Serlahkan Gaya Santai Anda Menerusi Koleksi UNIQLO X Anya Hindmarch

June 24, 2025
Fesyen

Lina Rosli

Pada Mei yang lepas, UNIQLO dilihat telah hadir dengan kolaborasi bersama Anya Hindmarch, seorang pereka fesyen terkenal dari United Kingdom. Beliau hadir dengan koleksi yang menampilkan rekaan unik, kreatif dan penuh elemen versatil.

Bagi yang tidak begitu mengenali Anya Hindmarch, beliau sebenarnya mula dikenali melalui koleksi beg tangan mewah yang menampilkan motif berbeza dan tidak konvensional seperti mata kartun, grafik harian dan mesej jenaka yang menyerlahkan keperibadian si pemakai.

Mula menubuhkan jenamanya sendiri pada tahun 1987, Anya Hindmarch telah lama menjadi nama yang dihormati dalam dunia fesyen, khususnya dalam kategori aksesori. Beliau juga dikenali sebagai antara pereka yang komited memperjuangkan kelestarian dan tanggungjawab sosial dalam fesyen, termasuk kempen beg mesra alam seperti “I’m Not A Plastic Bag” yang dilancarkan pada 2007.

Dalam kolaborasinya bersama UNIQLO, sentuhan kreatif Anya dapat dilihat melalui perincian grafik yang menyeronokkan, motif mata yang ikonik, serta pendekatan reka bentuk yang menggabungkan fungsi dengan gaya. Kerjasama ini memberi nafas baharu kepada helaian asas UNIQLO, menjadikannya lebih ekspresif dan sesuai untuk mereka yang ingin mengekspresikan gaya dengan cara yang bersahaja namun tetap menyerlah.

Dikenali sebagai koleksi “T-SHIRT SHOP”, barisan pakaian ini bukan sekadar menampilkan helaian asas harian, malah hadir dengan nilai estetika yang boleh disuai padan mengikut gaya peribadi masing-masing.

Bagi peminat gaya bersahaja dan berstruktur, kemeja T1BOXY dengan potongan kotak memberikan siluet uniseks yang moden. Ia boleh digayakan bersama seluar EZY Ultra Stretch untuk tampilan kasual atau digabungkan dengan skirt flare berstruktur seperti Washable Milano Ribbed Flare Skirt untuk sentuhan yang lebih feminin. Pilihan aksesori seperti topi UV Protection Cap dan beg silang mini melengkapkan gaya dengan aura santai dan bergaya.

Sementara itu, rekaan T2CLASSIC pula lebih sesuai untuk mereka yang menggemari potongan kemas dan feminin. Dengan bentuk sedikit berpinggang, helaian ini mudah dipadankan bersama Wide Trouser Jeans dan jaket ringan seperti AIRism UV Protection Full-Zip Hoodie untuk gaya yang praktikal namun tetap elegan – sesuai untuk aktiviti seharian yang memerlukan keselesaan sepanjang hari.

Bagi mereka yang lebih cenderung kepada gaya berlapis, rekaan T3SLEEVELESS tampil sebagai pilihan yang ideal. Ia boleh disarung di bawah jaket pendek seperti Zip-Up Short Jacket, dan digandingkan bersama geared shorts untuk menampilkan gaya utilitarian yang kontemporari. Aksesori seperti beg silang pelbagai poket dan cermin mata hitam berbingkai nipis menyerlahkan lagi gaya yang lebih segar dan moden.

Tidak ketinggalan, rekaan T4TANK menawarkan helaian asas yang versatil dan mudah digayakan mengikut keperluan. Ia boleh dilapisi bersama kemeja linen premium atau kardigan rajut untuk keselesaan tambahan. Pilihan padanan seperti seluar flare atau seluar pendek linen memberikan ruang kepada pemakai untuk bereksperimen dengan gaya yang lebih santai mahupun dramatik.

Secara keseluruhan, koleksi UNIQLO x Anya Hindmarch bukan sahaja menepati keperluan pakaian harian yang selesa, malah membawa dimensi baharu dalam mempersembahkan gaya individu melalui rekaan ringkas yang diperhalusi. Koleksi ini kini boleh didapati di cawangan UNIQLO terpilih serta atas talian menerusi laman rasmi mereka.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd