Gangguan Adrenal Dalam Cuaca Malaysia Yang Tidak Menentu

July 23, 2025
Kesihatan

Bat

Cuaca panas terik berselang hujan lebat dan kelembapan tinggi bukanlah sesuatu yang luar biasa di Malaysia. Namun, bagi sesetengah individu, perubahan iklim sebegini boleh memberi kesan yang besar, terutama bagi mereka yang mengalami gangguan adrenal.

Kalenjar adrenal yang terletak di atas buah pinggang memainkan peranan penting dalam mengawal tekanan darah, metabolisme, dan tindak balas terhadap tekanan melalui penghasilan hormon seperti kortisol dan adrenalin. Bila kelenjar ini gagal berfungsi dengan baik, tubuh kehilangan keupayaan untuk menyesuaikan diri terhadap tekanan fizikal dan cuaca yang mencabar.

Siapakah Yang Berisiko Mengalami Gangguan Adrenal?

Gangguan adrenal biasanya berlaku pada individu berusia 30 hingga 50 tahun dan sering dikaitkan dengan penyakit autoimun seperti diabetes jenis 1 dan gangguan tiroid. Namun, jangkitan seperti TB dan HIV juga boleh menjadi puncanya.

Dalam cuaca tropika, gejala seperti keletihan, dehidrasi, atau kurang daya tumpu mudah disalah anggap sebagai kepenatan biasa. Sebenarnya, gejala ini boleh menunjukkan kekurangan hormon adrenal yang lebih serius. Gangguan adrenal ini sukar dikesan tampa ujian khusus. Salah satu ujian utama ialah Ujian Synacthen Pendek, yang menilai keupayaan kelenjar untuk menghasilkan kortisor.

Pengurusan Masalah Gangguan Adrenal

Walaupun tidak boleh diubati sepenuhnya, gangguan adrenal boleh diurus. Ini termasuk memastikan tubuh kekal terhidrat – terutamanya dalam cuaca panas. Bagi mereka yang telah didiagnosis, pengambilan ubat seperti hidrokortison secara konsisten sangat penting kerana ia menggantikan hormon yang gagal dihasilkan oleh tubuh.

Akan tetapi, masih banyak salah faham mengenai gangguan ini. Salah satunya adalah anggapan bahawa ia boleh pulih sepenuhnya, sedangkan kebanyakan kes adalah kronik. Terdapat juga yang menganggap ubat yang diambil hanyalah suplemen, sedangkan ia sebenarnya rawatan yang penting dan tidak boleh dihentikan sewenang-wenangnya.

Gangguan adrenal mungkin jarang disebut, tapi dalam iklim seperti Malaysia, ia wajar diberi perhatian. Bila tubuh mula menunjukkan tanda-tanda yang luar biasa, meskipun tampak biasa-biasa, jangan diabaikan.

Jika anda mengalami gejala yang berlarutan, dapatkan pemeriksaan dan rawatan yang sesuai. Dalam keadaan tertentu, gangguan adrenal boleh menjadi serius. Bertindak awal adalah langkah paling selamat, sebelum segalanya menjadi terlalu lewat.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd