Permintaan Matcha Kian Meningkat, Tetapi Cuaca Panas Jepun Jejaskan Pengeluaran Dan Harga Pasaran

August 5, 2025
Gaya Hidup

Lina Rosli

Secara umumnya, permintaan terhadap matcha dilihat semakin melonjak di seluruh dunia, dipacu oleh trend gaya hidup sihat dan pengaruh besar media sosial.

Di TikTok khususnya, ribuan pengguna berkongsi bagaimana matcha kini menjadi pilihan utama dalam rutin harian mereka – baik sebagai pengganti kopi di pagi hari ataupun peneman mereka di kala hari yang sibuk.

Jika dahulu iced latte dan iced chocolate mendominasi pilihan pelanggan, kini trend telah berubah. Pengguna muda, khususnya golongan milenial dan Gen Z, semakin cenderung memilih minuman yang dianggap lebih semula jadi dan menyumbang kepada kesihatan jangka panjang – dan matcha menjadi pilihan popular dalam kelompok ini.

Untuk pengetahuan anda, matcha merupakan serbuk teh hijau yang berasal dari Jepun, dan dihasilkan melalui proses tradisional yang sangat teliti. Ia kini menjadi antara pilihan utama dalam menu kebanyakan kafe, yang lazimnya menawarkan antara tiga hingga lima variasi minuman berasaskan matcha seperti matcha latte, matcha strawberry latte dan genmaicha latte.

Malah, terdapat juga kafe yang turut menawarkan variasi matcha dalam bentuk kek, pastri dan sebagainya.

Kesan Iklim Ke Atas Pengeluaran Matcha

Namun begitu, di sebalik permintaan yang memuncak, Jepun kini sedang berdepan cabaran besar dari aspek pengeluaran. Pada tahun 2025 ini, Jepun dilaporkan mengalami musim panas paling panas dalam sejarah negara tersebut. Fenomena ini secara langsung memberi kesan kepada industri teh, terutamanya di wilayah Kyoto yang menjadi pusat utama penghasilan tencha, daun teh yang digunakan untuk menghasilkan matcha.

Di Uji, Kyoto, salah seorang petani tempatan turut memaklumkan bahawa hasil tuaian pada tahun ini telah menurun sebanyak 25% berbanding tahun sebelumnya, menjadikan jumlah keseluruhan tuaian hanya sekitar 1.5 tan tencha. Pokok-pokok teh rosak akibat suhu tinggi yang berpanjangan, menyebabkan daun tidak dapat dipetik dalam kuantiti mencukupi bagi memenuhi permintaan pasaran.

Lonjakan Harga Matcha Di Pasaran

Peningkatan permintaan matcha ini turut didorong oleh minat global terhadap budaya Jepun, khususnya pasca pandemik, di samping kempen dan kandungan viral di media sosial. Berdasarkan data daripada Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Jepun, eksport teh hijau (termasuk matcha) meningkat sebanyak 25% pada tahun 2024, dengan nilai keseluruhan mencecah 36.4 bilion yen.

Namun begitu, pada tahun 2025 ini, pengeluaran dijangka terus merosot. Di pasaran tempatan, harga tencha mencatatkan lonjakan luar biasa. Pada sesi lelongan di Kyoto pada bulan Mei lalu, harga sekilogram tencha melonjak kepada 8,235 yen iaitu peningkatan sebanyak 170% berbanding tahun sebelumnya, sekaligus memecahkan rekod tertinggi sejak 2016.

Disebabkan kekurangan bekalan, banyak pembekal dan kafe kini terpaksa mengehadkan jumlah jualan kepada pelanggan. Ada juga yang melaporkan kelewatan penghantaran matcha ke premis, dari hanya beberapa hari, kini tempoh penghantaran mencecah lebih sebulan.

Keadaan ini turut menyebabkan harga minuman berasaskan matcha meningkat sekitar 30% tahun ini. Perkara ini anda boleh lihat di kebanyakan kafe, rata-rata mula menjual dan menawarkan matcha pada harga sekitar RM15 hingga RM18 secawan.

Masa Depan Industri Matcha

Sebagai respon terhadap permintaan global, lebih ramai pengusaha muda di Jepun mula beralih kepada penanaman tencha. Namun, perlu diingat bahawa proses ini bukan penyelesaian jangka pendek. Sebuah ladang teh baharu memerlukan sekurang-kurangnya lima tahun untuk mencapai tempoh matang sebelum daun teh boleh dituai dan diproses menjadi matcha berkualiti tinggi.

Fenomena ini memperlihatkan bagaimana minuman yang dulunya bersifat tradisional kini menjadi simbol gaya hidup moden yang sihat. Ia bukan sahaja membuka peluang komersial, malah turut mempopularkan budaya dan amalan teh Jepun ke seluruh dunia.

Namun begitu, untuk menjamin kelangsungan industri ini dalam jangka panjang, isu perubahan iklim dan kekurangan tenaga kerja dalam sektor pertanian perlu ditangani dengan serius oleh semua pihak—daripada penggubal dasar hinggalah kepada pengusaha tempatan.

Kini, matcha bukan lagi sekadar minuman pilihan kafe, ia kini merupakan refleksi gaya hidup global yang menjadi pilihan kebanyakkan individu pada masa kini.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd