Gamuda Cove kini dilihat mengukuhkan identitinya sebagai bandar pintar yang berpaksikan kelestarian dan keharmonian alam. Terbaharu, Gamuda Land menerusi unit hospitaliti dan rekreasi mereka, GL Play, telah menandatangani beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dengan empat rakan strategik iaitu Enfiniti Escapes (M) Sdn. Bhd, One Universal Production Sdn. Bhd. (OUP), Wonderful Wildlife & Recreation Management Sdn. Bhd. (WWRM), dan Seven Evernew PLT.

Kerjasama ini bertujuan memperkenalkan pelbagai tarikan baharu yang bukan sahaja menyeronokkan, malah mendidik serta selari dengan konsep pemuliharaan alam sekitar.
Antara lokasi utama yang akan menempatkan tarikan baharu ini termasuklah kawasan Paya Indah Discovery Wetlands (PIDW) seluas 1,111 ekar, Wetlands Arboretum seluas 90 ekar dan hab komuniti The Hive.
Zoo Bertaraf Edukasi Dan Pemuliharaan
Dengan kerjasama WWRM, sebuah zoo akan dibangunkan berasaskan tiga prinsip utama pemuliharaan, pendidikan, dan kebajikan haiwan. Zoo ini akan menempatkan hampir 90 spesies termasuk Bat-eared Fox dan Black Palm Cockatoo.
Selain pameran haiwan, program interaktif seperti lawatan berpandu, sesi memberi makan dan pertunjukan hidupan liar akan ditawarkan dan dibimbing oleh Jabatan PERHILITAN.

Menurut Dato’ Hasnan bin Haji Yusop, Timbalan Ketua Pengarah PERHILITAN, kerjasama ini dijangka mampu mempertingkatkan kesedaran awam terhadap biodiversiti Malaysia dan menyumbang secara signifikan kepada sektor eko-pelancongan negara.
Penginapan Eko Mewah Dalam Keindahan Alam
Bagi yang mengidamkan percutian tenang dan eksklusif, dua konsep penginapan berbeza bakal diperkenalkan:
- Tiarasa Lakeside oleh Enfiniti Escapes, diinspirasikan daripada kejayaan Tiarasa Escapes di Janda Baik, mengetengahkan pengalaman glamping mewah yang memfokuskan kepada keseimbangan minda, tubuh dan alam.
- Luxury Pool Villas oleh OUP, yang akan mengubah suai chalet sedia ada di PIDW kepada vila eksklusif lengkap dengan kolam peribadi dan sarapan terapung. OUP turut merancang pembinaan vila di tepi tasik dengan akses terus ke kawasan air.

Ruang Bermain Interaktif Untuk Kanak-Kanak
Melengkapkan penawaran baharu di Gamuda Cove ialah TiniTin Town, taman permainan dalaman yang direka khas untuk kanak-kanak bawah 10 tahun oleh Seven Evernew PLT.
Bertempat di The Hive, taman berkeluasan 9,000 kaki persegi ini membawakan konsep pekan mini bertema dengan watak asli tempatan serta struktur permainan interaktif yang selamat dan bersih. Inisiatif ini menyasarkan pembentukan ikatan kekeluargaan sambil memupuk daya imaginasi anak-anak.
Semua tarikan baharu ini dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan kunjungan dan aktiviti ekonomi di Gamuda Cove, khususnya di kawasan komersial seperti Townsquare dan pusat beli-belah akan datang, Cove Centrum.

Dalam jangka masa panjang, ia turut menyokong visi pembangunan ASAI Gamuda Cove, sebuah hotel gaya hidup oleh Dusit International Group yang dijangka dibuka pada awal 2026.
Terletak strategik berhampiran Lebuhraya ELITE dan KLIA, Gamuda Cove bukan sahaja menawarkan akses bandar yang mudah, malah menjanjikan pengalaman yang mendalam dalam kesejahteraan, pendidikan alam dan gaya hidup lestari.