3COINS Akan Dibuka Di LaLaport BBCC Pada 16 Ogos 2025
Lina Rosli
Selepas memperluaskan penawarannya di Hong Kong pada 18 Julai yang lepas, nampaknya 3COINS dilihat bakal hadir dengan sebuah lagi rangkaian luar Jepun – memilih Malaysia sebagai negara kedua untuk meluaskan operasinya secara fizikal.
Menurut 3COINS, mereka bakal membuka cawangan pertamanya secara rasmi di Malaysia pada 16 Ogos 2025, bertempat di LaLaport Bukit Bintang City Centre (BBCC), Kuala Lumpur.

Dikenali dengan konsep kedai serba ¥300 (kira-kira RM13), 3COINS di Malaysia dijangka mengekalkan pendekatan harga mampu milik sambil menampilkan produk gaya hidup berkualiti tinggi dan berestetika Jepun.
Antara produk popular yang ditawarkan termasuk barangan rumah, aksesori, peralatan dapur, barangan elektronik kecil, keperluan kecantikan serta pelbagai barangan kegunaan harian dengan rekaan moden dan minimalis.
3COINS berada di bawah syarikat induk PAL Co., Ltd., dan telah beroperasi di Jepun sejak tahun 1994. Dalam usaha mengembangkan pasaran ke luar negara, jenama ini membuka kedai pertamanya di luar Jepun pada Julai 2025 di Hysan Place, Causeway Bay, Hong Kong. Sambutan hangat yang diterima di sana membuka jalan untuk pengembangan selanjutnya di rantau Asia, dengan Malaysia menjadi destinasi berikutnya.

Pemilihan LaLaport BBCC sebagai lokasi pertama di Malaysia bukanlah satu kebetulan. Sebagai pusat beli-belah yang turut dimiliki oleh syarikat Jepun, Mitsui Fudosan, LaLaport menjadi platform strategik untuk memperkenalkan lebih banyak jenama Jepun kepada pengguna tempatan dalam suasana beli-belah yang moden dan berorientasikan gaya hidup.
Pembukaan kedai pertama 3COINS di Malaysia bukan sahaja memperluaskan akses pengguna kepada produk berkualiti dari Jepun, malah turut memberi pilihan baharu kepada mereka yang mencari keseimbangan antara harga mampu milik dan reka bentuk bergaya. Bagi mereka yang menantikan sesuatu yang berbeza, 3COINS di LaLaport BBCC bakal menjadi antara tarikan utama bermula Ogos ini.