Maeve Oleh Tavo, Tempat Duduk Kereta Haiwan Peliharaan Pertama Di Malaysia Yang Diuji Mengikut Piawaian Keselamatan Kanak-Kanak

July 23, 2025
Haiwan

Lina Rosli

Keselamatan dalam kenderaan sering kali difokuskan kepada pemandu dan penumpang manusia, namun bagaimana pula dengan haiwan peliharaan?

Laporan Standard Insights 2024 menunjukkan bahawa lebih 51.1% rakyat Malaysia kini memiliki haiwan peliharaan. Trend ini membawa kepada peningkatan permintaan terhadap produk-produk perjalanan yang bukan sahaja praktikal tetapi juga memenuhi standard keselamatan yang tinggi.

Menyedari keperluan ini, Tavo memperkenalkan Maeve Pet Travel System, sistem perjalanan 3-dalam-1 pertama untuk haiwan peliharaan yang direka dan diuji mengikut piawaian keselamatan kanak-kanak, ECE R129. Dan kini, Maeve secara rasminya telah dilancarkan di Malaysia.

Menurut Tavo, Maeve meletakkan penanda aras baharu dalam dunia mobiliti haiwan peliharaan. Ia bukan sekadar alat pengangkutan biasa, tetapi sebuah inovasi keselamatan yang komprehensif – direka bagi memenuhi gaya hidup pemilik haiwan peliharaan moden yang mengutamakan keselamatan dan keselesaan dalam setiap perjalanan.

Sistem Perjalanan Lengkap Dengan Ciri Keselamatan Bertaraf Antarabangsa

Tidak seperti pengangkut haiwan konvensional, Maeve dibina berdasarkan kejuruteraan terkini yang menekankan aspek keselamatan secara menyeluruh. Ia menggunakan bahan buih Expanded Polypropylene (EPP) bagi menyerap tenaga hentakan, serta memory foam Tailor tech bagi perlindungan sisi tambahan. Ciri-ciri ini membolehkan haiwan peliharaan kekal terlindung dalam situasi pelanggaran atau brek kecemasan.

Maeve juga turut dilengkapi sistem tali penyambung dan abah-abah (harness) yang direka secara ergonomik, bertujuan untuk mencegah haiwan terlepas secara tidak sengaja dan seterusnya mengurangkan risiko kepada semua penumpang dalam kenderaan.

Bukan itu sahaja, ia juga menampilkan tapak ISOFIX yang membolehkan pemasangan yang lebih stabil dan mudah.

Gabungan Gaya, Keselesaan dan Fungsi Praktikal

Menepati citarasa pengguna masa kini, Maeve ditawarkan dalam tiga pilihan warna bergaya iaitu Onyx (hitam), Fawn (coklat cerah) dan Merle (kelabu bercorak). Ia boleh dipadankan dengan kerangka stroller Roscoe yang dijual berasingan – yang mana ia hadir dengan kemasan kulit vegan sekaligus menjadikannya sesuai untuk pelbagai situasi sama ada di taman, pusat beli-belah atau lapangan terbang.

Dengan harga bermula dari RM2,599, produk ini ditawarkan kepada pemilik haiwan peliharaan yang mencari solusi perjalanan premium yang mengutamakan keselamatan dan mutu.

Untuk mendapatkannya, Maeve dan rangkaian produk Tavo kini boleh didapati secara atas talian melalui Shopee, serta secara fizikal di Nuna Official Store, USJ, Subang Jaya. Tavo turut merancang untuk melancarkan lebih banyak produk perjalanan haiwan peliharaan tidak lama lagi, sejajar dengan komitmen jenama untuk terus menerajui inovasi dalam kategori ini.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd