HMNS Jadi Buruan Pelancong Malaysia Di Jakarta – Kedai Pertama Bakal Dibuka Di Kuala Lumpur

June 17, 2025
Gaya Hidup

Lina Rosli

Jenama minyak wangi tempatan Indonesia, HMNS atau disebut sebagai humans, semakin mendapat perhatian daripada pengguna luar negaraterutamanya dari Malaysia.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, kedai fizikal HMNS di Grand Indonesia dilaporkan menerima peningkatan kunjungan daripada rakyat Malaysia yang bercuti di Jakarta atau Medan.

Mungkin untuk anda yang tidak mengenali HMNS ini, apa yang membezakan jenama ini ialah formulasi wangian yang unik dan kompleks, pembungkusan moden serta pengalaman membeli-belah yang dikemas rapi.

Maka, tidak hairanlah mengapa ramai pelancong dari Malaysia yang sebelum ini mengenali HMNS melalui platform edagang mula memilih untuk berkunjung terus ke kedai fizikal bagi mencuba pelbagai varian yang ditawarkan. Antara barisan produk HMNS yang popular termasuklah Farhampton, ORGSM dan Alpha.

Menurut HMNS, peningkatan minat ini dilihat bukan sekadar bersifat sementara. Berdasarkan data dalaman mereka, jumlah pelanggan dari Malaysia menunjukkan pertumbuhan yang konsisten sejak awal tahun. Malah, jenama ini kini menjadi salah satu jenama yang tersenarai dalam senarai ‘wajib beli’ bagi pelancong Malaysia yang melawat Indonesia.

HMNS turut dikenali dengan pendekatan penceritaan yang kuat, identiti visual yang tersusun, serta strategi harga yang menjadikan produk ini tampak eksklusif namun kekal mampu milik. Kesemua elemen ini menjadikan HMNS sebagai jenama wangian tempatan yang berdaya saing di peringkat serantau.

Melihat kepada permintaan yang semakin tinggi dari pasaran Malaysia, HMNS mengesahkan bahawa mereka akan membuka kedai fizikal pertama di Kuala Lumpur pada suku keempat tahun ini. Lokasi ini dijangka terletak di salah satu pusat beli-belah utama di ibu kota, sebagai langkah awal pengembangan jenama ke peringkat Asia Tenggara.

Selain Malaysia, HMNS juga merancang untuk meluaskan kehadiran mereka ke Singapura dan Vietnam dalam masa terdekat. Buat masa ini, pelanggan Malaysia masih boleh mendapatkan rangkaian produk HMNS melalui platform Shopee dan TikTok Shop sehingga kedai fizikal rasmi dibuka kelak.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd