HABIB Melancarkan Wafer Emas Edisi Terhad Oyen Dan Capybara

July 10, 2025
Gaya Hidup

Lina Rosli

HABIB memperkenalkan koleksi edisi terhad Wafer Emas 999.9 HABIB x Zoo Negara, yang diinspirasikan daripada kisah persahabatan unik antara seekor kucing jalanan bernama Oyen dan Capybara, sejenis haiwan jinak dari Amerika Selatan.

Menurut HABIB, kisah ini bermula sewaktu PKP pada tahun 2020, apabila seekor kucing terbiar, Oyen, mula menetap di kawasan sekitar kandang Capybara di Zoo Negara.

Kehadiran Oyen ini telah diterima dengan penuh mesra oleh Capybara. Keakraban luar biasa antara dua spesies berbeza ini telah menarik perhatian pihak Zoo Negara, sehingga nama Oyen diabadikan pada papan tanda kandang Capybara — sebagai penghargaan terhadap ikatan unik yang terbentuk secara semula jadi ini.

Oleh itu, HABIB mengabadikan kisah ini dalam bentuk Wafer Emas 999.9 Edisi Terhad Oyen dan Capybara sebagai simbol kasih sayang, kesetiaan dan keprihatinan terhadap haiwan.

Bukan itu sahaja, HABIB turut mengumumkan komitmen berterusan terhadap pemuliharaan hidupan liar menerusi sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Zoo Negara. Sumbangan ini bertujuan untuk memastikan kesejahteraan haiwan serta penyelenggaraan kemudahan di Zoo Negara sentiasa terpelihara.

Pada tahun ini juga, penajaan terhadap spesies Badak Sumbu Putih turut diteruskan oleh HABIB, susulan tajaan terhadap Harimau Malaya yang telah dilaksanakan pada tahun lalu. Usaha ini menjadi simbol komitmen berterusan HABIB dalam melindungi spesies hidupan liar yang semakin terancam serta memainkan peranan penting dalam keseimbangan ekosistem negara.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd