Apa Kemaskini Menarik Pada Siri Samsung Galaxy Z Flip7 Dan Z Fold7?
Lina Rosli
Di acara Galaxy Unpacked 2025, Samsung dilihat telah mengumumkan penawaran untuk peranti boleh lipat mereka iaitu Samsung Galaxy Z Flip7 dan juga Z Fold7.
Apa yang menarik untuk tahun ini adalah Samsung menampilkan varian model baharu untuk Samsung Galaxy Z Flip7 FE yang mana ia menampilkan spesifikasi yang sama seperti Samsung Galaxy Z Flip6 – cuma apa yang membezakan adalah dari segi warna dan juga penawaran cip pemprosesan yang baharu.


Bagi anda yang ingin mengetahui apakah inovasi yang ditampilkan oleh Samsung pada kedua-dua siri Samsung Galaxy Flip7 dan Fold7, Tajria kali ini akan berkongsikan kepada anda senarai kemaskini yang diumumkan oleh Samsung untuk pada acara kali ini.
#1 Rekaan Skrin Hadapan Yang Lebih Besar Dan Saiz Peranti Lebih Nipis
Kali ini, Samsung telahpun mengemaskini saiz skrin untuk Samsung Galaxy Z Flip7, iaitu menampilkan skrin Infinity FlexWindow – yang mana saiz kini lebih besar dan lebih menyeluruh iaitu sebesar 4.1-inci. Manakala untuk skrin utama pula, Samsung hadir dengan skrin jenis Dynamic AMOLED 2X yang lebih besar iaitu 6.9-inci.
Bukan itu sahaja, Samsung juga kembali dengan inovasi terbarunya – Galaxy Z Flip7, telefon boleh lipat yang paling nipis dalam siri Galaxy setakat ini. Dengan berat hanya 188 gram dan ketebalan 13.7mm apabila dilipat, ia cukup padat untuk disimpan dalam poket kecil atau beg tangan mini.
Selain itu, Samsung turut memperbaharui engselnya yang mana kini menggunakan Armor FlexHinge yang lebih nipis dan kukuh, memastikan setiap lipatan berjalan lancar dan tahan lama.


Untuk varian Z Flip7 FE pula, ia memperlihatkan skrin dalam sebesar 6.7-inci Dynamic AMOLED 2X dan skrin luar ke 3.4-inci.
Sementara untuk Samsung Galaxy Z Fold7, Samsung kali ini mengemaskini rekaannya yang mana ia kini tampil dengan lebih tipis iaitu hanya setebal 4.2mm pada posisi dibuka, 8.9mm pada posisi ditutup.
Untuk skrin luar, Samsung Galaxy Z Fold7 hadir dengan saiz skrin 6.5-inci Dynamic AMOLED 2X 120Hz yang lebih besar berbanding 6.3-inci untuk model Z Fold6. tahun lalu. Sementara untuk skrin dalam pula, ia menampilkan saiz skrin mencecah 8-inci Dynamic AMOLED 2X 120Hz yang juga kini 0.4-inci lebih besar.
Perbezaan ketara untuk model tahun ini adalah, Samsung nampaknya menggunakan kaca tahan lasak Corning Gorilla Glass Ceramic 2 pada skrin luar dan dalam.

#2 Sistem Kamera Yang Ditambah Baik
Dari segi sistem kamera, Samsung nampaknya masih mengekalkan penggunaan sensor utama yang sama – iaitu untuk kedua-dua Samsung Galaxy Z Flip7 dan Z Flip7 FE menampilkan sistem kamera dwi-lensa 50MP dan 12MP secara terbina.
Sementara untuk Samsung Galaxy Z Fold7 pula, ia hadir dengan sistem tri-kamera yang menggunakan sensor utama 200MP, 12MP dan 10MP – yang menyokong zum optikal 3X. Untuk rakaman swafoto, Samsung Galaxy Z Fold7 hadir dengan lensa kamera 10MP dan menyokong zum optikal 2X.

Untuk pengetahuan anda, penawaran kamera sudut lebar 200MP ini merupakan yang pertama dalam siri Z. Bukan sahaja menghasilkan gambar ultra jelas dan penuh warna, tetapi juga 44% lebih terang daripada sebelumnya.
Digabungkan dengan pemprosesan AI yang bijak, setiap foto dan video akan kelihatan tajam dan hidup – walaupun dalam suasana malap seperti makan malam romantik atau sesi lepak larut malam di kafe. Ciri Night Video pula membantu mengasingkan subjek bergerak dari latar belakang dengan lebih kemas, manakala 10-bit HDR memberikan rakaman yang lebih kaya warna dan realistik pada bila-bila masa.
Selain itu, Samsung Galaxy Z Fold7 juga hadir dengan ciri AI seperti Photo Assist membolehkan pengguna mengalihkan, membesarkan atau memadam objek dalam gambar dengan mudah, manakala Generative Edit yang ditambah baik kini boleh kenal pasti dan padam orang asing dalam foto hanya dengan satu sentuhan.

Satu lagi ciri yang sebelum ini ditawarkan pada siri Galaxy S kini telah boleh diakses di peranti boleh lipat ini – iaitu Audio Eraser baharu boleh menghilangkan dan memadan bunyi latar seperti angin atau trafik. Bukan itu sahaja, Z Fold7 juga hadir dengan fungsi perbandingan ‘Side-by-Side Editing’. Ia membolehkan pengguna melakukan suntingan lebih profesional tanpa perlu aplikasi tambahan.
#3 Dikuasakan Cip Exynos 2500 Untuk Z Flip7 Dan Snadragon Elite Untuk Z Fold7
Untuk Samsung Galaxy Z Flip7, ia dikuasakan oleh cip pemprosesan Samsung Exynos 2500 dan hadir dengan memori 12GB, dan pilihan storan yang bermula dari 256GB. Manakala untuk varian Z Flip7 FE pula, ia menggunakan cip pemprosesan yang sama dengan model sebelum iaitu Samsung Exynos 2400.
Bagi model Samsung Galaxy Z Fold7, Samsung dilihat telah mengemaskini penawaran cip pemprosesan – daripada Snapdragon 8 Gen 3 for Samsung kepada Snapdragon Elite.

#4 Kapasiti Bateri Lebih Besar
Melengkapkan Samsung Galaxy Z Flip7 adalah kehadiran kapasiti bateri sebesar 4,300mAh. Ia juga turut membawakan pengecasan pantas 25W yang boleh mengecas meningkat kepada 50% kapasiti bateri dan Fast Wireless Charging 2.0.
Sementara untuk model Z Flip7 FE pula, Samsung menawarkan kapasiti bateri yang lebih rendah iaitu 4,000mAh – sama seperti model Z Flip6 sebelum ini.

Untuk Samsung Galaxy Z Fold7, Samsung dilihat mengekalkan kapasiti bateri sama seperti model Galaxy Z Fold6 sebelum ini yang mana ia dilengkapi dengan bateri sebesar 4,400mAh yang juga membawakan pengecasan pantas 25W yang boleh mengecas meningkat kepada 50% kapasiti bateri dan Fast Wireless Charging 2.0.
#5 Lebih Banyak Ciri Galaxy AI
Untuk siri boleh-lipat tahun ini juga, Samsung mula menggunakan Android 16 secara terpasang menerusi pelancar One UI 8. Menerusi One UI 8, pengguna kini boleh mengakses ciri Galaxy AI seperti mengubah lakaran menjadi imej, menyunting imej dengan AI, bantuan alih bahasa pada teks, alih bahasa menggunakan panggilan telefon dan ciri ringkasan dokumen menerusi aplikasi Notes.

Manakala untuk Z Flip7, ciri menarik yang ditawarkan kini adalah mod Interpreter yang mana skrin luar peranti boleh memaparkan perbualan yang dialih bahasa secara masa nyata.
Bukan itu sahaja, pada siri boleh-lipat ini juga, ia menawarkan akses kepada Google Gemini dan Gemini Live yang mana ia tersedia terus pada FlexWindow Galaxy Z Flip. Pengguna juga boleh melakukan carian suara, tetapkan peringatan, semak butiran penerbangan melalui Samsung Wallet, cari restoran popular di destinasi, dan simpan semua maklumat dalam Samsung Notes – tanpa perlu buka skrin utama.

Lebih menarik, kini Now Bar dan Now Brief turut ditambah baik yang mana untuk Now Bar, ia memaparkan info masa nyata seperti skor bola, lagu yang sedang dimainkan, ETA rideshare dan kemaskini aplikasi pihak ketiga – semuanya pada skrin kecil FlexWindow.
Sementara, Now Brief pula memberikan kemaskini harian yang diperibadikan seperti trafik, kalendar, data kesihatan dari Galaxy Watch, dan cadangan muzik atau video ikut minat anda. Tak lupa juga, rekaan jam pada FlexWindow kini boleh berubah ikut gambar latar – membalut angka masa dengan kemas tanpa mengganggu imej.
#6 One UI 8 Kini Lebih Pintar & Selamat Menerusi KEEP
Samsung juga kini memperkukuh sistem keselamatan untuk melindungi pengalaman mudah alih anda. Melalui One UI 8, pengguna kini boleh nikmati privasi lebih baik dengan ciri baharu Knox Enhanced Encrypted Protection (KEEP) yang mencipta ruang storan tersendiri untuk setiap aplikasi. Ini bermakna, setiap aplikasi hanya boleh akses maklumat sensitifnya sendiri – menjadikan data peribadi anda lebih selamat daripada biasa.
Bukan itu sahaja, Samsung juga memperluaskan keupayaan Knox Matrix untuk memberi perlindungan lebih proaktif merentasi semua peranti dalam ekosistem Galaxy. Dan untuk yang kerap menggunakan Wi-Fi awam, Samsung juga turut mula menggunakan post-quantum cryptography dalam Secure Wi-Fi – menjadikan proses pertukaran kunci penyulitan lebih tahan godaman, walaupun di rangkaian terbuka.

#7 Pilihan Warna Baharu
Untuk Samsung Galaxy Z Flip7, peranti ini hadir dengan rekaan yang lebih ranggi dengan pilihan warna unik seperti Jetblack, Shadow Blue dan Coralred.
Manakala untuk Samsung Galaxy Z Fold7, pilihan warna baharu yang ditawarkan adalah Jetblack, Silver Shadow dan Blue Shadow.
Bagi anda yang berminat untuk mendapatkan kedua-dua Samsung Galaxy Z Flip7 dan Z Fold7, kesemua model ini boleh didapati pada harga:
- Samsung Galaxy Z Flip7 (12/256GB) – RM 4999
- Samsung Galaxy Z Flip7 (12/512GB) – RM 5599
- Samsung Galaxy Z Flip7 FE (8/128GB) – RM 3999
- Samsung Galaxy Z Flip7 FE (8/256GB) – RM 4299
- Samsung Galaxy Z Fold7 (12/256GB) – RM 7799
- Samsung Galaxy Z Fold7 (12/512GB) – RM 8399
- Samsung Galaxy Z Fold7 (16/1000GB) – RM 9899