Continental Akan Menamatkan Operasi Kilang Tayar Di Alor Setar Menjelang Akhir 2025

April 29, 2025
Automotif

Lina Rosli

Baru-baru ini, Continental mengumumkan di mana mereka akan menamatkan operasi pengeluaran tayar di fasiliti milik penuh mereka di Alor Setar, Kedah menjelang hujung tahun 2025 – kini akan fokus kepada operasinya di Petaling Jaya, Selangor.

Untuk pengetahuan anda, kilang Continental ini telahpun memulakan operasinya sejak Disember 1979 dan telah menjadi sebahagian daripada Continetal sepenuhnya sejak tahun 2012. Fasiliti di Alor Setar ini merupakan pusat pengeluaran tayar untuk kereta penumpang, lori bersaiz kecil dan juga tayar motosikal yang dipasarkan di rantau Asia-Pasifik.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan, keputusan ini dibuat selepas Continental menjalankan semakan menyeluruh terhadap struktur perniagaan mereka di Asia Pasifik. Langkah ini bertujuan untuk memastikan daya saing jangka panjang syarikat selain menyesuaikan operasi dengan perubahan permintaan pasaran global.

Syarikat Continental turut menekankan bahawa penamatan operasi ini bukanlah satu penarikan diri dari pasaran Malaysia, sebaliknya ia adalah sebahagian daripada strategi untuk mengoptimumkan portfolio dan rangkaian pengeluaran di rantau ini.

Tambah Continental juga, walaupun fasiliti di Alor Setar akan dihentikan, Malaysia kekal sebagai salah satu pasaran utama bagi Continental di Asia Pasifik. Syarikat ini mengekalkan kehadirannya menerusi operasi lain termasuk kilang di Petaling Jaya, sekaligus mengukuhkan komitmen terhadap pelanggan dan rakan kongsi tempatan.

Continental turut menjelaskan bahawa Asia Pasifik akan terus menjadi wilayah tumpuan bagi pertumbuhan strategik syarikat. Mereka akan terus memberi tumpuan kepada pasaran penggantian dan peralatan asal menerusi jaringan pengeluaran yang lain seperti di Hefei (China), Rayong (Thailand), Modipuram (India), Kalutara (Sri Lanka), serta Petaling Jaya (Malaysia).

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd