Pandang Pertama PROTON X50 2025 – Wajah Baharu Ikon SUV Tempatan

July 2, 2025
Automotif

Lina Rosli

Sejak dilancarkan pada tahun 2020, PROTON X50 telah menakluk pasaran SUV segmen-B tempatan dengan gaya, prestasi dan teknologi yang menjadi penanda aras baharu dalam industri automotif Malaysia.

Dengan lebih 134,000 unit telah dijual dan gelaran SUV segmen-B terlaris selama lima tahun berturut-turut, X50 kini memasuki fasa baharu evolusinya.

Pada sesi pratonton media yang diadakan di PROTON Centre of Excellence, jenama kenderaan tempatan ini memperkenalkan secara rasmi Proton X50 2025, iaitu sebuah model yang bukan sekadar telah dinaik taraf tetapi turut membawakan anjakan dari segi teknologi, pengalaman pemanduan dan ciri pintar yang relevan dengan gaya hidup masa kini.

Kemaskini Reka Bentuk PROTON X50 2025

Perkara pertama yang mencuri tumpuan sudah tentu ialah reka bentuk luaran yang diberi nafas segar. Model terbaharu ini tampil dengan wajah yang lebih berani dan matang. Gril hadapan direka semula dengan elemen grafik baharu yang mana PROTON menyatakan motif pada gril hadapan X50 menggunakan corak anyaman – sekaligus menyerlahkan lagi rekaan buatan Malaysia dan untuk pengguna Malaysia.

Selain itu juga, PROTON X50 ini turut menampilkan bampar yang lebih agresif dan menyerlahkan posisi X50 sebagai SUV yang lebih tegap dan kontemporari. Di bahagian belakang, spoiler baharu dan kemasan ekzos berkembar berkepala empat memberi kesan visual yang lebih sporty dan ekspresif.

Penampilan keseluruhan kini lebih maskulin tetapi tidak keterlaluan, menjadikannya sesuai untuk pemandu muda profesional mahupun keluarga kecil yang mengutamakan gaya dan praktikaliti.

Bukan itu sahaja, PROTON turut memperluaskan penawaran pilihan warna. Selain warna klasik seperti Snow White dan Jet Grey, Proton memperkenalkan satu warna baharu yang diberi nama Teal Bayou Green, yang tampak moden dan segar, memberikan wajah baharu kepada X50 yang kini lebih dinamik.

Masuk ke ruang dalaman, transformasinya lebih ketara. Kabin X50 2025 jelas mengalami peningkatan signifikan dari segi kualiti bahan dan susun atur. Ruang pemandu kini menampilkan paparan inforia baharu sebesar 14.6 inci, yang mendominasi papan pemuka dan menyuntik rasa premium pada keseluruhan rekaan.

Paparan ini menyokong Android Auto dan Apple CarPlay, dan yang paling menarik, ia kini dilengkapi sistem pengecaman suara dalam Bahasa Melayu — yang pertama seumpamanya dalam industri automotif tempatan. Ini menunjukkan komitmen Proton untuk mendekatkan teknologi dengan kehendak pengguna tempatan.

Penyusunan semula konsol tengah juga mewujudkan rasa lebih lapang dan moden. Sistem gear kini menggunakan column shifter seperti dalam kereta-kereta mewah, dan kehadiran konsol lantai terapung menjadikan bahagian tengah kabin kelihatan bersih dan bergaya.

Tambahan pula, lampu suasana irama 72 warna mencipta suasana pemanduan yang boleh disesuaikan mengikut mood pengguna. Sentuhan ini bukan sahaja memberikan estetika yang menarik, malah menjadikan X50 terasa seperti satu kelas lebih tinggi berbanding sebelumnya.

Ciri Dan Teknologi Baharu Pada PROTON X50

Salah satu pembaharuan utama pada X50 2025 adalah aspek ketersambungan. Melalui aplikasi baharu PROTON Link 2.0, pemilik kini boleh mengakses maklumat status kenderaan secara masa nyata, menghidupkan enjin dan penyaman udara dari jauh, serta menjadualkan temu janji servis terus melalui telefon pintar.

Ini adalah peningkatan besar berbanding model 2020 yang memiliki fungsi yang lebih asas dan bergantung kepada antara muka yang terhad.

Dari aspek keselamatan, PROTON X50 baharu ini menyertakan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 2 yang ditambah baik, termasuk penambahan Sistem Radar Sisi Belakang (RSRS) untuk meningkatkan kesedaran sekeliling semasa memandu.

Sistem Bantuan Parkir Automatik (APA) yang dipertingkatkan serta paparan kamera HD 360 darjah kini turut dilengkapi dengan fungsi pandangan telus bawah kenderaan, memberi kelebihan visual tambahan terutama ketika melalui kawasan sempit atau tempat letak kereta yang mencabar.

Semua ini melengkapkan lagi ciri keselamatan sedia ada yang telah menyumbang kepada penarafan 5 bintang ASEAN NCAP sejak model pertamanya.

Apa yang menarik, perubahan luaran dan dalaman X50 bukan sekadar kosmetik semata-mata. Di bawah hud, Proton telah meningkatkan prestasi model ini dengan penggunaan enjin i-GT 1.5 TD yang baharu, dipadankan dengan transmisi klac berkembar 7-kelajuan yang lebih responsif.

Kuasa maksimum kini mencecah 133 kW dan tork 290 Nm, membolehkan model tahun 2025 ini memecut dari 0 ke 100 km/j dalam hanya 7.6 saat — peningkatan 0.3 saat lebih pantas daripada model sebelumnya.

Tidak hanya itu, kecekapan bahan api juga meningkat sebanyak 4.7%, menjadikan X50 bukan sahaja bertenaga, tetapi juga lebih ekonomik dalam penggunaan seharian.

PROTON turut menekankan bahawa penambahbaikan prestasi ini tidak mengorbankan keselesaan atau ketenangan dalam kabin. Malah, kami mendapati semasa sesi pandu uji ringkas di kawasan trek dalaman, tahap NVH telah diperbaiki. Ini menjadikan pengalaman memandu lebih halus, senyap, dan meyakinkan — ciri yang semakin dicari oleh pembeli SUV moden.

Dengan ini kita dapat lihat yang mana berbanding model terdahulu, X50 2020 telahpun menjadi ikon dengan reka bentuk moden dan ciri teknologi pada harga kompetitif. Namun, versi 2025 ini mengangkatnya ke tahap baharu — bukan hanya sebagai SUV mampu milik tetapi sebuah model yang ditakrif semula untuk kekal relevan dalam landskap automotif yang pesat berubah.

Bagi yang berminat, pra-tempah untuk PROTON X50 2025 ini kini dibuka. Sempena pelancarannya, PROTON turut menawarkan Pakej Tempahan Awal Eksklusif kepada 10,000 pelanggan terawal yang menempah dan mendaftarkan kenderaan mereka bermula 5 Julai 2025 hingga tarikh pelancaran rasmi.

Antara manfaat yang ditawarkan termasuk rebat tunai bernilai RM1,000, kad Touch ‘n Go edisi khasdan banyak lagi. Semua tawaran ini tertakluk kepada terma dan syarat.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd