Honda Malaysia Melancarkan SUV Baharu – HR-V 2025 Ditawarkan pada Harga Bermula RM115,900
Lina Rosli
Baru-baru ini, Honda Malaysia telah mengumumkan kemaskini untuk model SUV terlaris mereka iaitu HR-V 2025. Menerusi pelancaran ini, ia menyaksikan penampilan rekaan baharu pada gril hadapan dan juga penampilan rim aloi dua tona bersaiz 18 inci dan juga jalur lampu belakang LED penuh.
Apa yang menarik pada HR-V 2025 ini juga, ia hadir dengan varian e:HEV RS, ia menggunakan teknologi hibrid pintar yang menggabungkan penjimatan bahan api dengan pemanduan yang dikuasakan enjin 1.5L e:HEV dengan 131PS dan 253Nm.


Dengan ini, ia menawarkan pecutan lancar dan pengalaman pemanduan yang responsif. Untuk varian ini juga, ia menawarkan tiga mod pemanduan iaitu Econ, Normal dan Sport yang boleh disesuaikan dengan keperluan pemandu.
Dari segi penawaran enjin, Honda dilihat hadir dengan varian enjin 1.5L DOHC VTEC Turbo dengan 181PS dan 240Nm tersedia, manakala varian 1.5L DOHC i-VTEC turut ditawarkan untuk pemanduan yang lebih cekap dan lancar dengan 121PS dan 145Nm.
Honda Malaysia turut menambahbaik sistem sistem Honda SENSING, yang mana kini dipertingkatkan dengan teknologi seperti Adaptive Driving Beam dan Active Cornering Light. Ini menjadikan HR-V bukan sahaja pintar, tetapi juga menawarkan keyakinan dan keselamatan tambahan di jalan raya.

Untuk rekaan dalam HR-V, ia hadir dengan panel inforia sebesar 8-inci dan rekaan antaramuka yang lebih kemas dan minimalis. Untuk pengetahuan anda juga, HR-V ini turut membenarkan sambungan Apple Car Play dan juga Android Auto secara nirwayar. Selain itu, untuk kemaskini baharu, Honda turut menyertakan port pengecasan Type-C yang mana sebelum ini untuk HR-V, ia hadir dengan penawaran port pengecasan Type-A sahaja.
Tambah Honda Malaysia juga, kini ciri Honda Connect mula ditawarkan untuk kesemua varian HR-V – iaitu termasuk varian standard (S), yang mana tidak terhad untuk model RS sahaja.

Untuk model baharu Honda HR-V ini, ia menampilkan 4 pilihan varian iaitu model RS e-HEV, V Turbocharge, E Turbocharged dan juga S petrol. Dan kesemua varian HR-V ini, ia menawarkan sokongan waranti 5 tahun untuk servis dan juga jarak perjalanan sehingga 100,000km. Sementara untuk e:HEV pula, Honda Malaysia hadir dengan waranti untuk bateri selama 8 tahun dan waranti perjalanan tanpa had.
Untuk pasaran Malaysia, Honda HR-V ini ditawarkan pada harga bermula RM115,900 untuk varian enjin 1.5L DOHC i-VTEC. Sementara untuk varian e:HEV 1.5L Turbo pula, ia dijual pada harga RM143,900 sebuah.
Bukan itu sahaja, Honda HR-V baharu ini turut hadir dalam dua warna pilihan baharu iaitu Phoenix Orange Pearl dan Crystal Black Pearl – melengkapkan pilihan warna sedia ada seperti Platinum White Pearl, Stellar Diamond Pearl dan Meteoroid Gray Metallic.