redBus, platform tempahan tiket bas terbesar di Asia Tenggara kini hadir dengan ciri terbaharu yang dikenali sebagai Food Map Malaysia. Menerusi ciri ini, ia memudahkan para pengunjung ataupun penggemar makanan ikonik tempatan untuk mengetahui dan menjejak lokasi restoran dan juga kedai makan yang menawarkan sajian yang diinginkan.

Untuk pengetahuan anda, pengenalan ciri ini adalah selari dengan fokus redBus dalam menggabungkan kegemaran rakyat Malaysia terhadap makanan dan juga pelancongan.
Di Malaysia, terdapat variasi pilihan makan yang ditawarkan yang merangkumi hidangan warisan kaum Melayu, Cina dan India – yang mana menjadikan negara ini kaya dengan juadah daripada pelbagai budaya.

Berdasarkan data yang dikongsikan redBus juga, pelancongan berdasarkan makanan kini dilihat semakin mendapat perhatian oleh kebanyakan individu. Perkara ini dapat dilihat pada data yang menunjukkan perbelanjaan pelancong di Malaysia telah meningkat sebnayak 43% pada tahun 2024 berbanding 2023, dengan makanan muncul sebagai salah satu kategori dengan perbelanjaan tertinggi.
Oleh yang demikian, redBus ingin melangkah jauh daripada bukan sekadar platform tempahan tiket sahaja – tetapi turut berperanan sebagai jabatan budaya yang memperkaya pengalaman pelancongan menerusi makanan.

Melalui Food Map Malaysia, individu boleh merancang perjalanan dan meraikan destinasi kulinari yang menjadi kebanggaan setiap negeri. Kini, terdapat sebanyak 40 hidangan menarik yang boleh diterokai di 160 lokasi tempat makan. Antara contoh makanan tersenarai termasuk Char Kway teow di Pulau Pinang, Laksa Johor di Johor Bahru, Gulai Ikan Termenung di Alor Setar dan Nasi Dagang di Terengganu.
Dengan hanya beberapa klik, pengguna boleh mengakses senarai lokasi makanan terkenal yang telah disusun mengikut negeri. Setiap entri disertakan dengan maklumat ringkas serta lokasi untuk menikmati hidangan tersebut.




Bukan itu sahaja, redBus juga turut menggalakkan penyertaan dan perkongsian daripada para pengguna – bagi menambah senarai hidangan dan juga lokasi tempat makan terutamanya untuk yang tidak begitu terkenal. Dan bagi senarai yang terpilih, redBus akan memaparkan nama penyumbang di dalam peta sebagai pengiktirafan di samping turut menawarkan ganjaran istimewa.
Bagi yang berminat untuk mula mencuba sendiri, ciri Food Map Malaysia ini kini boleh diakses menerusi aplikasi mudah alih RedBus, sekali gus menjadikan platform ini bukan sekadar tempat menempah tiket, tetapi juga sumber inspirasi untuk percutian yang asli dan penuh rasa.