Honda Malaysia Buka Tempahan Untuk Model BEV Pertama – All-New e:N1 Bakal Dilancarkan Suku Kedua 2025

April 17, 2025
Automotif

Lina Rosli

Honda Malaysia secara rasmi telah membuka tempahan untuk model Battery Electric Vehicle (BEV) pertamanya, iaitu All-New e:N1. Dijadualkan untuk pelancaran pada suku kedua 2025, kemunculan e:N1 menjadi penanda aras baharu dalam perjalanan elektrifikasi Honda di Malaysia.

Model e:N1 ini dibangunkan dengan pendekatan memfokuskan manusia yang menekankan reka bentuk pintar dan dinamik pemanduan yang menyeronokkan – selari dengan DNA pemanduan Honda yang digemari ramai.

Untuk pengetahuan anda juga, model BEV e:N1 menggunakan platform e:N Architecture F, sebuah sistem pacuan hadapan yang direka khas bagi memastikan pecutan lancar dan kawalan tepat di pelbagai keadaan jalan raya.

Dilengkapi dengan motor elektrik berprestasi tinggi dan bateri lithium-ion berkapasiti 68.8kWh, e:N1 mampu menjana kuasa maksimum 150kW dan tork sehingga 310Nm, serta menawarkan jarak pemanduan sehingga 500km (berdasarkan standard NEDC).

Dari segi reka bentuk luaran, e:N1 menampilkan lampu utama LED sepenuhnya, lampu belakang LED, serta rim aloi dwitona 18 inci yang eksklusif untuk model BEV Honda.

Pengecasan pula boleh dilakukan melalui port hadapan tersembunyi untuk pengecasan AC dan DC, bersama penunjuk pengecasan yang terletak di atas gril hadapan bagi memudahkan pemantauan.

Dari segi saiz, e:N1 berukuran 4,380mm panjang, 2,610mm jarak roda, dan 1,592mm tinggi – menjadikannya model BEV yang seimbang dari aspek ruang dan kelincahan.

Seperti model-model Honda yang lain, keselamatan terus menjadi keutamaan. e:N1 dilengkapi teknologi Blind Spot Information (BSI) bersama Cross Traffic Monitor (CTM) dan set lengkap sembilan fungsi keselamatan canggih di bawah Honda SENSING, memberikan lebih keyakinan kepada pemandu dalam pelbagai situasi.

Bagi memastikan pengalaman pelanggan yang lancar dan menyeluruh, Honda Malaysia turut telah melantik lapan pengedar sah Honda di tiga rantau utama untuk mengendalikan pertanyaan berkenaan e:N1. Senarai lengkap adalah seperti berikut:

Senarai Pengedar Sah Honda Untuk Pertanyaan e:N1:

RantauNama PengedarLokasi
TengahAccord Auto Sdn BhdSelangor
HZN Cars Sdn BhdSelangor
Peringgit Sri Motor Sdn BhdKuala Lumpur
Tiong Nam Motor (M) Sdn BhdSelangor
UtaraBan Hoe Seng Auto Sdn BhdPerak
Vivahill Auto Sdn BhdPulau Pinang
SelatanBan Lee Heng Motor Sdn BhdNegeri Sembilan
Kah Motor Co. Sdn Bhd (Tebrau)Johor

Untuk membuat tempahan awal, pelanggan boleh melayari https://prebook.honda.com.my/ atau menggunakan aplikasi HondaTouch.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada mana-mana pengedar sah seperti yang tersenarai, hubungi Talian Bebas Tol Honda 1-800-88-2020, atau layari laman rasmi di www.honda.com.my.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd