Huda Beauty Kini Kembali Dimiliki Sepenuhnya Oleh Huda Kattan

June 6, 2025
Kecantikan

Lina Rosli

Jenama kecantikan dan kosmetik bertaraf global, Huda Beauty kini mengumumkan yang mana ia kini kembali beroperasi secara bebas sepenuhnya – selepas menamatkan kerjasama mereka bersama TSG Consumer Partners yang telah berlangsung selama 8 tahun.

Untuk pengetahuan anda, TSG sebelum ini telah mengambil alih pegangan minoriti dalam syarikat pada tahun 2017 dan kini pada tahun 2025, Huda Kattan yang merupakan pengasas Huda Beauty telah membeli semula keseluruhan ekuiti tersebut menjadikan beliau memperoleh semula kawalan penuh ke atas jenama ini.

Dengan pemilikan semula ini, Huda Beauty kini menjadi salah satu daripada jenama kecantikan milik pengasas sepenuhnya. Detik penting ini menandakan permulaan bab baharu yang lebih bermakna bagi jenama ini — memperkukuh komitmennya terhadap inovasi, ketulenan dan sokongan terhadap komuniti globalnya, di samping terus menegakkan visi yang diterajui oleh pengasasnya.

Sejak dilancarkan, Huda Beauty telah mencipta gelombang baharu dalam dunia kecantikan dengan gabungan seni solekan dan inovasi produk. Produk-produk jenama ini sering menjadi tular dan mendapat sambutan hangat di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.

Produk Paling Laris Huda Beauty

Sebagai peneraju trend dalam dunia solekan, beberapa produk Huda Beauty telah mencatat jualan tertinggi dan menjadi pilihan utama peminat kecantikan:

  • Easy Bake Loose Powder – Bedak tabur ini menjadi kegemaran ramai kerana teksturnya yang halus, keupayaan untuk menetapkan solekan dengan baik dan memberikan kemasan tanpa cela sekaligus tanpa mengeringkan kulit.
  • Faux Filter Foundation – Bedak asas dengan liputan penuh ini terkenal dengan keupayaannya menutup cela dan tahan lama – pilihan sempurna untuk solekan glam yang tahan sepanjang hari.
  • Liquid Matte Lipstick – Gincu cecair matte ini menjadi ikon Huda Beauty dengan formula ringan, tidak mengeringkan bibir dan warna-warna yang berani serta tahan lama seperti Trendsetter, Heartbreaker dan Bombshell.
  • Obsessions Eyeshadow Palette – Palet bersaiz kompak ini hadir dalam pelbagai variasi warna yang pigmen tinggi, sesuai untuk solekan harian mahupun majlis istimewa. Varian popular termasuk Nude Obsessions dan Mercury Retrograde.
  • Lip Contour 2.0 – Pensel bibir ini direka untuk membentuk bibir dengan sempurna menggunakan formula yang creamy dan tahan lama, menjadi kegemaran ramai bagi mencipta bibir yang lebih penuh dan terdefinisi.

Dengan gabungan produk yang inovatif serta komitmen berterusan terhadap komuniti, Huda Beauty kini bersedia untuk melangkah lebih jauh di bawah pimpinan penuh Huda Kattan.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd