BMW Group Malaysia Memperkenalkan 3 Model Baharu – BMW iX Dan BMW X5, Turut Mengumumkan Pemasangan CKD

July 21, 2025
Automotif

Lina Rosli

BMW Group Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju automotif premium di negara ini dengan memperkenalkan tiga model terkini iaitu BMW iX xDrive60 M Sport Pro, BMW iX xDrive45 Sport dan BMW X5 xDrive40i M Sport.

Pengenalan kesemua model baharu ini memperlihatkan komitmen BWM dalam menampilkan reka bentuk yang lebih progresif, tetapi juga memberi penekanan kepada pilihan gaya pemanduan yang fleksibel. Bukan itu sahaja, BMW Group Malaysia juga turut mengumumkan yang mana ketiga-tiga model ini kini dipasang secara tempatan.

Dengan ini, ia secara tidak langsung membuka ruang kepada pelanggan untuk menentukan pengalaman pemanduan mereka sendiri – sama ada menerusi teknologi enjin elektrik sepenuhnya atau varian petrol dengan sistem mild-hybrid yang canggih.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang ketiga-tiga model ini, berikut adalah beberapa perkara penting yang perlu anda tahu:

#1 BMW iX xDrive60 M Sport Pro

BMW iX kini hadir dengan dua varian yang mengekalkan bentuk ikoniknya tetapi diberi nafas baharu menerusi elemen reka bentuk yang lebih tajam dan kontemporari. Salah satu ciri paling menonjol ialah gril ‘Iconic Glow’ yang memancarkan cahaya halus apabila pintu dibuka atau ditutup.

Ia dipadankan pula dengan lampu utama adaptif LED baharu dan pakej cermin sisi luar yang diperluas. Bahagian dalaman kedua-dua model pula mengekalkan ruang yang lapang dan moden dengan bumbung kaca panorama Sky Lounge dan sistem bunyi Harman Kardon 18 pembesar suara yang memberikan pengalaman audio yang mendalam.

Varian BMW iX xDrive60 M Sport Pro menawarkan kuasa tertinggi dalam barisan ini dengan 544hp dan tork 765Nm, membolehkan pecutan dari 0 ke 100km/j dalam hanya 4.6 saat. Ia disokong oleh kapasiti bateri 111.5kWh yang mampu menjana jarak perjalanan sehingga 701km mengikut ujian WLTP.

Selain itu, BMW iX baharu ini turut hadir dengan reka bentuk sporty selain menampilkan rim dengan logo M Aerodinamik bersaiz 22 inci dan kemasan dalaman alcantara berwarna Atlas Grey.

Dari segi pengecasan pula, BMW iX xDrive60 M Sport Pro dilengkapi dengan sokongan pengecasan pantas yang mana mengambil masa hanya 10 minit sahaja untuk penambahan jarak sehingga 217km.

#2 BMW iX xDrive45 Sport

Sementara itu, BMW iX xDrive45 Sport pula tampil dengan kuasa 408hp dan jarak pemanduan maksimum 602km, menjadikannya pilihan sesuai bagi pengguna yang mengutamakan keseimbangan antara prestasi dan kecekapan tenaga.

Untuk bateri, ia dilengkapi kapasiti sebesar 100.6kWh disertakan dengan sokongan pengecasan pantas DC pada kadar 175kW – peningkatan berbanding model iX xDrive40 sebelum ini. Antara kemasan eksklusif yang ditawarkan termasuk rim aerodinamik bersaiz 21 inci serta pilihan warna dalaman dan luaran yang lebih meluas.

Kesemua model iX hadir dengan sistem digital terkini termasuk BMW Digital Key Plus, yang membolehkan pengguna membuka dan menghidupkan kenderaan menggunakan telefon pintar mereka. Sistem ini juga membolehkan perkongsian kunci secara maya kepada ahli keluarga atau pemandu lain dengan tetapan had kelajuan dan akses yang boleh dikawal.

Kedua-dua varian turut dilengkapi dengan Driving Assistant Professional dan Parking Assistant Plus yang menawarkan ciri bantuan keselamatan seperti pengesan titik buta, bantuan parkir automatik, dan sistem kawalan lorong pintar.

