Hubungan Mulut Dan Usus – Ketahui Masalah Kesihatan Yang Akan Berlaku Jika Anda Tidak Menjaganya Dengan Baik

June 16, 2025
Kesihatan

Lina Rosli

Ramai dalam kalangan rakyat Malaysia hanya memberi perhatian kepada kesihatan mulut apabila mengalami sakit gigi atau bengkak gusi. Pemeriksaan gigi pula sering dianggap tidak penting, apatah lagi jika tiada sebarang rasa sakit.

Namun, menurut pakar, pendekatan ini boleh membawa kepada masalah yang lebih besar – bukan sahaja pada mulut, malah turut menjejaskan sistem penghadaman.

Menurut Profesor Seow Liang Lin, Dekan Fakulti Pergigian di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), terdapat hubungan rapat antara rongga mulut dan usus, dua kawasan tubuh manusia yang menempatkan komuniti mikrob paling padat dan pelbagai. Apabila keseimbangan bakteria di kawasan mulut terganggu, kesannya boleh merebak jauh hingga ke usus.

Sebagai contoh, bakteria daripada penyakit gusi boleh menembusi penghalang darah dan bertahan dalam persekitaran asid di perut. Dari situ, ia boleh menjajah sistem usus, menggugat keseimbangan mikrobiota baik dan mencetuskan keradangan.

Mulut Adalah Pintu Masuk Masalah Usus

Antara gangguan yang boleh berlaku akibat bakteria dari mulut ialah penyakit radang usus seperti Crohn’s disease dan inflammatory bowel disease (IBD).

Dalam masa sama, usus yang tidak sihat juga boleh memberi kesan kepada mulut. Sebagai contoh, masalah GERD (gastroesophageal reflux disease) atau aliran balik asid dari perut boleh menyebabkan hakisan enamel gigi, mengakibatkan kerosakan struktur gigi secara kekal dan sensitiviti tinggi.

Lebih mengejutkan, kehilangan gigi turut dikaitkan dengan penurunan jumlah bakteria baik seperti Faecalibacterium dalam usus – iaitu sejenis bakteria penting yang menghasilkan asid lemak rantaian pendek untuk membantu melawan keradangan secara semula jadi.

Apa Jadi Bila Gigi Rosak?

Kerosakan gigi dan penyakit gusi boleh mengakibatkan kehilangan gigi yang seterusnya menjejaskan keupayaan seseorang untuk mengunyah makanan.

Dalam jangka panjang, ini akan mempengaruhi pemilihan makanan – contohnya, ramai yang mengelakkan sayur atau daging kerana sukar dikunyah, dan beralih kepada makanan diproses yang lebih lembut tetapi rendah zat. Ini berisiko menyebabkan kekurangan nutrisi dan sembelit.

Kesan Merokok Dan Kerosakan Gusi

Satu lagi faktor yang kerap mempengaruhi kesihatan mulut ialah tabiat merokok. Ia bukan sahaja menjejaskan kesihatan gusi, malah mengurangkan aliran darah ke tisu mulut, sekaligus mencetuskan keradangan kronik dalam rongga mulut.

Pemeriksaan Berkala, Bukan Tunggu Sakit

Ramai yang hanya ke klinik apabila mengalami kesakitan – tetapi penyakit gusi selalunya datang tanpa rasa sakit. Malah, tanda awal seperti pendarahan ketika memberus gigi sering diabaikan. Apabila keadaan menjadi lebih teruk, struktur tulang di sekeliling gigi akan terjejas dan menyebabkan gigi longgar – satu kerosakan yang tidak boleh dipulihkan.

Nasihat umum ialah berjumpa doktor gigi sekurang-kurangnya sekali setahun. Namun, jika seseorang mempunyai risiko lebih tinggi seperti masalah gusi, gigi berlubang, atau memakai pendakap gigi, lawatan lebih kerap – mungkin dua kali setahun atau setiap suku tahun adalah lebih sesuai.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd