Hyundai Motor Malaysia Bakal Melancarkan Tiga Model Baharu Dalam Segmen SUV Dan MPV – Dipasang Secara CKD

June 18, 2025
Automotif

Lina Rosli

Selari dengan penubuhan Hyundai Motor Malaysia (HMY), sebagai sebahagian daripada perancangan jangka sederhana, Hyundai Motor Malaysia akan melancarkan tiga model baharu dalam segmen SUV dan MPV yang akan dipasang secara tempatan (CKD) melalui kerjasama dengan Inokom Corporation Sdn. Bhd. di Kedah.

Operasi pemasangan ini dijangka bermula pada suku ketiga tahun 2025 dengan perancangan mengeluarkan sehingga tujuh model dalam tempoh lima tahun.

Selain memenuhi keperluan pasaran domestik, sebanyak 30 peratus kenderaan yang dipasang akan dieksport ke pasaran serantau, sekaligus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab strategik Hyundai di ASEAN.

Hyundai turut menyatakan komitmen terhadap pembangunan industri automotif tempatan dengan memberi penekanan kepada kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) serta kenderaan hibrid elektrik (HEV). Model yang diperkenalkan akan menepati keperluan pengguna Malaysia yang semakin cenderung kepada kenderaan pelbagai guna berteknologi tinggi.

Untuk pengetahuan anda juga, sepanjang tempoh edaran Hyundai di Malaysia, terdapat pelbagai model yang telah diperkenalkan yang merangkumi pelbagai rangkaian kuasa (ICE, Hibrid, BEV & HFCV) seperti Elantra, Veloster, Palisade, Sonata, Tucson, Santa Fe, Starex dan Staria – serta kenderaan elektrik dan cekap tenaga yang lebih baharu seperti IONIQ Hybrid, dan IONIQ 5 N.

Secara keseluruhannya, kenderaan-kenderaan ini telah mencatatkan jumlah jualan melebihi 147,862 unit. Ini membuktikan penerimaan di pasaran yang semakin meningkat dan pangkalan pelanggan yang setia kepada Hyundai. 

Dalam masa yang sama, HMY sedang menaik taraf pengalaman selepas jualan termasuk memodenkan bilik pameran, mempertingkatkan sistem digital serta merancang untuk membuka sehingga 25 cawangan menjelang tahun 2030. Langkah ini bertujuan untuk memastikan pelanggan menerima perkhidmatan yang lebih cekap, menyeluruh dan mudah diakses.

Seterusnya, selaras dengan penubuhan HMY juga, semua laman web dan saluran media sosial rasmi Hyundai turut diberikan nafas baharu. 

Untuk memastikan pelanggan boleh terus mendapat akses kepada maklumat terkini yang penting, termasuk peringatan servis, kemaskini perisian, kempen penyelenggaraan, faedah pemilikan kenderaan dan pelbagai maklumat penting lain pada masa depan, pelanggan Hyundai sedia ada di Malaysia digalakkan untuk mengemaskini butiran hubungan mereka melalui pautan ini.

Langkah ini bertujuan memastikan HMY dapat memberikan khidmat sokongan secara berterusan tanpa gangguan serta meningkatkan pengalaman pemilikan kenderaan yang lebih lancar kepada keseluruhan pelanggan Hyundai di Malaysia. 

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd