Separuh Pertama 2025 – 10 Perkembangan Terkini Dunia Makanan Dan Minuman Yang Perlu Diketahui

July 8, 2025
fakta menarik

Lina Rosli

Sudah memasuki separuh kedua bagi tahun 2025, nampaknya terdapat pelbagai pengumuman menarik dan mengejutkan yang telah dilakukan oleh beberapa jenama makanan dan minuman tempatan dan luar negara. Bagi anda yang mungkin terlepas perkembangan terkini, separuh pertama tahun ini telah menyaksikan pelancaran produk baharu, kerjasama jenama dan juga pembukaan cawangan baharu yang mencuri perhatian.

Antara yang paling mencuri tumpuan termasuk kolaborasi unik antara jenama kopi tempatan dengan jenama ais krim popular, pengenalan menu edisi terhad sempena musim perayaan, serta usaha beberapa jenama untuk memperkenalkan menu lebih sihat dan mesra pengguna moden. Tidak kurang juga yang berani membawa kembali nostalgia melalui rekaan semula produk klasik atau membawakan elemen tradisional dalam sajian moden mereka.

#1 Luckin Coffee, Jenama Kopi Popular Dari China Kini Di Malaysia

Luckin Coffee, jenama kopi terkenal dari China, kini semakin giat mengembangkan kehadirannya di Malaysia.

Sejak membuka dua cawangan pertamanya di Sunway Pyramid dan Menara EcoWorld BBCC pada Januari 2025, jenama ini telah menarik perhatian ramai pencinta kopi tempatan. Dalam tempoh beberapa bulan sahaja, Luckin telah berkembang dengan pantas dan kini mempunyai sekitar 20 cawangan di lokasi strategik.

Bagi yang tidak mengetahui, Luckin Coffee menggabungkan kepakaran teknologi dan juga penyediaan kopi yang mana di China, jenama ini telah mencetuskan fenomena dengan ribuan cawangan dalam tempoh singkat.

Dan kini, jenama ini membawa pendekatan yang sama ke Malaysia, dengan membuka cawangan di lokasi strategik seperti pusat beli-belah dan kawasan urban utama. Dengan kemasukan Luckin Coffee ke Malaysia, ia akan mencorak perubahan dalam landskap kopi tempatan yang semakin kompetitif.

#2 Tim Hortons Dan BEUTEA Kini Mempunyai Sijil Halal Dari JAKIM

Tim Hortons Malaysia kini secara rasmi disahkan Halal oleh JAKIM, meliputi semua cawangan sedia ada – iaitu di Sunway Velocity Mall, Sunway Pyramid dan juga IOI City Mall Putrajaya.

BEUTEA, rangkaian minuman teh premium, turut mengumumkan memperoleh pensijilan Halal daripada JAKIM beberapa bulan yang lalu. Pengurus jenama menyatakan bahawa pensijilan ini membolehkan semua peminat menikmati minuman mereka dengan keyakinan penuh .

Dengan dua pengiktirafan ini, pengguna Muslim di Malaysia kini boleh menikmati pilihan kopi dan teh popular dengan ketenangan minda, selari dengan keperluan gaya hidup moden sambil mengekalkan pematuhan syariah yang diiktiraf secara rasmi.

#3 ZUS Coffee Meningkatkan Harga Jualan Sebanyak 30 Sen Bagi Minuman Selain Espresso, Americano, CEO Latte, CEO Coconut Latte Dan Coconut Latte

Pada separuh tahun pertama 2025 juga, ZUS Coffee berkongsikan kepada umum yang mana mereka telahpun mula menaikkan harga bagi kebanyakan minuman mereka – sebanyak 30 sen kecuali ke atas 5 minuman ini iaitu Espresso, Americano, CEO Latte, CEO Coconut Latte dan Coconut Latte.

Peningkatan harga minuman ini dikatakan adalah berikutan dengan harga koko dan juga terdapat gangguan pada bekalan biji kopi mereka disebabkan oleh perubahan iklim yang ekstrim.

Dalam pada masa yang sama, ZUS Coffee turut menyatakan yang mana mereka hadir dengan siri minuman yang ditawarkan pada harga Rahmah – iaitu siri Tak Mau Kopi yang mana menampilkan pilihan minuman tanpa kafein pada harga bermula RM3.90.

#4 ZUS Coffee Menamatkan Penawaran 22 Minuman Di Dalam Menu

Bukan itu sahaja, ZUS Coffee turut mengumumkan penamatan bagi 22 minuman di dalam menu – yang mana ia bertujuan untuk memberi ruang kepada pengenalan menu baharu.

Antara senarai minuman yang akan dihentikan termasuk variasi minuman kopi klasik, minuman bermusim, serta beberapa pilihan berasaskan teh dan perisa tempatan. Berikut ialah senarai penuh minuman yang bakal menamatkan jualan mereka:

Kopi dan Frappé

  • Vietnamese Spanish Latté Frappé
  • Vietnamese Spanish Latté
  • 1L Vietnamese Spanish Latté
  • Espresso Frappé
  • Caramel Cream Frappé
  • Cocoa Mocha Frappé
  • Butterscotch Frappé
  • Butterscotch Latté
  • Butterbae
  • Coconut Mocha
  • Matcho Latté

Minuman Berasaskan Teh dan Perisa Tempatan

  • Rosie Latte
  • Rosie Cham Latté
  • Ro-Ro-Rosie Frappé
  • Earl Grey Cham Latté
  • Tarik Cham Latté
  • Earl Grey Milk Tea
  • Zirty Matcha
  • Melon Matcha Frappé
  • Onde-Onde Matcha Frappé

Minuman Bukan Kafein

  • Honey Lemon
  • ZUS Lemonade

#5 CHAGEE Memperkenalkan Aplikasi Pesanan Minuman Yang Baharu

Sebelum hadir dengan pengenalan aplikasi mudah-alih yang tersendiri, CHAGEE hadir dengan program kesetiaan yang dikenali sebagai Mini CHAGEE Program. Melalui program kesetiaan ini, pengguna boleh melakukan pesanan mengumpul mata ganjaran dan juga menebus baucar promosi yang ditawarkan.

