Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, gaya hidup sihat mula menjadi sebahagian daripada identiti generasi muda, khususnya Gen Z. Namun berbeza dengan pendekatan generasi sebelumnya yang lebih konvensional, Gen Z mengangkat kesihatan sebagai sesuatu yang bergaya, ekspresif dan berakar pada nilai komuniti serta keterhubungan sosial.
Aktiviti seperti mendaki bukit pada waktu pagi, menyertai maraton berkumpulan ataupun bermain pickleball — bukan lagi sekadar rutin kecergasan, tetapi telah berkembang menjadi simbol gaya hidup moden yang bersifat terbuka, estetik dan ‘media-friendly’.

Apa yang ketara, Gen Z cenderung memilih aktiviti yang mudah disertai, menyeronokkan serta tampak menarik di lensa kamera. Justeru, ini bukan sesuatu yang mengejutkan apabila pickleball mendapat tempat di hati ramai anak muda kerana ia bukan hanya kerana bentuk permainannya yang santai dan inklusif, tetapi juga kerana ia sering berlangsung di lokasi yang berkonsep dan fotogenik.
Begitu juga dengan aktiviti mendaki, yang kini menjadi ritual mingguan diiringi dengan sarapan di kafe hipster serta foto puncak bukit yang menawan sebagai penutup pengalaman.

Bukan itu sahaja, aktiviti larian seperti maraton seperti bubble run, night run dan food run semakin mendapat tempat dalam kalangan Gen Z kerana sifatnya yang santai dan menyeronokkan. Ia bukan sekadar tentang berlari, tetapi juga menjadi ruang untuk bersosial, bergambar, dan menikmati suasana unik yang membezakan setiap acara. Larian seperti ini lebih menarik perhatian kerana mampu menggabungkan gaya hidup sihat dengan elemen hiburan.
Jadi, Adakah Trend Ini Gaya Hidup Sihat Atau Sekadar FOMO?
Namun, di sebalik keterujaan ini, wujud satu persoalan — adakah peningkatan penyertaan ini lahir daripada kesedaran terhadap nilai kesihatan, atau semata-mata kerana takut tercicir daripada trend semasa (FOMO)?
Tidak dapat dinafikan, sesetengahnya terjun ke dunia kecergasan atas dorongan sosial semata-mata. Namun yang menarik, ramai dalam kalangan mereka akhirnya menjadikan aktiviti-aktiviti ini sebagai rutin tetap dan bukan kerana paksaan, tetapi kerana rasa keterikatan yang terbina perlahan-lahan.
Walaupun titik mula hadir daripada budaya ikutan, manfaatnya tetap jelas yang mana bukan sahaja terhadap kecergasan fizikal, malah terhadap kestabilan emosi, kesejahteraan mental dan perasaan memiliki komuniti.

Apabila Trend Mendorong Ke Arah Perubahan Positif
Hakikatnya, media sosial kini bukan sahaja mencorak aspirasi, malah membentuk sempadan norma baharu. Dalam konteks ini, apabila kandungan tular mula menjurus kepada gaya hidup sihat, ia membawa makna yang lebih besar — bahawa kesihatan tidak semestinya membosankan atau menuntut pengorbanan besar. Ia boleh jadi ringan, menyeronokkan, dan paling penting, mampu disesuaikan dengan gaya hidup urban masa kini.
Bagi Gen Z, definisi ‘sihat’ telah melangkaui angka pada penimbang atau bilangan kalori semata-mata. Ia menyentuh soal keseimbangan antara tubuh, minda dan kehidupan sosial. Mereka tidak sekadar bersenam tetapi mereka mencipta pengalaman, menyambut momen dan meraikan hidup.
Dan jika semua itu kelihatan cantik di Instagram? Anggap sahaja ia sebagai cerminan bahawa sihat juga boleh bergaya.