Kepentingan Menjaga Kesihatan Hati – Mengapa Organ Ini Tidak Boleh Diabaikan?
Lina Rosli
Apabila membincangkan tentang kesihatan, ramai yang lebih memberi perhatian kepada jantung, paru-paru atau otak. Namun, terdapat satu organ penting yang kerap dilupakan — iaitu hati. Walaupun kelihatan sederhana dari segi saiz dan kedudukan, hati memainkan pelbagai peranan penting dalam memastikan tubuh manusia berfungsi dengan baik.
Sempena Hari Hati Sedunia yang disambut setiap 19 April, Pakar Perubatan Keluarga dari Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Dr. Chow Suet Yin, berkongsi mengenai fungsi hati serta langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengekalkan kesihatannya.

Hati – Organ Yang Multitugas
Menurut Dr. Chow, hati merupakan organ yang bertanggungjawab terhadap pelbagai fungsi penting dalam tubuh seperti proses pencernaan, detoksifikasi, sistem imun dan metabolisme. Dengan adanya hati yang sihat dan berfungsi dengan baik, ia sekaligus memberikan kesihatan yang menyeluruh ke atas individu.
Antara fungsi utama hati yang sering tidak disedari oleh orang ramai termasuk:
1. Detoksifikasi
Hati memainkan peranan utama dalam menyingkirkan toksin dari tubuh. Walaupun diet detoks sering dilakukan oleh kebanyakan individu, Dr. Chow menjelaskan bahawa hati secara semula jadi menghasilkan enzim yang membantu memecahkan dan menghapuskan sisa metabolik.
Kegagalan dalam fungsi ini boleh menyebabkan pengumpulan bahan buangan seperti bilirubin, yang seterusnya boleh membawa kepada jaundis dan komplikasi lain.
2. Pencernaan Dan Penyerapan Nutrien
Hati menghasilkan hempedu, sejenis cecair pencernaan yang penting untuk memecahkan lemak serta membantu penyerapan vitamin larut lemak seperti A, D, E dan K. Kekurangan hempedu boleh menjejaskan penyerapan vitamin, yang akhirnya boleh mengakibatkan masalah kesihatan seperti tulang lemah, penglihatan kabur dan pembekuan darah yang tidak normal.
3. Perlindungan Imun
Sel Kupffer merupakan sejenis sel imun khusus yang terdapat dalam hati dan tergolong dalam kumpulan makrofaj – iaitu sel yang berperanan memusnahkan bahan asing seperti bakteria, virus dan sel mati. Ia terletak di sepanjang saluran darah kecil dalam hati yang dikenali sebagai sinusoid, dan bertindak sebagai barisan pertahanan pertama dalam sistem imun, khususnya terhadap bahan-bahan yang diserap dari sistem penghadaman.
Dengan keupayaan untuk mengawal keradangan serta mengekalkan keseimbangan sistem imun dalam hati, sel Kupffer memainkan peranan penting dalam memastikan hati kekal sihat dan berfungsi dengan baik. Tanpa perlindungan daripada sel ini, hati akan menjadi lebih terdedah kepada jangkitan dan pelbagai komplikasi yang boleh menjejaskan kesihatan tubuh secara keseluruhan.
4. Metabolisme Dan Penghasilan Protein
Selain menyimpan glikogen sebagai sumber tenaga, hati juga membantu dalam mengawal paras gula darah serta menghasilkan protein penting seperti albumin dan faktor pembekuan darah. Apabila fungsi ini terganggu, ia boleh menyebabkan keletihan, ketidakseimbangan gula, lebam mudah berlaku dan bengkak pada abdomen atau kaki.

Mitos: Hati Tidak Boleh Rosak?
Terdapat tanggapan bahawa hati adalah satu-satunya organ yang mampu memulihkan dirinya sendiri. Walaupun benar, kemampuan ini mempunyai hadnya. Dr. Chow menegaskan bahawa gaya hidup tidak sihat adalah punca utama kerosakan hati — termasuk pengambilan alkohol berlebihan, pemakanan tinggi lemak tepu dan gula, obesiti serta penggunaan ubat-ubatan atau suplemen yang tidak dikawal.
Mengenal Peringkat Penyakit Hati
Penyakit hati lazimnya bermula dengan hati berlemak (fatty liver) yang tidak menunjukkan sebarang gejala dan hanya boleh dikesan melalui imbasan.
Jika tidak dikawal, ia boleh berkembang kepada keradangan, fibrosis, dan seterusnya sirosis, iaitu kerosakan kekal pada hati.
Untuk pengetahuan anda, kerosakan hati bermula dengan keradangan yang berpanjangan dan seterusnya membentuk tisu parut yang dikenali sebagai fibrosis. Lama-kelamaan, fibrosis ini boleh bertambah teruk dan menyebabkan sirosis, iaitu keadaan di mana tisu hati yang sihat digantikan dengan tisu parut yang tidak lagi mampu menjalankan fungsi penting hati.
Ketika ini, tanda-tanda seperti jaundis (kulit dan mata menjadi kuning), mudah lebam atau berdarah, muntah darah, dan kekeliruan mula muncul disebabkan ketidakupayaan hati untuk menyahtoksik bahan buangan dari tubuh.

Jika dibiarkan, sirosis boleh membawa kepada komplikasi yang lebih serius seperti kanser hati atau kegagalan hati, iaitu keadaan di mana hati tidak lagi mampu menyokong kehidupan tanpa rawatan perubatan lanjut seperti pemindahan organ.
Menjaga Hati untuk Kesihatan Berpanjangan
Memandangkan kerosakan hati berkait rapat dengan gaya hidup, langkah pencegahan adalah amat penting. Berikut merupakan saranan Dr. Chow untuk mengekalkan kesihatan hati:
- Amalkan pemakanan sihat: Kurangkan pengambilan makanan diproses, gula dan lemak tepu. Sebaliknya, pilih lemak sihat daripada minyak zaitun, ikan berlemak dan kekacang.
- Kekal aktif dan kawal berat badan: Penurunan berat badan 5-10% bagi individu obes boleh membantu membalikkan keadaan hati berlemak.
- Cukupkan rehat dan tidur: Hati bekerja lebih efisien semasa kita berehat.
- Berhati-hati dengan suplemen dan ubat tradisional: Pastikan kesemuanya mendapat pengesahan daripada pihak berautoriti.
- Lakukan pemeriksaan berkala: Pemeriksaan tahunan dapat membantu mengesan tanda-tanda awal kerosakan hati.
Kesedaran mengenai fungsi dan kepentingan hati masih belum mencukupi dalam kalangan masyarakat. Hari Hati Sedunia merupakan satu peringatan untuk kita memberi perhatian kepada organ penting ini yang selama ini bekerja dalam diam. Mulakan langkah penjagaan dari hari ini — kerana hati yang sihat, membawa kepada kehidupan yang lebih sihat.