JETOUR Mula Operasi Pemasangan CKD Di Johor Untuk Dashing Dan VT9

July 29, 2025
Automotif

Lina Rosli

JETOUR Auto Malaysia kini secara rasmi mengumumkan yang mana jenama kenderaan ini akan memulakan pemasangan bagi dua model SUV utama mereka – iaitu JETOUR Dashing dan JETOUR VT9 di Berjaya Assembely Sdn Bhd (B-Assembly) yang terletak di Tampoi, Johor Bahru.

Menurut JETOUR, langkah strategik ini menjadikan Malaysia sebagai hab pembuatan dan pengedaran utama bagi kenderaan JETOUR di rantau ASEAN – dan ini sekaligus memperkukuhkan kehadiran jenama ini dalam pasaran tempatan dan juga serantau.

Untuk pengetahuan anda, operasi pemasangan ini dijalankan di fasiliti seluas 640,000 kaki persegi yang juga dilengkapi teknologi Industri 4.0 dan disokong oleh 100 tenaga kerja mahir tempatan.

Sejak pelancarannya awal tahun ini, JETOUR telah mengembangkan rangkaian dengan lebih 20 cawangan di seluruh negara. Dengan pemasangan tempatan kini bermula, lebih 1,000 unit telah dihasilkan – penghantaran model JETOUR Dashing versi tempatan telah bermula pada Jun 2025.

Buat masa ini, hab fasiliti ini memberi tumpuan kepada pemasangan model JETOUR Dashing dan VT9 — dua model utama yang telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengguna di Malaysia.

Bagi yang tidak mengetahui, model JETOUR Dashing direka untuk gaya hidup urban dengan rekaan fastback dan ciri pintar, manakala JETOUR VT9 pula disasarkan untuk kegunaan seisi keluarga dan perjalanan jarak jauh dengan susun atur 7-tempat duduk yang luas serta teknologi kemudahan pintar.

JETOUR turut mengumumkan rancangan pelaburan bernilai RM1.4 bilion di Malaysia bagi menyokong pelancaran model baharu dan pengeluaran eksport ke negara ASEAN. Langkah ini dijangka memperkukuh lagi daya saing jenama serta menyumbang kepada pembangunan industri automotif nasional.

Dalam masa terdekat, JETOUR turut akan memperkenalkan beberapa lagi model baharu yang akan dipasang di Malaysia dan mempercepatkan usahanya untuk menembusi pasaran ASEAN. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari ke laman web rasmi jetour.com.my atau ikuti Jetour Auto Malaysia di Facebook dan Instagram.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd