Ayam Gepuk Top Global Memperkenalkan Sub-Jenama Baharu – Bebeks By Top Global
Lina Rosli
Ayam Gepuk Top Global kini melangkah setapak lagi dalam menawarkan variasi untuk makanan tempatan dengan memperkenalkan sub-jenama baharu mereka, Bebeks by Top Global.
Menerusi jenama Bebeks ini, pelanggan boleh menikmati variasi menu yang lebih meluas, khususnya sajian berasaskan itik dan juga ayam kampung yang dijangka akan mencuri tumpuan penggemar hidangan tempatan yang asli dan pedas.

Apa yang menarik mengenai jenama baru dari Top Global ini adalah ia hadir dengan pendekatan lebih moden. Ini kerana Bebeks menampilkan identiti tersendiri namun masih mengekalkan rasa asli dan pedas ikonik yang sinonim dengan Top Global.


Antara menu yang ditawarkan termasuklah set Bebek dan set Ayam Kampung yang menawarkan variasi pilihan sambal berbeza seperti Sambal Korek, Sambal Ijo, Sambal Matah dan Sambal Uleg. Melengkapkan hidangan adalah timun, tempe, serunding, bumbu hitam dan jukut goreng. Untuk pilihan menu ini, harga yang ditawarkan adalah bermula RM16.90.
Dari segi penjenamaannya, Bebeks menggunakan warna kuning dan hijau – ini bagi membezakannya dengan jenama Ayam Gepuk sebelum ini yang menggunakan warna kuning dan merah. Untuk logo, Bebeks hadir dengan logo yang lebih minimalis, yang mana menampilkan reka bentuk rata untuk ilustrasi itik dan juga menggunakan tipografi yang lebih tampak premium selain turut memperlihatkan sebarang elemen tambahan yang berlebihan pada latar belakang logo.

Menurut Top Global, pelancaran Bebeks ini juga membuka ruang kepada jenama induk untuk bereksperimen dengan menu dan konsep baharu, tanpa lari daripada asas kualiti dan citarasa yang telah membina kepercayaan pelanggan mereka selama ini.
Bagi anda yang ingin berkunjung ke Bebeks By Top Global ini, ia kini dibuka di Bandar Sri Permaisuri, Cheras yang mana ia dibuka bermula jam 11.30 pagi sehingga 9.30 malam.