Namun, apa yang membezakan aplikasi ini adalah pengenalan CHAGEE Wallet yang boleh digunakan untuk melakukan pembayaran untuk setiap pesanan dengan lebih mudah.

#6 IKEA Memperkenalkan Resipi Baharu Untuk Bebola Daging Ikonik Mereka

IKEA sememangnya cukup terkenal dengan penawaran menu bebola daging – yang disediakan bersama sos lada hitam, jem strawberi dan juga kentang lecek bersama brokoli rebus.

Untuk pengetahuan anda, untuk bebola daging sahaja, IKEA berjaya mencatakan jualan lebih 24.5 juta bebola daging di seluruh Malaysia bagi tahun 2024. Ini sekaligus membuktikan popularitinya yang tidak pudar.

Dan bagi memastikan kualiti yang ditawarkan adalah sepadan, maka IKEA tampil dengan resipi baharu untuk bebola daging yang mana ia menawarkan rasa yang telah ditambahbaik dengan tekstur lebih kaya dan lebih lembut, namun masih ditawarkan pada harga berpatutan yang sama.

  • 8 biji Bebola Daging Lembu dengan Kentang Lecek & Brokoli – RM12
  • 12 biji Bebola Daging Lembu dengan Kentang Lecek & Brokoli – RM15.50
  • 16 biji Bebola Daging Lembu dengan Kentang Lecek & Brokoli – RM17.90

#7 Paris Baguette Malaysia Kini Buka Hab Pembuatan Makanan Halal Di Johor

Langkah strategik ini bukan sahaja memperkukuh kehadiran jenama ini di Malaysia tetapi juga mengukuhkan rantaian bekalan globalnya, selaras dengan permintaan yang semakin meningkat dalam segmen makanan dan minuman halal di peringkat antarabangsa.

Dengan pasaran halal yang merangkumi lebih 2 bilion pengguna di seluruh dunia, pembukaan hab ini membuktikan komitmen Paris Baguette dan kumpulan induknya, SPC Group, dalam memenuhi standard halal yang ketat serta keperluan pengguna Muslim di seluruh dunia.

Hab ini juga akan menjadi pusat pengeluaran utama bagi produk halal Paris Baguette yang bukan sahaja akan memenuhi permintaan tempatan tetapi juga pasaran eksport.

#8 Kemaskini Aplikasi myNEWS – Yang Kini Menampilkan 3 Lagi Jenama Lain Di Dalam Satu Aplikasi

Aplikasi myNEWS menampilkan pembaharuan pada antaramuka aplikasi yang mana kini lebih kemas, minimalis dan mesra pengguna. Bukan itu sahaja, ia juga menggabungkan akses keahlian myNEWS, CU, Maru Coffee dan juga SuperValue.

Kemaskini ini bertujuan untuk memberikan pengalaman membeli-belah dalam talian yang lebih lancar dan menarik terutama bagi pelanggan setia myNEWS yang sering menggunakan aplikasi untuk promosi dan tawaran istimewa.

#9 Diskaun 20 Sen Untuk Pesanan Kurang Gula Di CoolBlog

Bermula 1 Januari, Coolblog kini memberi peluang kepada anda untuk menikmati minuman kegemaran dengan cara yang lebih sihat. Dengan hanya memilih pilihan kurang gula – sama ada half sugar atau slight sugar – anda boleh nikmati diskaun RM0.20 bagi setiap minuman.

Langkah ini pastinya menggembirakan peminat Coolblog yang ingin mengawal pengambilan gula tanpa perlu mengorbankan rasa. Pilihan seperti ini bukan sahaja menjadikan minuman anda lebih mesra kesihatan, malah ia juga sejajar dengan usaha untuk memupuk gaya hidup lebih baik.

#10 Tealive Kini Sertai Pasaran FMCG Dengan Pelancaran Produk 3-dalam-1

Selepas bermula sebagai jenama teh boba popular tempatan, Tealive kini secara rasmi melangkah ke dalam pasaran barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) dengan pelancaran rangkaian minuman segera 3-dalam-1. Langkah ini menandakan satu pencapaian baharu bagi Tealive dalam usaha membawa pengalaman kafe ke dalam keselesaan rumah pengguna.

Rangkaian ini merangkumi pilihan minuman seperti teh susu, kopi dan coklat yang direka untuk kemudahan dan gaya hidup on-the-go. Produk ini sudahpun mula dijual pada 15 Jun di semua cawangan AEON, kedai Tealive terpilih serta platform atas talian. Setiap kotak berharga RM12.90 dan mengandungi lima hingga enam sachet yang menggunakan bahan premium.

Jadi, ini adalah 10 berita menarik sepanjang separuh pertama 2025 bagi kategori makanan dan minuman. Dengan ini, kita sudah pun mula melangkah ke bulan-bulan terakhir tahun ini.

Jika separuh pertama menampilkan beberapa pencapaian bagi jenama tempatan di Malaysia, maka separuh kedua ini pastinya menjanjikan lebih banyak inovasi dan citarasa baharu yang patut dinantikan.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd