Dalam dunia fesyen yang terus berubah, generasi muda hari ini semakin berani mendefinisikan semula apa itu gaya. Jika dahulu fesyen sering dilihat sebagai simbol status dan kemampuan, kini ia menjadi ruang untuk menyatakan pendirian dan identiti diri.
Melalui gabungan elemen budaya pop, kesedaran alam sekitar dan pengaruh digital, fesyen pada masa kini dilihat membentuk landskap fesyen yang lebih inklusif. Walau bagaimanapun, dalam konteks fesyen, perubahan ini sebenarnya tidak hanya berlaku dalam kalangan remaja atau golongan muda – malah turut disambut oleh generasi yang lebih dewasa.

Sama ada seseorang itu berusia 20-an mahupun 40-an, semakin ramai yang menjadikan pakaian sebagai cara untuk menyuarakan siapa mereka, bukan sekadar untuk kelihatan menarik di mata orang lain.
Fesyen Kini Berputar Dari Media Sosial
Beberapa dekad lalu, majalah fesyen dan peragaan antarabangsa menjadi rujukan utama. Hari ini, ruang digital telah membuka dimensi baharu dalam dunia gaya. TikTok, Instagram, Pinterest dan pelbagai platform kreatif menjadi medan eksperimen dan ekspresi fesyen, terutamanya dalam kalangan Gen Z yang menjadikan medium ini sebagai alat untuk meneroka identiti.
Namun, perubahan ini tidak hanya terhad kepada yang muda. Ramai juga dalam kalangan generasi lebih dewasa mula mengambil inspirasi dari gaya digital, memperbaharui wardrobe mereka agar lebih relevan dengan gaya hidup masa kini — mesra aktiviti, selesa dan ekspresif.
#1 Streetwear & Oversized – Praktikal, Bebas Dan Tidak Terikat
Pengaruh streetwear dalam kalangan Gen Z bukan sesuatu yang baharu, namun kini tampil dengan pendekatan yang lebih lokal dan mesra iklim. Baju-T longgar, seluar baggy, jaket hoodie dan sneakers bukan sahaja digayakan untuk kelihatan santai, tetapi juga dipilih kerana keselesaan dan fleksibiliti yang ditawarkan.

Gaya ini menolak stereotaip jantina, mudah digayakan dalam pelbagai suasana, dan sesuai dengan cuaca tropika. Ia menjadi simbol kebebasan individu – satu kenyataan bahawa pakaian tidak perlu mematuhi peraturan tertentu untuk menjadi bergaya.
#2 Retro & Nostalgia – Kembali Ke Era 90-an Dan Awal 2000-an
Gaya era Y2K dan tahun 90-an kini kembali mewarnai pilihan fesyen Gen Z. Baby tee, kaca mata berbingkai warna, seluar denim potongan kembang dan baju band vintaj kembali mendominasi almari pakaian anak muda.
Namun yang menjadikannya lebih menarik, gaya ini sering diperoleh melalui aktiviti thrifting atau pembelian di butik berkas. Ia bukan sahaja membentuk gaya yang unik, tetapi juga menyokong amalan fesyen lestari yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna muda.

#3 Athleisure – Gaya Aktif Yang Serba Boleh
Jika anda lihat trend di TikTok kini, semakin banyak jenama pakaian tidak kira pada peringkat global atau tempatan yang mula mempromosikan koleksi athleisure yang memfokuskan kepada gaya untuk bersukan tetapi santai.
Untuk fesyen ini, ia hadir dengan gabungan pakaian sukan dan kasual. Legging, windbreaker dan kasut sneakers kini bukan hanya untuk gimnasium, tetapi juga sesuai digayakan ke kelas, kafe dan bahkan mesyuarat tidak formal.


#4 Minimalisme & Warna Blok
Gaya minimalis dalam kalangan Gen Z menampilkan gabungan potongan bersih, warna neutral seperti putih, hitam, dan kuning air, serta elemen warna terang yang berfungsi sebagai penegas karakter.
Gaya ini sesuai untuk mereka yang menghargai kesederhanaan dan struktur, namun masih mahu menyerlahkan keunikan personaliti. Ia juga menunjukkan bahawa gaya tidak semestinya perlu kompleks untuk meninggalkan impak.
#5 Aksesori Sebagai Statement – Kreativiti Dalam Butiran Kecil
Antara yang paling popular dalam kalangan individu masa kini termasuklah rantai buatan tangan, serta aksesori berunsur DIY kini menjadi pilihan pelengkap gaya dalam kalangan Gen Z. Aksesori bukan lagi hanya perhiasan, tetapi turut membawa nilai sentimental dan naratif peribadi.
Ramai memilih untuk menghasilkan sendiri atau menyokong peniaga tempatan yang menawarkan aksesori unik – satu pendekatan yang menyokong ekonomi kreatif dan memupuk gaya yang lebih peribadi.

#6 Evolusi Pakaian Muslimah
Fesyen sopan atau modest wear terus berevolusi seiring perubahan citarasa Gen Z Muslim. Potongan baju yang longgar, fabrik ringan dan warna pastel menjadi identiti utama gaya ini. Ia mengekalkan kesederhanaan dalam penampilan, namun dalam masa yang sama, tampil segar dan moden.
Jenama tempatan seperti Naelofar, Ariani, Nada Identity dan Panda Eyes antara yang mengetengahkan pendekatan ini, menjadikan pakaian sopan dan muslimah ini bukan sahaja kekal relevan, tetapi kini turut diangkat ke pentas global.


#7 Fesyen Lestari Semakin Popular
Kesedaran terhadap isu alam sekitar menjadikan Gen Z lebih berhati-hati dalam membeli pakaian. Ramai yang memilih untuk membeli dari butik pakaian terpakai, menyertai acara tukar pakaian, atau mengubah suai baju lama agar sesuai dengan gaya terkini.
Setiap helaian dianggap memiliki nilai, dan tidak lagi diukur berdasarkan jenama semata-mata. Fesyen bukan lagi soal baru, tetapi soal bermakna.
Fesyen Sebagai Suara Peribadi
Bagi Gen Z di Malaysia, fesyen bukan lagi sekadar mengikuti majalah atau meniru selebriti. Mereka membentuk rujukan sendiri – dari TikTok, Instagram, komuniti berkas hinggalah pasaran kreatif lokal. Mereka mencipta gaya yang mewakili siapa mereka, dari dalam.
Setiap potongan, setiap warna dan setiap aksesori dipilih bukan hanya kerana rupa – tetapi kerana makna yang dibawanya. Dan dalam dunia yang penuh perubahan ini, menjadi diri sendiri adalah bentuk keberanian yang paling bergaya.