Pelancongan domestik di Malaysia dilihat kekal menunjukkan perkembangan yang positif untuk beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut Airbnb, laporan menunjukkan yang mana Malaysia merupakan negara paling banyak dikunjungi oleh rakyat tempatan menerusi plaform tersebut pada tahun 2024. Ini menandakan peningkatan minat terhadap percutian dalam negara serta kecenderungan ke arah pengalaman yang lebih asli dan berasaskan komuniti.

Menariknya, selain destinasi popular seperti Kuala Lumpur, kawasan seperti Hulu Langat di Selangor dan Kinta di Perak turut mencuri tumpuan apabila disenaraikan dalam 10 lokasi paling banyak ditempah oleh rakyat Malaysia menerusi Airbnb sepanjang tahun lalu.
Perkara ini secara tidak langsung mencerminkan perubahan pola pelancongan ke arah destinasi yang lebih dekat dengan alam semula jadi dan kurang komersial.
Airbnb turut melaporkan bahawa ramai pengguna tempatan cenderung memilih destinasi berdekatan untuk percutian pendek – sama ada sebagai cuti hujung minggu, cuti keluarga mahupun perjalanan solo.
Kuala Lumpur Kekal Sebagai Tumpuan Antarabangsa
Dalam pada itu, Kuala Lumpur kekal sebagai antara tiga bandar paling banyak ditempah di Asia Tenggara oleh pelancong antarabangsa menerusi Airbnb – selain Bangkok. Negara seperti Singapura, China, Indonesia, Amerika Syarikat dan Korea Selatan pula menjadi penyumbang utama pelancong ke Malaysia.
Bukan itu sahaja, terdapat beberapa destinasi utama yang turut menjadi pilihan pelancong luar negara – ini termasuklah Johor Bahru, Pulau Pinang, Petaling Jaya, Melaka, Langkawi dan Kuching yang menunjukkan kepelbagaian pilihan dalam landskap pelancongan negara.

Trend Baharu Iaitu Percutian Jangka Panjang Dan Solo Travel
Data juga menunjukkan bahawa generasi milenial yang berusia sekitar 30 hingga 39 tahun merupakan kumpulan usia tertinggi yang membuat tempahan penginapan di Malaysia, menandakan kecenderungan terhadap pelancongan yang lebih fleksibel dan berpengalaman.
Selain itu, laporan turut menunjukkan peningkatan sebanyak 17% dalam penginapan jangka panjang di Malaysia yang melibatkan pelancong tempatan dan luar negara. Ini mencerminkan peralihan ke arah gaya pelancongan yang lebih santai dan berorientasikan gaya hidup.

Dalam masa sama, percutian secara solo mencatatkan peningkatan hampir 31%, memperlihatkan kecenderungan terhadap pengalaman peribadi, penemuan diri dan kebebasan dalam menjelajah.
Menurut Ketua Negara Airbnb bagi India dan Asia Tenggara, Amanpreet Bajaj, trend pelancongan ini menunjukkan potensi besar Malaysia dalam menarik minat pelancong menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026. Tambah beliau, penerokaan lokasi baharu dalam negara bukan sahaja menyokong ekonomi setempat, malah memperkaya pengalaman pelancongan secara menyeluruh.