Honda Malaysia Rasmi Melancarkan All New e:N1 Pada Harga RM149,900
Lina Rosli
Honda Malaysia secara rasmi telah melancarkan model Battery Electric Vehicle (BEV) pertamanya, iaitu All-New e:N1 pada harga jualan bermula RM149,900
Model e:N1 ini merupakan kereta elektrik pertama Honda yang mana model ini memfokuskan kepada pemanduan yang selesa dan dinamik pemanduan yang menyeronokkan.


Dibangunkan menggunakan platform e:N Architecture F, sebuah sistem pacuan hadapan yang direka khas bagi memastikan pecutan lancar dan kawalan tepat di pelbagai keadaan jalan raya.
Dilengkapi dengan motor elektrik berprestasi tinggi dan bateri lithium-ion berkapasiti 68.8kWh, e:N1 mampu menjana kuasa maksimum 150kW dan tork sehingga 310Nm, serta menawarkan jarak pemanduan sehingga 500km (berdasarkan standard NEDC).

Dari segi reka bentuk luaran, e:N1 menampilkan lampu utama LED sepenuhnya, lampu belakang LED, serta rim aloi dwitona 18 inci yang eksklusif untuk model BEV Honda.
Pengecasan pula boleh dilakukan melalui port hadapan tersembunyi untuk pengecasan AC (10kW) dan DC (78kW), bersama penunjuk pengecasan yang terletak di atas gril hadapan bagi memudahkan pemantauan.

Dari segi saiz, e:N1 berukuran 4,380mm panjang, 2,610mm jarak roda, dan 1,592mm tinggi – menjadikannya model BEV yang seimbang dari aspek ruang dan kelincahan.
Seperti model-model Honda yang lain, keselamatan terus menjadi keutamaan. e:N1 dilengkapi teknologi Blind Spot Information (BSI) bersama Cross Traffic Monitor (CTM) dan set lengkap sembilan fungsi keselamatan canggih di bawah Honda SENSING, memberikan lebih keyakinan kepada pemandu dalam pelbagai situasi.

Mengenai panel inforia pula, Honda Civic hadir dengan saiz sebesar 15.1-inci dan rekaan antaramuka yang lebih kemas dan minimalis. Untuk pengetahuan anda juga, kereta ini turut membenarkan sambungan Apple Car Play secara nirwayar.
Honda e:N1 menampilkan 3 bahagian skrin yang memfokuskan kepada keperluan pemanduan seperti:
- Skrin atas – Paparan untuk navigasi, jam, Apple Car Play dan kamera belakang
- Skrin tengah – Tetapan pemanduan
- Skrin bawah – Paparan A/C tetap

Bagi yang berminat, Honda menawarkan 3 pilihan warna untuk model BEV e:N1 ini iaitu warna Aqua Topaz Metallic, Urban Grey Pearl, Platinum White Pearl.
Honda Malaysia juga memberikan waranti servis selama lapan tahun atau sehingga 160,000 km.
Menarik bukan? Jika anda berminat untuk mengalami sendiri kelebihan Volvo EX30, jangan lepaskan peluang untuk membuat tempahan atas talian hari ini.
Untuk membuat tempahan awal, pelanggan boleh melayari https://prebook.honda.com.my/ atau menggunakan aplikasi HondaTouch.