Carian
Apa Beza Antara Servis Pembelian Tiket Dan ‘Scalper’ – Adakah Ia Berbaloi Ataupun Tidak?
July 29, 2025 Bat

Tahun 2025 menyaksikan peningkatan mendadak dalam penganjuran konsert berskala besar di Malaysia, khususnya di Lembah Klang. Dari artis popular tanah air seperti Dato Siti Nurhaliza dan KRU, sehinggalah selebriti antarabangsa terkenal seperti Maroon 5, Green Day, G-Dragon, D.O (EXO) dan WAVE2EARTH, semuanya menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama dalam jelajah Asia mereka. Fenomena ini mencerminkan minat rakyat Malaysia terhadap hiburan secara langsung yang semakin meningkat pasca pandemik.

Namun, di sebalik keterujaan ini, timbul pula satu cabaran yang semakin ketara – mendapatkan tiket konsert bukan lagi semudah dahulu. Jika satu dekad lalu peminat sanggup beratur panjang di kaunter fizikal atau menanti tepat jam 12 tengah hari di hadapan skrin komputer, hari ini segala-galanya berlaku secara digital dan automatik. Justeru, wujud dua fenomena yang sering menjadi perbualan hangat: servis pembelian tiket dan scalper (ulat tiket).

Apa Itu Servis Pembelian Tiket?

Servis pembelian tiket atau ticketing service ialah perkhidmatan yang ditawarkan oleh individu atau pihak ketiga yang membeli tiket bagi pihak pelanggan mereka. Bayaran perkhidmatan dikenakan, biasanya antara RM30 hingga RM100 bagi setiap tiket – bergantung kepada lokasi tempat duduk, populariti artis, serta tahap kesukaran mendapatkan tiket.

Servis ini biasanya dijalankan secara terancang yang mana penyedia servis akan membuka slot yang terhad untuk mendapatkan tiket – yang mana ia berdasarkan tempahan dan juga keperluan individu yang melanggani servis ini. Kebiasaannya juga, penyedia servis akan aktif mempromosikan khidmat ini di platform seperti X, Facebook dan Telegram.

Siapa Sebenarnya Scalper?

Scalper pula atau ulat tiket ialah individu atau pihak yang membeli tiket dalam jumlah banyak ketika sesi jualan dibuka, kemudian menjual semula dengan harga yang jauh lebih tinggi – kadangkala mencecah dua hingga lima kali ganda dari harga asal. Mereka tidak memberikan sebarang khidmat bantuan semasa pembelian, sebaliknya hanya menjual tiket yang telah ‘dikuasai’ lebih awal.

Contohnya, jika harga asal tiket zon VIP ialah RM1,200, scalper boleh menjual semula tiket tersebut pada harga RM2,500 hingga RM3,000 sebaik sahaja jualan rasmi tamat. Mereka menyasarkan peminat yang terdesak atau sanggup berbelanja besar demi menonton artis kegemaran secara dekat.

Lebih membimbangkan, laporan media antarabangsa mendedahkan wujudnya penggunaan bot scalper, iaitu perisian automatik yang membeli ratusan tiket dalam masa beberapa saat, mengalahkan pengguna sebenar. Ini menyebabkan peminat biasa sukar mendapatkan tiket secara adil.

Servis Pembelian Tiket vs Scalper – Mana Lebih Baik?

PerkaraServis Pembelian TiketScalper
HargaCaj tambahan RM30–RM100Harga jualan semula boleh mencecah 5x ganda
ProsesBeli bagi pihak pelangganBeli awal dan jual semula
TujuanBantu peminat yang tidak sempat masuk jualanKeuntungan semata-mata
RisikoMasih boleh kehabisan tiket, tiada jaminan 100%Risiko penipuan atau tiket palsu

Servis pembelian tiket sekurang-kurangnya memberi peluang kepada peminat untuk mendapatkan tiket secara sah dengan bantuan pihak ketiga, walaupun ada bayaran tambahan.

Sebaliknya, scalping dianggap menyalahi etika industri hiburan dan turut dilarang di beberapa negara. Sebagai contoh, Jepun dan Australia telah menggubal undang-undang untuk membanteras penjualan semula tiket dengan harga melampau.

Apa Pilihan Yang Lebih Bertanggungjawab?

Walaupun kedua-dua servis ini wujud kerana permintaan yang tinggi dan sistem jualan yang kompetitif, peminat wajar menilai pilihan mereka. Jika mahu membeli melalui pihak ketiga, utamakan penyedia servis yang dipercayai, mempunyai rekod yang jelas dan tidak mengenakan caj terlalu tinggi.

Namun, membeli daripada scalper hanya akan terus menyuburkan budaya menangguk di air keruh dan menyukarkan peluang peminat lain untuk menikmati konsert pada harga asal. Tambahan pula, tiada jaminan sah bahawa tiket scalper adalah tulen – dan ini boleh menyebabkan kerugian besar.

Sebagai peminat, menyokong artis kegemaran tidak hanya sekadar membeli tiket – ia juga tentang menjaga ekosistem industri hiburan agar kekal adil dan lestari. Pilihlah saluran yang sah, rancang awal, dan kalau perlu, sertai komuniti peminat yang sah untuk mendapatkan maklumat awal dan strategi pembelian yang lebih bijak.

Komen