Maksud Di Sebalik Label Produk Kecantikan – Apa Sebenarnya Yang Anda Gunakan?
Lina Rosli
Dalam era kesedaran pengguna yang semakin tinggi, ramai individu semakin peka terhadap kandungan dalam produk kecantikan. Namun, tidak semua label yang tertera pada botol serum, krim wajah atau pembersih muka mudah difahami. Istilah seperti paraben-free, non-comedogenic, dermatologically tested dan hypoallergenic kerap digunakan, tetapi sejauh mana pengguna benar-benar memahami maksudnya?
Satu tinjauan oleh Consumer Reports mendapati bahawa sebahagian besar pengguna membuat keputusan membeli berdasarkan label yang kelihatan “selamat”, tanpa mengetahui definisi sebenar istilah yang digunakan oleh pengeluar.
#1 “Paraben-Free” – Bebas Bahan Pengawet
Paraben ialah sejenis bahan pengawet yang kerap digunakan dalam produk kosmetik, penjagaan kulit dan rambut. Ia berfungsi untuk menghalang pertumbuhan mikroorganisma seperti kulat dan bakteria, sekaligus membantu memanjangkan jangka hayat produk.
Paraben biasanya disenaraikan dalam label sebagai:
- Methylparaben
- Propylparaben
- Butylparaben
- Ethylparaben

Walaupun paraben telah digunakan selama berdekad dan diluluskan penggunaannya dalam kuantiti tertentu, timbul kebimbangan tentang kaitannya dengan gangguan hormon kerana struktur kimianya menyerupai estrogen. Inilah sebab banyak jenama kini memilih untuk menggunakan label “Paraben-Free” bagi menenangkan kerisauan pengguna – walaupun secara saintifik, tiada bukti kukuh menunjukkan ia berbahaya dalam dos rendah.
#2 “Non-Comedogenic” – Sesuai Untuk Kulit Berjerawat?
Istilah non-comedogenic merujuk kepada produk yang diformulasikan untuk tidak menyumbat liang pori, dan secara tidak langsung mengurangkan risiko pembentukan jerawat, bintik hitam atau masalah kulit tersumbat yang lain.
Namun begitu, terdapat beberapa perkara penting yang perlu difahami oleh pengguna:
- Kesan non-comedogenic berbeza mengikut jenis kulit – Sesuatu bahan mungkin tidak menyebabkan masalah kepada sesetengah individu, tetapi boleh mencetuskan reaksi kepada individu lain, terutamanya mereka yang mempunyai kulit sensitif atau berminyak.
- Contoh bahan sering digunakan – Bahan seperti niacinamide, hyaluronic acid dan aloe vera sering dianggap non-comedogenic, namun keberkesanannya tetap bergantung kepada toleransi kulit masing-masing.

#3 “Dermatologically Tested” – Telah Diuji Oleh Pakar
Label “dermatologically tested” sering memberikan tanggapan bahawa sesuatu produk telah diuji oleh pakar dermatologi, sekaligus memberikan keyakinan kepada pengguna tentang keselamatannya. Namun begitu, istilah ini tidak semestinya membawa maksud bahawa produk tersebut telah diluluskan atau diiktiraf secara klinikal.

Dalam kebanyakan kes, label ini hanya menunjukkan bahawa produk telah melalui suatu bentuk ujian, biasanya ke atas kulit manusia, yang dijalankan di bawah pemantauan profesional. Walau bagaimanapun, maklumat lanjut mengenai keputusan ujian, bilangan peserta yang terlibat, serta kaedah ujian yang digunakan jarang sekali dinyatakan secara terbuka.
Oleh itu, pengguna perlu berhati-hati dalam menilai maklumat ini, kerana ia bukanlah jaminan mutlak bahawa produk tersebut sesuai atau selamat untuk semua jenis kulit.
#4 “Hypoallergenic” – Risiko Alergi Minimum
Hypoallergenic merujuk kepada produk yang direka untuk mengurangkan kemungkinan menyebabkan reaksi alergi. Biasanya, label ini digunakan pada produk seperti kosmetik, penjagaan kulit dan wangian untuk memberi keyakinan kepada pengguna bahawa produk tersebut lebih selamat bagi individu yang mempunyai kulit sensitif atau berisiko tinggi untuk mengalami alergi.
Namun, penting untuk difahami bahawa tiada definisi atau piawaian rasmi yang mengawal penggunaan istilah ini. Oleh itu, walaupun produk dilabel hypoallergenic, ia tidak menjamin bahawa ia tidak akan menyebabkan reaksi alergi bagi semua orang. Tindak balas kulit terhadap bahan tertentu boleh berbeza-beza antara individu.

Meskipun begitu, hypoallergenic menunjukkan bahawa produk tersebut tidak mengandungi bahan-bahan yang biasanya dikenal pasti sebagai alergen, seperti pewarna atau wangian sintetik yang boleh merengsakan kulit.
#5 “Cruelty-Free” dan “Vegan” – Apakah Perbezaan Utama?
“Cruelty-free” bermaksud produk tidak diuji ke atas haiwan, manakala “vegan” menunjukkan tiada bahan berasaskan haiwan digunakan.
Namun, produk boleh bersifat vegan tetapi masih diuji ke atas haiwan – dan sebaliknya. Sijil pihak ketiga seperti Leaping Bunny atau PETA membantu mengesahkan tuntutan ini dengan lebih telus.

Oleh itu, sebagai pengguna bijak, penting untuk kita memahami setiap istilah yang digunakan pada label produk kecantikan. Ini kerana, anda tidak boleh bergantung kepada label pemasaran yang dikeluarkan oleh pengeluar atau jenama.
Sebaliknya, anda perlu menyemak senarai bahan dan fahami keperluan kulit anda sendiri.