Pereka Fesyen Hasilkan Jubah Dengan Lengan Sepanjang 51 Meter

August 1, 2025
fakta menarik

Lina Rosli

Menerusi laman Guinness World Records, seorang pereka fesyen muda dari Nigeria, Samuel Chinecherem Ezeh telah mencatat rekod dunia selepas menghasilkan pakaian dengan lengan terpanjang di dunia, berukuran 51.20 meter atau kira-kira 167.97 kaki. Panjang ini secara perbandingan melebihi saiz kolam renang Olimpik yang lazimnya sepanjang 50 meter.

Rekod tersebut telah disahkan secara rasmi oleh Guinness World Records pada Februari 2024. Dan antara syarat penting untuk rekod ini diiktiraf adalah rekaan itu perlu boleh dipakai seperti pakaian biasa serta dijahit menggunakan teknik konvensional.

Berdasarkan perkongsian, Samuel yang kini berusia 27 tahun merupakan pelajar di Universiti Chukwuemeka Odumegwu Ojukwu. Dalam masa sama, beliau turut bekerja sebagai tukang jahit dan pereka fesyen bebas di bawah jenama miliknya sendiri, Eco Collection World of Beauty yang ditubuhkan sejak tahun 2020.

Untuk pengetahuan anda, jubah unik ini mengambil masa kurang daripada empat jam untuk disiapkan. Samuel menggunakan 62 ela kain jenis jampard, dengan dua ela untuk bahagian badan dan selebihnya khusus untuk lengan.

Apa yang menarik, Samuel turut menyatakan hasrat untuk membawa jubah ini mengelilingi dunia sebagai simbol inspirasi dan bukti bahawa tiada yang mustahil jika seseorang percaya pada kemampuannya.

Kini selepas pengiktirafan rasmi diterima, Samuel berharap kisahnya menjadi pencetus semangat buat generasi muda untuk terus yakin dan berani mengejar cita-cita.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd