Bersedia untuk melangkah ke dunia magis yang penuh warna, cahaya dan imaginasi? Jika ya, anda mungkin boleh melawati D Adventurous Project bermula hari ini hingga 29 Jun 2025.
Untuk pengetahuan anda, D Adventurous Project membawakan pameran seni imersif pertama di Pulau Pinang yang dijamin mengujakan setiap deria anda. Bertempat di 1st Avenue Mall, acara ini berlangsung setiap hari dari 10.00 pagi hingga 9.45 malam dan menampilkan 14 zon seni interaktif yang menggabungkan teknologi, kreativiti dan emosi dalam satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Antara sorotan utama termasuklah D S.T.A.T.I.O.N, di mana anda boleh muat naik swafoto dan melihat kisah dongeng AI yang dibina daripada wajah anda sendiri.
Tidak cukup dengan itu, pengunjung juga boleh melangkah masuk ke zon Whimsical Galaxy yang disinari bulan bercahaya, atau menyelusuri The Enchanted Tree of Wishes yang penuh keajaiban visual.

Bagi ibu bapa yang membawa kanak-kanak, jangan ketinggalan untuk berkunjung ke zon My Little World dan Touch of Dawn – ruang interaktif yang sesuai untuk keluarga.

Apa yang menarik juga, pengunjung juga boleh membawa pulang kenangan istimewa menerusi D Adventurous Journal, buku cerita peribadi yang dihasilkan menggunakan AI berdasarkan pengembaraan anda di pameran ini.
Untuk harga tiket, ia dijual pada harga bermula dari RM38 untuk kanak-kanak dan RM48 untuk dewasa tempatan. Dan untuk penjimatan yang lebih berbaloi, anda boleh dapatkan pakej keluarga atau diskaun kumpulan jika membuat tempahan melalui Klook.


Dan kalau anda penggemar kopi dan pastri, jangan lupa untuk singgah ke D Adventurous Café – merupakan kafe kolaborasi bersama Pacific Coffee. Sementara itu, D Marketplace pula dibuka pada setiap hujung minggu dengan pelbagai barangan kraf dan produk tempatan.