Carian
Samsung Galaxy A36 5G – Bateri Tahan Lama Untuk Strim K-Drama Kegemaran Anda
April 17, 2025 Lina Rosli

Dalam era digital masa kini, aktiviti menonton kandungan penstriman menggunakan peranti pintar bukan lagi sesuatu yang janggal, malah sudah menjadi rutin harian bagi kebanyakan pengguna telefon pintar.

Namun, satu cabaran yang sering dihadapi oleh peminat drama ialah kekangan bateri telefon yang cepat habis, terutamanya apabila menonton dalam tempoh yang lama. Oleh sebab itu, Samsung menjawab keperluan ini melalui model terbaharunya, Samsung Galaxy A36 yang dilengkapi dengan bateri berkapasiti besar serta pelbagai ciri yang menyokong pengalaman menonton yang lebih lancar dan menyeronokkan.

Pengalaman Peribadi – Reka Bentuk Yang Praktikal

Samsung Galaxy A36 menampilkan reka bentuk yang minimalis namun tetap elegan. Dengan binaan yang ringan dan kemas, ia selesa dipegang walaupun digunakan dalam jangka masa yang panjang. Peranti ini hadir dalam beberapa pilihan warna lembut yang memberikan penampilan moden, sesuai untuk pengguna muda mahupun profesional yang mementingkan gaya dan praktikaliti.

Sepanjang menggunakan Galaxy A36 selama dua minggu, saya dapati reka bentuknya amat membantu ketika menonton drama dalam posisi berbaring mahupun ketika dalam perjalanan. Beratnya yang tidak menyebabkan tangan terasa lenguh dan sakit serta saiz skrin yang selesa menjadikan peranti ini mudah digunakan walaupun tanpa sokongan phone stand.

Ciri utama yang menyerlah dalam Samsung Galaxy A36 ialah skrin Super AMOLED bersaiz 6.6 inci yang menyokong resolusi FHD+ serta kadar segar semula 120Hz. Paparan ini menghasilkan warna yang sangat jelas dan hidup, sekaligus memberikan pengalaman tontonan yang lebih realistik dan memuaskan.

Semasa menonton drama bersinematografi tinggi seperti Newtopia dan My Demon, saya dapat melihat perbezaan ketara dalam kejelasan warna dan kontras, terutamanya dalam babak malam atau latar yang kaya dengan elemen visual. Warna biru, ungu dan merah jambu yang sering digunakan dalam K-drama kelihatan lebih menonjol dan menarik.

Selain kualiti visual yang cemerlang, Galaxy A36 turut dilengkapi dengan Eye Comfort Shield, yang mengurangkan pancaran cahaya biru. Ciri ini sangat berguna terutama sekali ketika menonton pada waktu malam. Saya mendapati mata saya kurang letih dan kering meskipun menonton selama beberapa jam berturut-turut, sesuatu yang jarang saya alami dengan telefon lain sebelum ini.

Bateri 5,000mAh – Tahan Sehingga 12 Jam Penstriman

Bateri merupakan tarikan utama Samsung Galaxy A36, dengan kapasiti besar sebanyak 5,000mAh yang mampu bertahan seharian penuh untuk penggunaan intensif. Dalam satu sesi tontonan hujung minggu, saya menguji peranti ini dengan menonton sebanyak tujuh episod drama bersambung melalui aplikasi Netflix.

Bermula pada jam 10 pagi hingga hampir 6 petang, bateri masih berbaki 17% tanpa sebarang pengecasan semula. Ini membuktikan keupayaan sebenar Galaxy A36 dalam menyokong penstriman video berterusan.

Tambahan pula, peranti ini menyokong pengecasan pantas 25W, yang boleh mengecas sehingga 50% dalam masa lebih kurang 30 minit. Kelebihan ini amat sesuai untuk anda yang ingin melakukan binge-watching K-drama untuk tempoh yang panjang.

Prestasi Harian Yang Konsisten Dan Lancar

Dari segi prestasi, Galaxy A36 dilengkapi dengan cip pemproses Exynos yang cukup efisien untuk tugasan harian, termasuk penstriman, media sosial dan tugasan ringan yang lain. Peranti ini turut didatangkan dengan RAM sehingga 8GB dan storan dalaman 128GB, mencukupi untuk memuat turun episod drama, menyimpan foto dan video serta memasang pelbagai aplikasi penstriman.

Bagi saya, selain daripada bateri yang tahan lama, kelancaran untuk multitasking juga adalah penting kerana saya sering menonton sambil membuka aplikasi lain seperti X atau Instagram. Galaxy A36 mampu mengendalikan semua ini tanpa sebarang lengah atau gangguan.

Kualiti Audio Dengan Dolby Atmos – Dan Penggunaan Mod Fokus

Samsung turut menekankan aspek audio dengan menyertakan teknologi Dolby Atmos pada Galaxy A36. Kualiti bunyi yang dihasilkan sangat jelas dan seimbang, sama ada menggunakan fon telinga atau pembesar suara secara terbina pada peranti.

Mana tidaknya, ketika menonton drama yang sarat dengan emosi dan muzik latar yang kuat, kesan bunyi yang mendalam adalah penting untuk menjadikan tontonan lebih menyentuh perasaan dan mengasyikkan.

Selain itu, Galaxy A36 dijalankan menggunakan sistem One UI 6 berasaskan Android 14, yang mesra pengguna serta kemas dari segi susun atur.

Salah satu fungsi menarik yang saya gunakan ialah Mod Fokus, di mana telefon akan menghentikan semua notifikasi dan gangguan supaya saya boleh menonton dengan tenang. Ini sangat berguna apabila sedang menonton babak penting dan tidak mahu gangguan daripada mesej masuk atau aplikasi lain.

Bagaimana Pula Dengan Kamera? Adakah Hasil Gambar Dari Peranti Samsung Galaxy A36 5G Ini Memuaskan?

Secara jujur, untuk rakaman gambar di dalam kafe boleh dikatakan tidak ada sebarang masalah yang berlaku. Setiap hasil gambar yang dirakam boleh dikatakan hampir sempurna.

Seperti yang anda lihat pada sampel gambar di bawah, ia menampilkan gambar makanan yang sangat menyerlah untuk setiap warna dan ciri yang dipaparkan. Perincian pada makanan jelas kelihatan ditambah lagi dengan mod kecerdasan buatan yang dapat mengecam gambar di dalam kategori makanan.

Walaupun gambar dirakam sewaktu berada di dalam persekitaran yang kurang terdedah kepada pencahayaan, namun, keseluruhan kualiti gambar boleh dikatakan sangat memuaskan.

Pengambilan gambar potret juga kini boleh diubahsuai paras bagi kesan ‘bokeh’ untuk gambar. Selain gambar menggunakan kamera utama, kamera swafoto juga membolehkan anda menggunakan mod potret.

Berdasarkan gambar yang dirakam, kualiti yang dipamerkan kelihatan begitu kemas. Jadinya, ia sangat sesuai untuk anda yang mungkin menggemari rakaman OOTD di dalam kafe, makanya kamera daripada Samsung Galaxy A36 5G ini adalah pilihan yang tidak menghampakan.

Cuma kalau dilihat secara kasar, warna kulit mungkin akan kelihatan sedikit pucat jika ia tidak terdedah pada pencahayaan yang cukup.

Untuk pengalaman rakaman gambar secara keseluruhan, hasil rakaman gambar dan video adalah sangat memuaskan.

Namun, untuk beberapa keadaan, seperti gambar makanan, warna yang terhasil pada gambar boleh dikatakan terlalu tinggi nilai saturation yang mana ia mungkin didorong oleh faktor sensor kamera yang kecil menjadikan Samsung Galaxy A36 5G ini sukar mencari konsistensi dalam rakaman gambar.

Walau bagaimanapun untuk model Galaxy baharu ini, Samsung menampilkan teknologi kecerdasan buatan yang mana ia membolehkan pengguna untuk menyunting gambar yang mungkin kurang sempurna – kepada gambar yang kelihatan lebih instagrammable.

Samsung Galaxy A36, Peranti Ideal Untuk Individu Yang Kerap Menstrim Kandungan Video

Secara keseluruhan, Samsung Galaxy A36 merupakan telefon pintar yang memberikan nilai tinggi untuk wang, terutama dari segi keupayaan bateri dan kualiti paparan. Bagi saya, pengalaman menggunakan telefon ini untuk menonton K-Drama benar-benar memuaskan. Ia bukan sahaja mampu bertahan sepanjang sesi tontonan, malah memberikan pengalaman visual dan audio yang hampir setanding dengan peranti kelas premium.

Jika anda seorang peminat drama yang tegar, atau mungkin juga sedang mencari peranti harian yang tahan lama dan selesa digunakan, Samsung Galaxy A36 adalah antara pilihan terbaik dalam kelas harganya. Dengan reka bentuk moden, bateri tahan lama dan paparan yang mengagumkan, ia sememangnya direka untuk menemani gaya hidup digital masa kini.

ModelRAM + MemoriHarga AsalHarga PromosiWarna Tersedia
Samsung
Galaxy A36 5G
6GB+128GB RM1,499RM1,299Awesome Lavender Awesome Black Awesome White Awesome Lime
8GB+256GB RM1,699RM1,499

Komen