Gong cha Malaysia Raikan Ulang Tahun Ke-14 – Hadir Dengan Kempen Istimewa

June 5, 2025
Makanan & Minuman

Lina Rosli

Gong cha Malaysia kini menyambut ulang tahun ke-14 penubuhannya dengan pelbagai inisiatif menarik yang memberi fokus kepada pelanggan, berlangsung dari 30 Mei hingga pertengahan Julai 2025.

Sempena sambutan ini, Gong cha memperkenalkan kempen promosi selama sebulan yang merangkumi tawaran harga mampu milik, cabaran interaktif yang menghiburkan serta koleksi eksklusif yang pasti menggembirakan peminat setia mereka.

Menurut Pengasas Gong cha Malaysia, Billy Koh, ulang tahun ini bukan sahaja satu pencapaian buat syarikat, tetapi juga peluang untuk menghargai pelanggan yang telah menyokong jenama ini sejak awal.

Antara kempen utama sepanjang sambutan ini termasuk tawaran harga istimewa setiap hari Jumaat. Bermula 30 Mei hingga 27 Jun, pelanggan boleh menikmati minuman saiz regular pada harga hanya RM7.

Selain itu, mereka juga boleh menaik taraf minuman mereka ke saiz besar dengan hanya tambahan RM1. Promosi ini sah di semua cawangan Gong cha seluruh negara dan terbuka kepada semua minuman kecuali menu bermusim dan smoothie.

Bagi menambahkan lagi keseronokan, Gong cha memperkenalkan cabaran interaktif yang dinamakan “Make 14 Lucky”. Melalui cabaran ini, pelanggan yang membuat pembelian di cawangan terpilih berpeluang untuk menyertai satu permainan masa, di mana mereka perlu menghentikan pemasa tepat pada 14.00 saat. Sekiranya berjaya, mereka akan menerima pulangan tunai bernilai RM14.

Cabaran ini diadakan di beberapa lokasi utama termasuk Suria KLCC, Pavilion Kuala Lumpur, TRX, 1 Utama dan beberapa lokasi lain yang akan diumumkan menerusi saluran media sosial rasmi Gong cha.

Tidak cukup dengan itu, Gong cha turut memperkenalkan koleksi plushie edisi terhad yang diinspirasikan daripada tiga perisa ikonik mereka: Milk Tea, Taro dan Brown Sugar. Koleksi ini ditawarkan secara Purchase with Purchase (PWP), di mana pelanggan boleh mendapatkan plushie dengan harga RM20 setiap satu bersama pembelian minuman.

Kempen ulang tahun ke-14 ini menggambarkan komitmen Gong cha dalam mengekalkan hubungan erat bersama pelanggannya, di samping memperkukuh kedudukan sebagai salah satu jenama minuman kegemaran rakyat Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai promosi dan tarikh-tarikh penting, orang ramai disarankan mengikuti akaun rasmi Gong cha Malaysia di Instagram dan Facebook.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd