Keju Cabrales Catat Rekod Dunia Sebagai Keju Paling Mahal Pernah Dilelong – Mencecah Harga RM181,000
Lina Rosli
Pada 25 Ogos 2024, satu ketul keju biru dari Sepanyol telah diiktiraf sebagai keju paling mahal yang dilelong dalam sejarah. Berdasarkan perkongsian Guinness World Records, keju Cabrales ini berjaya dijual pada harga €36,000 (sekitar RM181,000). Untuk pengetahuan anda, keju Cabrales ini mempunyai berat kira-kira 2.3kg.
Sebelum ini, di tempat yang sama, keju Cabrales turut mencatat sejarah sebagai antara keju termahal dunia dengan harga tertinggi sebelum ini dicatatkan pada tahun 2019 sebanyak €20,500 (sekitar RM102,500).

Menurut GWR, keju tersebut dihasilkan oleh sebuah kilang keju Ángel Díaz Herrero yang terletak di Cabrales, Asturias, Sepanyol. Ia diperbuat daripada susu lembu dan telah diperam selama 10 bulan di dalam gua semula jadi Los Mazos yang terletak pada altitud hampir 1,500 meter dari paras laut.
Acara lelongan ini merupakan sebahagian daripada tradisi tahunan yang berlangsung sejak beberapa dekad lalu. Pada tahun ini, sebanyak 15 pengeluar keju dari serata kawasan Cabrales menyertai pertandingan dengan menghantar produk terbaik mereka untuk dinilai oleh juri profesional.

Lelongan dimulakan dengan harga asas €3,000 dan menerima sebanyak 40 bidaan sebelum ditutup pada harga tertinggi. Pemenang bidaan ialah Iván Suárez, pemilik restoran El Llagar de Colloto, yang berjaya mendapatkan keju tersebut buat kali kelima berturut-turut. Beliau sebelum ini juga pernah memenangi keju-keju utama dalam lelongan dari tahun-tahun sebelumnya.
Untuk makluman, kilang Ángel Díaz Herrero telah diasaskan sejak lebih 30 tahun lalu. Perniagaan ini kini diuruskan oleh isterinya, Encarni Bada, yang meneruskan operasi pengeluaran keju Cabrales secara tradisional yang menghasilkan lebih 10,000kg keju setiap tahun.