Carian
LEGOLAND Malaysia Hadir Dengan Taman Bunga LEGO Pertama Di Dunia – LEGO Flower Garden MINILAND
May 6, 2025 Lina Rosli

LEGOLAND Malaysia Resort terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai destinasi mesra keluarga terunggul di rantau ini dengan pelancaran tarikan terbaharu – LEGO Flower Garden MINILAND yang telahpun dibuka sejak 28 April 2025 yang lepas.

Menariknya, LEGO Flower Garden MINILAND merupakan taman bunga LEGO pertama seumpamanya di dunia, membawakan pengalaman imersif yang menggabungkan keindahan alam semula jadi dengan kreativiti dunia LEGO.

Dengan keluasan melebihi 4,100 kaki persegi, taman ini menampilkan lebih 792,000 bongkah LEGO yang digunakan untuk membina pelbagai jenis bunga daripada koleksi LEGO Botanicals.

Antara jenis yang dipamerkan termasuklah jambangan bunga Wildflower Bouquets, Sunflowers, Orchids, Bonsai Trees dan Cherry Blossoms. Keunikan taman ini turut diserlahkan melalui sebuah model Rafflesia berskala besar yang direka khas, sebagai penghormatan kepada bunga ikonik Asia Tenggara.

Gabungan Flora Sebenar Dan Rekaan LEGO yang Mengagumkan

Pengunjung yang melangkah masuk ke taman ini akan disambut dengan suasana yang mengasyikkan – hasil gabungan tumbuhan sebenar bersama kehijauan tiruan ciptaan LEGO yang terperinci.

Keindahan ini dilengkapkan lagi dengan kehadiran hidupan liar daripada LEGO seperti rama-rama, burung berwarna-warni, katak serta ikan, yang menghiasi sudut-sudut taman dan ciri air buatan LEGO yang mempesonakan.

Selain bersiar-siar dan bergambar di lokasi-lokasi menarik seperti Feature Wall dan Dome bergaya, pengunjung turut berpeluang mempelajari fakta menarik tentang bunga dan meneroka butiran tersembunyi yang terdapat dalam taman ini.

Salah satu tarikan utama ialah bengkel Master Model Builder, di mana pelawat dapat mempelajari teknik membina bunga menggunakan semula bongkah LEGO lama – satu pendekatan kreatif yang turut membawa mesej kelestarian. Dengan sambutan Hari Ibu yang bakal tiba, para pengunjung juga digalakkan mencipta sejambak bunga LEGO sebagai hadiah yang unik dan penuh makna.

Pratonton Eksklusif Untuk Pemegang Pas Tahunan

Sebagai penghargaan kepada pemegang pas tahunan, LEGOLAND Malaysia turut menawarkan pratonton eksklusif sebelum pelancaran rasmi. Peluang ini termasuk lawatan khas di sebalik tabir, penyertaan dalam bengkel bunga LEGO istimewa dan sesi fotografi bersama karya binaan yang menakjubkan.

Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, layari laman web rasmi LEGOLAND Malaysia atau ikuti saluran media sosial mereka di Facebook dan Instagram.

Komen