Sony Memperkenalkan FE 50-150mm F2 GM – Lensa Zum Telefoto Serbaguna Dengan Prestasi Profesional
Lina Rosli
Sony memperkenalkan lensa terbaharunya, FE 50-150mm F2 GM, yang merupakan lensa zum telefoto pertama di dunia dengan panjang fokus maksimum 150mm dan apertur F2 yang malar.
Lensa ini direka khas untuk golongan profesional dalam fotografi dan videografi, termasuk jurufoto perkahwinan, potret, acara dalaman, serta penggiat sukan tertutup.
Untuk pengetahuan anda, lensa FE 50-150mm F2 GM merupakan sebahagian daripada siri G Master yang terkenal dengan keupayaan optik yang tinggi.
Lensa ini memberikan gabungan ketepatan resolusi yang luar biasa serta kesan bokeh yang halus. Ia turut menyokong keperluan mereka yang menggunakan sistem kamera Sony Alpha untuk mendapatkan hasil imej terbaik dalam pelbagai keadaan pencahayaan dan subjek.

Keupayaan Optik Unggul Dan Bokeh Halus
FE 50-150mm F2 GM menampilkan reka bentuk dalaman optik yang merangkumi dua elemen XA (Extreme Aspherical), dua elemen Super ED (Extra-low Dispersion), dan tiga elemen ED. Gabungan ini membantu mengurangkan pantulan atau aberasi secara berkesan, sekaligus menghasilkan imej yang tajam dan kontras tinggi merentasi julat zum penuh.
Lensa ini turut dilengkapi sistem pemfokusan terapung yang membolehkan jarak fokus minimum 0.4 meter di hujung sudut lebar dan pembesaran maksimum 0.20 kali – sesuai untuk rakaman subjek secara terperinci.
Apertur F2 yang malar sepanjang julat zum menghasilkan latar kabur (bokeh) yang halus, menjadikannya pilihan ideal untuk jurufoto potret dan perkahwinan yang ingin menyerlahkan subjek dengan kedalaman yang sesuai.

Reka Bentuk Dalaman Zum Dan Saiz Kompak
Untuk pengeyahuan anda juga, lensa FE 50-150mm F2 GM hanya berukuran kira-kira 200mm panjang dan seberat 1,340g – menjadikannya mudah dibawa, sama ada digunakan secara genggam mahupun dipasang pada gimbal.
Reka bentuk zum dalaman mengekalkan keseimbangan berat lensa, tanpa perubahan panjang fizikal semasa zum – sesuai untuk produksi video yang memerlukan kestabilan tinggi.

Prestasi Autofokus Tepat dan Pantas
Lensa ini dilengkapi dengan empat motor linear XD (Extreme Dynamic) yang digabungkan dengan algoritma kawalan terkini Sony. Ia memberikan kelajuan autofokus yang pantas, senyap dan tepat. Sistem ini turut menyokong penggunaan bersama Sony Alpha 9 III, termasuk rakaman berterusan sehingga 120 bingkai sesaat dengan penjejakan autofokus dan autoeksposur penuh.
Sesuai Untuk Penggambaran Video Sinematik
Sony turut menyesuaikan lensa ini untuk keperluan sinematik dengan ciri-ciri seperti pengurangan pernafasan fokus dan sokongan ciri Breathing Compensation pada kamera Sony terpilih. Sistem fokus manual Linear Response MF memastikan kawalan yang lebih intuitif, manakala motor XD yang senyap membolehkan rakaman audio bersih tanpa gangguan bunyi mekanikal.
Dari segi ketahanan, lensa ini direka dengan perlindungan terhadap habuk dan lembapan, serta disalut dengan lapisan fluorine untuk memudahkan pembersihan dan melindungi permukaan hadapan lensa daripada kekotoran dan minyak.
Bagi yang berminat, lensa FE 50-150mm F2 GM (SEL50150GM) akan mula ditawarkan di pasaran Malaysia bermula Mei 2025.