Crocs x Pokémon Menampilkan Koleksi Baharu Dengan Reka Bentuk Dan Pilihan Jibbitz Charms Eksklusif

June 19, 2025
Fesyen

Lina Rosli

Crocs kembali dengan kolaborasi terbaharu bersama The Pokémon Company International, memperkenalkan koleksi kasut edisi khas yang menampilkan beberapa watak ikonik dari siri televisyen Pokémon.

Koleksi ini merangkumi beberapa versi Classic Clog dengan sentuhan unik dan Jibbitz Charms eksklusif yang memberi ruang kepada peminat untuk menyesuaikan gaya mengikut citarasa masing-masing.

#1 Pokémon Printed Classic Clog

Model ini mengekalkan siluet Crocs yang popular, tetapi tampil dengan cetakan watak-watak kegemaran seperti Pikachu, Squirtle, Charmander dan Bulbasaur. Ia turut disertakan dengan Jibbitz Charms bertemakan Pokémon dan ditawarkan dalam saiz dewasa, kanak-kanak serta bayi.

#2 Kids Pokémon Pikachu Classic Clog

Dihiasi dengan kemasan berkilau dan Jibbitz Charms berinspirasikan ekspresi Pikachu, model ini direka khusus untuk kanak-kanak yang menggemari karakter tersebut.

#3 Pokémon Versus Classic Clog

Menampilkan konsep berbeza untuk setiap belah kasut, model ini mewakili dua elemen utama dalam dunia Pokémon – api dan air. Reka bentuknya memberi kelainan kepada pemakai dengan kombinasi warna dan watak yang kontras.

#4 Pokémon Eevee Classic Platform Clog

Model platform ini diinspirasikan oleh Eevee dan hadir dengan perincian seperti tali belakang berbulu, kemasan berkilau serta rantai logam kecil yang dilengkapi dengan enamel charms. Reka bentuk ini memberi sentuhan feminin dan bergaya kepada koleksi.

Selain kasut, koleksi ini turut menyediakan pelbagai pilihan Jibbitz Charms secara berasingan, termasuk dalam bentuk pek lima atau individu.

Antara watak yang ditawarkan ialah Eevee, Vulpix, Ditto, Cubone, Togepi, Meowth, Pikachu dan Poké Ball, memberikan lebih banyak pilihan untuk peminat menyesuaikan kasut mengikut personaliti masing-masing.

Bagi yang berminat, koleksi edisi khas Crocs x Pokémon ini kini boleh didapati di butik Crocs terpilih serta secara dalam talian melalui laman rasmi crocs.com.my pada harga bermula RM259 sepasang.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd