Lalaport BBCC, destinasi gaya hidup moden yang terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur, bakal memperkenalkan satu lagi inisiatif baharu yang dijangka meningkatkan lagi kemudahan untuk para pengunjung dan pelancong.

Terbaharu, Lalaport BBCC akan mempunyai hab pengangkutan tersendiri yang dikenali sebagai Lalaport Transportation Hub (LTH) atau Hab Pengangkutan Lalaport.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif mobiliti rentas sempadan, LTH akan menawarkan perkhidmatan bas terus ke destinasi antarabangsa seperti Singapura dan Hatyai, Thailand, selain turut menyediakan perkhidmatan ulang-alik yang dikenali sebagai Lalaport Mobi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Subang).

Apa yang menarik, di hab pengangkutan ini, ia dijangka menempatkan terminal bas yang moden dan selesa, serta menyokong pelbagai operator pengangkutan serantau. Ia juga hadir dengan kaunter tiket yang membolehkan para pengunjung untuk terus mendapatkan tiket – sama ada ke Singapura ataupun Hatyai.
Untuk pekhidmatan Lalaport Mobi ke Lapangan Terbang Subang – harga tiket yang ditawarkan adalah bermula RM41 seorang.


Dengan akses terus ke hab pengangkutan ini, para pengunjung boleh merancang perjalanan yang lebih mudah dan efisien – sama ada untuk urusan perniagaan, percutian atau membeli-belah. Ia juga selari dengan visi Lalaport BBCC untuk menjadi pusat gaya hidup serba lengkap yang menggabungkan elemen membeli-belah, hiburan, gastronomi dan kini, mobiliti.
Bgai yang berminat untuk mencuba, Hab Pengangkutan Lalaport ini akan mula beroperasi mulai pertengahan Ogos 2025 secara berperingkat.