APOLLO Kini Berwajah Baharu – Hadir Dengan Logo Lebih Minimalis

July 30, 2025
syarikat

Lina Rosli

Selepas bertahun-tahun mengekalkan penampilan yang sama, jenama snek ikonik APOLLO kini secara rasmi memperkenalkan identiti baharu mereka menerusi pengenalan rekaan logo yang baharu serta pemilihan pek pembungkusan produk yang lebih segar serta moden.

Sejak mula diperkenalkan kepada pasaran tempatan, APOLLO telah menjadi sebahagian daripada rutin snek harian rakyat Malaysia, khususnya dalam kalangan kanak-kanak. Dan kini, perubahan terkini bagi jenama ini dilihat selari dengan usaha jenama ini untuk kekal relevan dalam landskap pasaran moden.

Untuk logo baharu APOLLO, jenama ini memperlihatkan rekaan tipografi yang lebih kemas dengan tumpuan khas pada huruf “O” yang diolah menyerupai gigitan. Bukan itu sahaja, APOLLO turut melakukan penyeragaman untuk kesemua produk mereka dengan menggunakan logo utama pada setiap pek pembukusan.

Dalam masa yang sama, rekaan produk turut diperbaharui dengan pendekatan visual yang lebih ringkas dan moden – menjadikan setiap pek snek APOLLO lebih mudah dikenali dan menonjol di rak pasar raya.

Menurut APOLLO, penjenamaan semula ini bukan sekadar perubahan kosmetik, tetapi juga usaha strategik untuk merapatkan hubungan dengan generasi baharu pengguna.

Dengan identiti baharu ini, APOLLO bukan sahaja meraikan legasi lamanya, tetapi turut membuka lembaran baharu dalam usaha mengekalkan kedudukan sebagai salah satu jenama snek paling dikenali di Malaysia.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd