IKEA Memperkenalkan Ciri Shop & Go Untuk Pembelian Di Gudang Tanpa Perlu Beratur

August 7, 2025
Aplikasi

Lina Rosli

Bagi anda yang ingin melakukan pembelian barangan dan juga kelengkapan rumah di IKEA, nampaknya fungsi baharu yang diperkenalkan pada aplikasi ini pastinya akan menarik minat anda.

IKEA kini memperkenalkan satu ciri baharu yang direka untuk menjadikan pengalaman membeli-belah lebih pantas dan tersusun – iaitu ciri Shop & Go. Melalui ciri ini, pelanggan boleh mengimbas sendiri produk menggunakan telefon mudah alih ketika berada di dalam stor, sekaligus memudahkan proses semakan dan pembayaran.

Buat masa ini, ciri Shop & Go kini ditawarkan di dua lokasi utama iaitu IKEA Damansara dan IKEA Cheras dan akan diperluaskan ke lokasi lain pada masa akan datang.

Bagaimana Cara Menggunakan Ciri Shop & Go?

  1. Muat turun aplikasi IKEA Shopping di App Store atau Google Play Store.
  2. Pilih cawangan IKEA berdekatan anda sama ada IKEA Damansara atau IKEA Cheras untuk mengaktifkan fungsi Shop & Go.
  3. Imbas produk semasa membeli-belah. Produk akan ditambah secara automatik ke dalam senarai pembelian Shop & Go anda. Jika produk yang dipilih mempunyai tag harga berwarna kuning, pelanggan boleh mendapatkan Pesanan Pembelian (Sales Order) daripada pekerja stor dan imbas kod tersebut di kaunter.
  4. Kumpul produk anda. Gunakan senarai pembelian dalam aplikasi sebagai panduan semasa mengumpulkan produk. Lokasi produk juga boleh disemak melalui aplikasi.
  5. Lakukan pembayaran di kaunter. Setelah selesai membeli-belah, hasilkan kod QR dalam aplikasi dan imbas di kaunter khas. Pelanggan juga perlu mengimbas kad IKEA Family serta mana-mana Pesanan Pembelian yang berkaitan.

Untuk pengetahuan anda, bagi produk As-Is, ia perlu diimbas secara langsung di kaunter. Selain itu, sebarang diskaun atau tawaran IKEA Family hanya akan dipaparkan semasa proses pembayaran. Dan kaedah bayaran secara tunai atau pelan ansuran (IPP) tidak diterima bagi pembelian melalui Shop & Go.

Bagi anda yang ingin mencuba fungsi ini, muat turun aplikasi IKEA Shopping hari ini dan alami sendiri pengalaman beli-belah yang lebih pantas dan sistematik.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd