Berapa Minit Rebus Telur? Ini Panduan Lengkap Tekstur Telur Dari Cair Hingga Keras
Lina Rosli
Mendapatkan tekstur telur rebus yang diinginkan sebenarnya bukanlah sesuatu yang mudah. Ini kerana jika terdapat kesilapan pada cara dan masa yang diambil untuk merebusnya, ia boleh memberi kesan kepada tekstur telur.
Secara umumnya, masa merebus telur memainkan peranan yang penting dalam menentukan tekstur telu, sama ada kuning cair, separuh masak atau keras sepenuhnya.

Untuk mengetahui jenis-jenis telur rebus, dan waktu memasaknya yang tepat, berikut dalah panduan yang boleh dijadikan sebagai rujukan bagi mendapatkan hasil telur rebus yang sesuai mengikut keperluan.
Panduan Masa Rebus Telur Mengikut Tekstur
- 4 minit – Putih telur masih sedikit lembut dan kuning telur kekal cair sepenuhnya. Sesuai untuk telur goyang atau dinikmati bersama roti.
- 6 minit – Putih telur masak sepenuhnya manakala kuning telur masih separuh masak dengan tekstur berkrim.
- 8 minit – Kuning telur hampir masak sepenuhnya tetapi masih mengekalkan sedikit kelembapan di bahagian tengah.
- 10 minit – Telur masak sepenuhnya dengan kuning telur yang keras, sesuai untuk sajian seperti nasi lemak atau mi kari.
- 12 minit ke atas – Kuning telur menjadi kering dan berderai. Kadangkala terbentuk lapisan kehijauan di sekeliling kuning telur akibat reaksi kimia semasa proses memasak.

Tips Mendapatkan Telur Rebus Sempurna
Untuk mendapatkan tekstur telur yang sempurna, pastikan anda:
- Menggunakan telur pada suhu bilik. Telur yang baru dikeluarkan dari peti sejuk cenderung retak apabila dimasukkan terus ke dalam air mendidih.
- Masukkan telur ke dalam air setelah air mendidih dan hanya mula mengira masa selepas itu.
- Sediakan air sejuk atau air ais untuk menyejukkan telur selepas direbus. Langkah ini menghentikan proses memasak serta memudahkan proses mengupas.
- Kupas telur ketika masih suam untuk mengelakkan kulit melekat pada putih telur.

Kegunaan Mengikut Jenis Telur Rebus
- 4 hingga 6 minit – Sesuai untuk hidangan seperti ramen, salad, atau sebagai telur celup roti.
- 8 hingga 10 minit – Digunakan dalam pelbagai sajian harian seperti nasi lemak, sandwic atau lauk berkuah.
- Lebih 10 minit – Telur yang dimasak penuh dan boleh disimpan untuk tempoh yang lebih lama.
Kesimpulannya, menentukan masa rebusan yang tepat adalah kunci utama dalam mendapatkan hasil telur yang sesuai dengan citarasa dan keperluan resipi. Dengan panduan ini, anda tidak lagi perlu bergantung pada nasib – hanya ikut masa yang ditetapkan, dan telur rebus anda akan menjadi sempurna setiap kali.