kesakitan atau cuba merawat kecederaan sendiri tanpa nasihat doktor sehingga kecederaannya menjadi lebih teruk, menyukarkan rawatan dan akan memanjangkan tempoh pemulihan mereka.

Pilihan Rawatan Terkini untuk Mempercepatkan Pemulihan
Kini, dengan kemajuan teknologi perubatan, kecederaan tangan dan pergelangan tangan boleh dirawat dengan kaedah kurang invasif.
Pembedahan invasif minimum membolehkan pesakit pulang ke rumah dalam masa satu atau dua hari, memendekkan tempoh pemulihan mereka, kurang sakit dan parut yang lebih kecil supaya pesakit boleh kembali melakukan aktiviti harian mereka.
Dan proses penyembuhan biasanya mengambil masa selama beberapa minggu, dan pesakit boleh mula bersukan selepas tiga bulan.
Sebelum adanya kemajuan ini, pembedahan tangan secara tradisional memerlukan potongan yang lebih besar. Ini juga memanjangkan tempoh tinggal di hospital dan tempoh pemulihan mereka akan memakan masa selama lebih daripada 3 bulan.
Namun, walaupun dengan rawatan canggih, komitmen pesakit dalam rehabilitasi memainkan peranan besar dalam memastikan pemulihan yang berjaya. Peminat sukan dan atlet yang tekun menjalani rutin fisioterapi sering kali pulih sepenuhnya dengan hasil prestasi sama berbanding sebelum kecederaan.
Tips Mencegah Kecederaan Tangan Dan Pergelangan Tangan
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Dr. Ravindran menyarankan agar atlet dan individu mengamalkan senaman untuk menguatkan tangan dan pergelangan tangan. Aktiviti-aktiviti seperti latihan regangan berkala, senaman kekuatan, serta teknik yang betul dapat mengurangkan risiko kecederaan dengan ketara.
Jurucakap: Dr. Ravindran Thuraisingham, Pakar Perunding Tangan dan Pembedahan Mikro dari Pusat Perubatan Sunway di Bandar Sunway