#3 BMW X5 xDrive40i M Sport

Di samping dua model elektrik tersebut, BMW Group Malaysia turut melancarkan BMW X5 xDrive40i M Sport, sebuah Sports Activity Vehicle (SAV) berkuasa petrol yang telah menjalani pembaharuan besar dari segi reka bentuk luaran dan dalaman.

Dari bahagian hadapan, ia menampilkan gril ikonik yang bercahaya, lampu utama LED adaptif yang lebih tirus serta rekaan apron baharu yang memberikan gaya yang lebih berani dan agresif. Garisan sisi pula diserlahkan dengan rim aloi ringan 21 inci rekaan V-Spoke yang dipadankan dengan brek M Sport, manakala bahagian belakang menampilkan lampu tiga dimensi berbentuk ‘X’ yang kemas dan kontemporari.

Bahagian dalaman BMW X5 baharu pula memperlihatkan elemen kemewahan moden menerusi skrin digital penuh yang melengkung, menggabungkan paparan informasi 12.3 inci dan skrin kawalan 14.9 inci.

Rekaan minimalis disempurnakan dengan bar cahaya LED dan kemasan kayu Fineline Black yang dipadankan dengan trim logam berkilat tinggi. Tempat duduk hadapan kini hadir dengan fungsi larasan elektrik dan memori, dibalut dengan upholsteri Sensafin yang tahan lama tetapi tetap mengekalkan tekstur mewah seperti kulit asli.

Dari segi prestasi, BMW X5 xDrive40i M Sport menggunakan enjin enam silinder sebaris generasi baharu berkapasiti 3.0 liter dengan sistem mild-hybrid 48V. Gabungan ini menghasilkan kuasa 381hp dan tork 540Nm, membolehkan pecutan dari sifar ke 100km/j dalam masa hanya 5.4 saat.

Sistem pacuan semua roda dan transmisi automatik 8-kelajuan memberikan pengalaman pemanduan yang lancar dan responsif, manakala suspensi udara 2-paksi boleh dilaras bagi menyesuaikan ketinggian kenderaan mengikut keadaan jalan atau untuk kemudahan memuatkan barang di ruang but.

BMW X5 ini turut menampilkan pelbagai sistem bantuan pemandu terkini seperti Driving Assistant Professional dan Parking Assistant Professional. Antaranya termasuk sistem amaran lintasan trafik, bantuan penukaran lorong, pembantu lencongan kecemasan serta fungsi bantuan parkir automatik yang boleh disambungkan kepada telefon pintar untuk pengaktifan jarak jauh.

Keseluruhan sistem infotainmen dikendalikan melalui BMW Operating System 8.5 yang menyokong kawalan suara, sentuhan dan gerakan, serta membolehkan kemas kini perisian dilakukan secara over-the-air.

Penawaran Menarik Untuk Model Baharu BMW iX Dan X5

Semua model baharu ini turut dilindungi di bawah inisiatif “Relax. We Care.” – satu pendekatan komprehensif BMW terhadap pemilikan kenderaan. Pelanggan akan menikmati jaminan lima tahun tanpa had perbatuan, servis percuma hingga 100,000km, serta bantuan tepi jalan 24 jam termasuk kenderaan pengganti dan penginapan hotel jika berlaku kecemasan. Untuk model elektrik, BMW turut menawarkan perlindungan bateri selama lapan tahun.

Bagi yang berminat, harga jualan untuk ketiga-tiga model ini:

  • BMW iX xDrive60 M Sport Pro – RM487,800 (RM522,700 – dengan waranti dilanjutkan)
  • BMW iX xDrive45 Sport – RM425,800 (RM460,700 – dengan waranti dilanjutkan)
  • BMW X5 xDrive40i M Sport – RM469,800 (RM508,200 – dengan waranti dilanjutkan)

BMW iX xDrive60 M Sport Pro, iX xDrive45 Sport dan X5 xDrive40i M Sport akan mula ditawarkan di semua pengedar sah BMW di seluruh negara bermula 25 Julai 2025, menandakan satu lagi langkah penting BMW dalam memacu transformasi mobiliti mewah di Malaysia.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd