Volvo Cars Memperkenalkan Tali Pinggang Keledar Multi-Adaptif Pertama Di Dunia – Tingkatkan Perlindungan Penumpang Secara Pintar
Lina Rosli
Volvo Cars mengumumkan satu pencapaian terbaharu dalam bidang keselamatan automotif dengan memperkenalkan tali pinggang keledar multi-adaptif pertama di dunia. Teknologi ini direka bagi meningkatkan perlindungan kepada semua penumpang kenderaan dalam pelbagai situasi kemalangan sebenar, menerusi penyesuaian pintar berdasarkan data masa nyata.
Tali pinggang keledar inovatif ini bakal diperkenalkan secara rasmi menerusi model Volvo EX60 – model kereta elektrik Volvo yang dijadualkan dilancarkan pada tahun 2026.


Sistem ini memanfaatkan data daripada sensor canggih dalaman dan luaran bagi mengenal pasti ciri individu seperti ketinggian, berat badan, bentuk tubuh dan posisi duduk – yang mana akan menyesuaikan tahap perlindungan yang paling sesuai mengikut keperluan setiap penumpang.
Sebagai contoh, penumpang bersaiz besar yang terlibat dalam kemalangan berimpak tinggi akan menerima tetapan beban tali pinggang yang lebih tinggi untuk mengurangkan risiko kecederaan serius.
Sebaliknya, bagi penumpang bersaiz kecil dalam pelanggaran yang lebih ringan, beban tali pinggang akan dikurangkan bagi mengelakkan kecederaan seperti patah tulang rusuk.

Lebih Banyak Profil Perlindungan, Penyesuaian Mengikut Situasi
Berbeza daripada sistem tali pinggang keledar tradisional yang hanya menggunakan tiga profil had beban, teknologi multi-adaptif ini menawarkan sehingga sebelas profil berbeza. Ini membolehkan penyesuaian lebih tepat terhadap pelbagai jenis pelanggaran, postur duduk, serta sifat fizikal individu.
Tambahan pula, sistem ini berupaya diperbaharui secara berterusan melalui kemas kini perisian over-the-air (OTA). Ini bermakna prestasi sistem akan terus ditambah baik selari dengan penambahan data dan penemuan baharu dalam penyelidikan keselamatan jalan raya oleh Volvo Cars.
Menggabungkan Ekosistem Keselamatan Menyeluruh
Tali pinggang keledar multi-adaptif ini merupakan sebahagian daripada sistem keselamatan Volvo Cars yang lebih menyeluruh. Ia berfungsi bersama dengan beg udara, sistem pengesanan penumpang, serta sistem bantuan pemandu untuk membentuk satu ekosistem perlindungan menyeluruh yang mampu mengurangkan risiko kecederaan lanjutan.

Sistem ini telah menjalani ujian dan pembangunan menyeluruh di Volvo Cars Safety Centre, sebuah makmal ujian pelanggaran berteknologi tinggi yang menyambut ulang tahun ke-25 pada tahun ini. Di fasiliti ini, jurutera Volvo boleh mensimulasikan pelbagai senario kemalangan sebenar yang membolehkan ujian dilakukan melebihi piawaian keselamatan antarabangsa.

Ketua Pusat Keselamatan Volvo Cars, Åsa Haglund, menyifatkan inovasi ini sebagai langkah penting dalam misi berterusan Volvo untuk menyelamatkan lebih banyak nyawa melalui teknologi pintar dan penggunaan data masa nyata.
Ia juga merupakan naik taraf besar kepada tali pinggang keledar tiga titik moden — ciptaan Volvo sejak 1959 yang dianggarkan telah menyelamatkan lebih sejuta nyawa.