Honda HR-V Baharu Kini Dibuka Untuk Tempahan – Menampilan Rekaan Lebih Bergaya Dan Prestasi Lebih Dinamik

July 9, 2025
Automotif

Lina Rosli

Honda Malaysia mengumumkan bahawa Honda HR-V Baharu kini dibuka untuk tempahan di semua pengedar sah Honda di seluruh negara serta melalui platform atas talian dan juga aplikasi HondaTouch.

Berdasarkan perkongsian, Honda HR-V baharu ini bakal dilancarkan semula menjelang suku ketiga tahun 2025 – ini sekaligus mengekalkan kedudukannya sebagai antara model paling popular dalam kategori SUV segmen B, dan juga merupakan model paling laris Honda dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Sejak mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2015, HR-V telah mencatatkan lebih 169,000 unit terjual setakat Mei 2025. Kombinasi reka bentuk yang bergaya, ruang dalaman yang praktikal, serta prestasi yang baik menjadikannya pilihan utama pemandu di kawasan bandar mahupun pinggir bandar.

Untuk Honda HR-V baharu ini, ia dilihat tampil dengan perubahan yang lebih moden iaitu penampilan gril hadapan minimalis yang baharu, rim aloi dua tona bersaiz 18 inci dan juga jalur lampu belakang LED penuh.

Bagi varian HR-V e:HEV RS, ia menggunakan teknologi hibrid pintar yang menggabungkan penjimatan bahan api dengan pemanduan yang dikuasakan enjin 1.5L e:HEV dengan 131PS dan 253Nm. Dengan ini, ia menawarkan pecutan lancar dan pengalaman pemanduan yang responsif. Untuk varian ini juga, ia menawarkan tiga mod pemanduan iaitu Econ, Normal dan Sport yang boleh disesuaikan dengan keperluan pemandu.

Untuk anda yang mahukan prestasi lebih bertenaga, Honda turut hadir dengan varian enjin 1.5L DOHC VTEC Turbo dengan 181PS dan 240Nm tersedia, manakala varian 1.5L DOHC i-VTEC turut ditawarkan untuk pemanduan yang lebih cekap dan lancar dengan 121PS dan 145Nm.

Kemaskini Sistem Honda SENSING

Honda Malaysia turut menambahbaik sistem sistem Honda SENSING, yang mana kini dipertingkatkan dengan teknologi seperti Adaptive Driving Beam dan Active Cornering Light. Ini menjadikan HR-V bukan sahaja pintar, tetapi juga menawarkan keyakinan dan keselamatan tambahan di jalan raya.

Bukan itu sahaja, Honda HR-V baharu ini turut hadir dalam dua warna pilihan baharu iaitu Phoenix Orange Pearl dan Crystal Black Pearl, yang menyerlahkan lagi sisi sporty dan premium SUV ini.

Bagi anda yang berminat, tempahan untuk Honda HR-V baharu ini kini boleh dibuat menerusi laman prebook.honda.com.my atau melalui aplikasi HondaTouch.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd